Thursday, April 30, 2009

Nuansa baru Reshmonu

MESKIPUN namanya tidak popular seperti mana penyanyi lelaki yang sedia ada, tetapi bakat dan muziknya yang berkualiti itu tidak mampu dinafikan.

Dia cukup dikenali sebagai seorang penyanyi dan pengkarya yang sering tampil dengan pembaharuan kerana enggan dilabelkan sebagai seorang yang stereotaip.

Tidak kisah namanya tidak segemilang penyanyi lelaki popular lain, apa yang diutamakan oleh Hiresh Haridas atau lebih popular dengan nama komersialnya Reshmonu ialah muziknya dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Untuk itu juga, dia merentasi dan menongkah arus muzik tempatan apabila tampil dengan buah tangan terbarunya yang menyaksikan sisi lain seorang insan seni bernama Reshmonu.

Harapan, judul diberi sebagai menggambarkan tingginya harapan anak seni berusia 33 tahun ini dalam misinya untuk memartabatkan karyanya ke peringkat lebih tinggi.

Apatah lagi, buat julung kalinya, Reshmonu merakamkan sebuah album Melayu penuh dengan nuansa yang cukup berbeza dalam penghasilan lagu-lagu Melayu tempatan.

Bukan itu sahaja, Harapan dilahirkan sebagai memenuhi permintaan peminatnya yang telah lama mendambakan dirinya melagukan ritma Melayu sejak dia mencipta nama menerusi lagu Cintaku Pergi.

Jelas Reshmonu atau Resh, perancangan untuk merakamkan sebuah album Melayu sudah lama difikirkannya dan hanya menantikan masa yang sesuai untuk direalisasikan.

"Saya bangga dengan Harapan kerana ini merupakan percubaan yang sungguh berani bagi saya. Tidak dapat saya nafikan betapa gusar dan bimbangnya saya untuk menyanyikan serta mencipta lagu di dalam bahasa Melayu.

"Kata orang, kalau tidak mencuba manakan kita tahu bagaimana hasilnya. Ternyata Harapan menerima respons yang positif daripada peminat," ujarnya membuka bicara sewaktu sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini.

Sebelum ini Resh telah menghasilkan dua album studio berbahasa Inggeris berjudul Monumental pada tahun 2004 dan Superfine (2007) selain album repackaged Monumental: The Journey Continues (2005).

Eksperimentasi

Menyambung bicara, bapa kepada Maureece Nikhail dan Tyreece Nikhail ini menjelaskan, Harapan merupakan sebuah album eksperimentasi untuk menguji pasaran apabila muzik yang ditampilkan adalah satu santapan baru dalam memberikan hidangan enak kepada peminat dan pencinta muzik tempatan.

Tidak gentar dengan situasi dan pasaran industri muzik yang tidak begitu memberangsangkan, penghasilan Harapan bagi Resh adalah sebagai lambang cintanya terhadap muzik tidak pernah pudar.

"Saya tidak mahu tampil dengan muzik yang telah saya lakukan dalam album-album saya sebelum ini. Saya mahu peminat melihat Harapan sebagai sesuatu yang agak berbeza daripada saya kerana saya mahu menjadi seorang yang versatil.

"Perubahan yang saya tampilkan pun bukannya terlalu drastik kerana sentuhan, suara dan stail saya masih lagi ada dalam setiap lagu dalam album ini," katanya yang memulakan produksi Harapan pada awal tahun 2008 dan seterusnya mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.

Memuatkan 12 buah lagu dan menampilkan Oh Anok Anok sebagai single pertama. Harapan sememangnya cukup membuatkan Resh begitu teruja kerana muziknya yang memberikan seribu kepuasan untuk dirinya.

Harapan mempunyai campuran muzik antarabangsa dan tempatan yang menjadikan album ini memiliki sentuhannya tersendiri.

Sungguh enak dan asyik apabila mendengarkan irama jazz yang disulami dengan muzik merengue, Afrika, Latin, salsa dan pelbagai irama lain yang menjadikan Harapan sebagai sebuah album yang sungguh unik.

Selain itu, Harapan turut menyaksikan Resh berkolaborasi dengan beberapa nama besar dalam industri yang mewarnakan lagi album ketiganya.

Antaranya ialah Noryn Aziz menerusi lagu Aku Punya Teman, Hunny Madu (Kau Ucap, Kau Atur) selain Mawar Berduri dan Adeep dari kumpulan Ahli Fiqir dan Fabulous Cats untuk lagu Pembawa Bahagia.

"Album Harapan tidak dijual di mana-mana toko muzik sebaliknya ia boleh dibeli menerusi online di laman web rasmi saya iaitu www.reshmonu.com dengan harga RM27 termasuk kos penghantaran.

"Sudah tiba masanya untuk saya berdikari kerana saya mahu memberikan karya berkualiti yang mampu dimiliki oleh peminat dan pecinta muzik," jelasnya yang memberitahu Harapan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Pencalonan AIM16

Perubahan yang dilakukan Resh untuk album Harapan ternyata membuahkan hasil apabila menerima lima pencalonan menerusi empat kategori dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16) yang akan berlangsung Sabtu ini (2 Mei) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Lima pencalonan itu termasuklah dua untuk kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu, Album Pop Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Video Muzik Terbaik.

Teruja dan gembira dengan kejayaan itu, Resh tidak mahu meletakkan harapan yang menggunung untuk membawa pulang sebarang trofi.

Ini kerana katanya, untuk melihat Harapan berada dalam kelompok lima terbaik sudah cukup membuatkannya berasa bangga walaupun dalam masa yang sama, debaran mula berkocak dalam dirinya.

Disoal tentang kemampuannya untuk mencipta kemenangan kali ketiga menerusi kategori Vokal Lelaki Terbaik, dengan pantas suami kepada Kavita Rajoo ini menggelengkan kepala.

Untuk kategori itu, Resh bakal bersaing hebat dengan Aizat yang mempertaruhkan Lagu Kita, Bob (Cinta Terhalang) dan Rithan dari kumpulan Deja Voodoo Spells (Rock 'N' Roll).

"Bob mampu mencipta kemenangan pada malam itu nanti kerana kehebatan vokalnya dan bakat yang ada dalam dirinya itu. Dia pernah tewas kepada saya pada tahun 2007 dan kalau dia menang, saya gembira untuknya," katanya yang memenangi kategori berkenaan pada tahun 2004 dan 2007.

Perancangan masa depan

Kisah Reshmonu sememangnya agak kurang mendapat pendedahan di media baik dari segi kariernya mahupun kehidupan peribadinya.

Jelas Resh, diamnya tidak bermaksud dia hanya duduk bersenang-lenang tetapi dia mempunyai perancangan untuk memantapkan dirinya di masa hadapan.

Apatah lagi, dia bukanlah seorang artis yang suka menjaja-jaja cerita seandainya tiada apa yang harus dikhabarkan.

"Saya sibuk mengendalikan perniagaan berasaskan muzik yang telah lama saya usahakan. Jadi, saya sebenarnya sibuk cuma kisah itu tidak di ceritakan sahaja," katanya yang cukup terkenal dengan imej rambut berpintal ini lagi.

Setakat ini, Resh mempunyai empat perniagaan yang berkaitan dengan dunia seni iaitu R Records, R Talents, Shugar Studios dan Shpice Pictures yang dilihat mampu menjamin masa depannya dalam menampung kehidupan keluarganya.

Biarpun industri hiburan kini tidak menentu, Resh optimis dengan segala yang telah dirancangkannya semata-mata atas nama cintanya untuk dunia seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: