|
DIBARISKAN bersama penyanyi popular lain untuk memeriahkan pentas Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) dianggap satu satu penghormatan besar buat Chakra Sonik dan Goldkardz. |
Ibarat pepatah, kecil tapak tangan nyiru ditadahkan, begitulah perumpamaannya apabila Chakra Sonik yang dianggotai Jegethesan (Jack), Mariyappan (Viveck) dan Vijay (J.brawl) diberi peluang mengadakan persembahan untuk satu segmen khas pada malam kemuncak AIM16 pada 2 Mei ini.
Jegethesan berkata, peluang itu sudah ditunggu selama tujuh tahun iaitu sejak mereka mula terbabit dalam industri muzik tempatan.
Katanya, peluang mengadakan persembahan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dianggap jauh lebih berharga berbanding pencalonan diterima.
"Pada kami ini saja peluang terbaik untuk memperkenalkan diri kepada peminat industri muzik tempatan. Sebelum ini kami pernah diberikan ruang mengadakan persembahan di pentas Anugerah Era dua tahun lalu. Bagaimanapun kami menganggap AIM16 lebih berprestij kerana ia mewakili semua penggiat muzik tanah air.
"Album yang kami hasilkan berkonsepkan hip-hop dalam bahasa Tamil, tetapi ramai tidak tahu sepanjang tujuh tahun pembabitan kami dalam industri muzik tempatan ini, Chakra Sonik turut menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu.
"Antara lagu kami pernah mendapat tempat seperti Ulik Mayang-'Sang Puteri', dan ia kami persembahkan di malam Anugerah Era. Ia turut diterima baik pendengar tempatan apabila stesen popular itu sering memainkannya.
"Menarik apabila dalam menghasilkan lagu rakyat Terengganu itu, kami turut menggabungkan ia dengan muzik Hindustan dan instrumen Jawa.
"Usaha kami tidak terhenti di situ dan seterusnya kami menghasilkan pula Lagu Hebat. Bagaimanapun, sambutan diterima tidak sehebat Ulik Mayang-'Sang Puteri' dan hanya beberapa stesen seperti X-Fresh.FM memutarkan lagu itu.
"Kami benar-benar berharap dengan persembahan bakal diadakan akan memberi impak, sekali gus mengingatkan peminat tempatan terutama Melayu terhadap kumpulan Chakra Sonik," katanya.
Bagi kumpulan Goldkartz yang dianggotai pasangan adik-beradik, Ranjit Kaur dan Sukhjit Singh Gill, mereka mahu menggunakan peluang mengadakan persembahan di malam AIM16 itu untuk memperkenalkan muzik urban Bangra kepada pendengar tempatan.
"Itulah konsep album yang kami hasilkan dan pada saya bagus apabila penganjur AIM16 menampilkan Goldkartz bersama Chakra Sonik dan Man Jiang Hong kerana secara tidak langsung ia mencerminkan masyarakat majmuk yang turut mewarnai industri muzik tempatan," kata Ranjit.
Walaupun berhadapan masalah apabila syarikat rakaman Maestro Records yang mengedarkan album mereka ditutup, Goldkartz menganggap pencalonan di AIM16 dan juga peluang membuat persembahan sebagai satu rahmat.
"Sejak Maestro ditutup saya tidak tahu perkembangan lanjut album kami. Bukan tidak mahu ambil tahu tetapi saya tidak berkesempatan bertanyakan perkembangannya.
"Lagipun pada saya ia bukan masalah kerana lagu berkonsepkan urban Bangra cukup luas pasarannya. Ia amat popular di Kanada dan Britain.
"Sekarang ini kami sedang melakukan perbincangan untuk membawa album kami ke pasaran luar," katanya yang turut menampilkan lagu Bangra Melayu, Identiti Mu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: