Tuesday, April 28, 2009

Rezeki Mawi selepas kahwin


SEKELUMIT pun tiada perasaan cemburu atau dendam apabila terpaksa merelakan gelaran Bintang Paling Popular yang disandangnya selama tiga tahun berturut-turut beralih tangan kepada pendatang baru, Ahmad Nabil Ahmad.

Bahkan, kekalahannya itu diterima dengan hati terbuka serta penuh sedia oleh pemenang anugerah Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH), Asmawi Ani (Mawi), 28, 12 April lalu.

Biarpun, masih ada suara nakal cuba menduga perasaannya lantas memecahkan tembok egois Mawi sebagai lelaki, nyata tidak seperti mula-mula dulu, Mawi sekarang lebih matang dan tenang dalam menghadapi setiap keadaan.

Malah Mawi akui ada mengatakan popularitinya jatuh selepas berkahwin dan kegagalannya mempertahankan gelaran itu dijadikan bukti.

Siapa kata bintang juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu sudah pudar meskipun bukan lagi artis paling popular? Buktinya, Mawi masih menjadi pilihan untuk menjadi duta produk mereka.

Baru-baru ini berlangsung majlis pelantikannya selaku duta makanan segera Marybrown selepas dilamar penghujung tahun lalu.

Kata Mawi, tawaran itu dianggap rezeki kahwin. Akui Mawi, rezekinya makin bertambah sejak berkahwin dan mungkin inilah dikatakan rezeki berkahwin.

"Biarpun ada pihak mendakwa populariti akan jatuh selepas mendirikan rumah tangga, saya reda dan terima dengan hati terbuka.

"Pelantikan sebagai duta Marrybrown ini barangkali menjawab segala persoalan yang pernah diajukan sebelum ini. Seperkara yang jelas, saya cukup berpuas hati dengan anugerah yang pernah dimenangi tiga tahun berturut-turut itu.

"Saya tidak terkilan tak dapat mempertahankan kedudukan bahkan berasakan biarlah orang baru pula merasai kejayaan itu kerana saya sudah rasa semua itu," katanya.



Jenama makanan segera itu bukanlah asing kepada Mawi bahkan ketika zaman remajanya, Marrybrown di Kulai, Johor sering menjadi lokasi dia dan teman beriadah.



"Saya masih ingat masa budak-budak dulu. Kalau hendak melepak dengan kawan-kawan, mesti ajak pergi MB (singkatan Marrybrown) di Kulai (Johor).

"Maklumkan, pekan kecil belum begitu membangun ketika itu, dapat lepak di MB sudah kira gempak dan 'standard'. Menu pilihan saya set ayam dua ketul (ketawa).

"Tapi waktu itu mati-mati saya ingat MB produk luar negara. Jujur saya katakan, sebenarnya saya sendiri baru tahu Marrybrown ini produk tempatan yang diusahakan orang Johor. Difahamkan, di China ia mempunyai 250 rangkaian restoran.

"Terkejut berbaur bangga kerana siapa sangka produk Malaysia mampu jadi pengusaha makanan segera di peringkat antarabangsa. Saya kira ini satu pencapaian yang hebat," katanya.

Bukan sekadar menjadi duta, Mawi juga mempunyai perancangan untuk membuka francais Marrybrown sebagai persediaan masa depan.

"Hasrat dan keinginan ini timbul ketika menjayakan penggambaran iklan Marrybrown bulan lalu. Saya terfikir untuk buka francais produk ini sebagai persediaan masa depan.

"Lagipun sampai bila hendak duduk selesa di tahap ini saja, esok lusa kalau sudah tidak laku lagi waktu itu tiada siapa mahu ambil peduli dan mengaku kawan.

"Dengan adanya kedai sendiri pelbagai aktiviti serta majlis dapat dianjurkan seperti pelancaran album selain, menjadikannya sebagai lokasi orang luar menganjurkan majlis.

"Mereka akan tunjukkan kepada saya kertas cadangan mengenai kos, pembahagian persen dan pelbagai lagi syarat. Kalau semuanya berjalan lancar, insya-Allah lokasinya akan dibuka sekitar Kuala Lumpur.

"Bukan tidak mahu mengusahakannya di Johor, tetapi di sana sendiri sudah ada banyak rangkaian Marrybrown," katanya.

Ditanya kenapa tidak memilih francais makanan segera yang lebih popular seperti KFC atau MCDonals, Mawi berkata, sebagai rakyat Malaysia dia berbangga dengan produk tempatan dan sama-sama mahu membantu Marrybrown menembusi pasaran yang lebih besar sekali gus menjadikannya sepopular makanan segera yang lain.

Diikat selama dua tahun, difahamkan Mawi dan Marrybrown mempunyai perancangan memperkenalkan set makanan yang digubah mengikut cita rasanya.

Pada majlis sama, Marrybrown turut melancarkan kempen produk terbarunya, Sedapnya Sate yang menelan pelaburan RM500,000 yang meliputi kos pemasaran dan pengiklanan.

Selain Marrybrown, beberapa lagi produk yang memilih Mawi sebagai duta produk adalah DCL, Silky dan Aeras serta beberapa lagi produk yang masih dalam peringkat perbincangan. Antara yang menunjukkan kerjasama positif ialah EON.

Bulan depan, penyanyi yang popular dengan lagu Sujud hasil kerjasama dengana KRU akan terbang ke Melbourne, Australia, diikuti Jun ke Itali dan Hong Kong (Julai) untuk meninjau dan menjayakan lokasi musim terbaru Langkah Mawi.

Apa yang menarik, berbanding musim sebelumnya, Langkah Mawi yang diterbitkan Astro sebelum ini diuruskan sepenuhnya syarikat MW Entertainment Sdn Bhd.

"Sudah sampai masanya saya buat sendiri. Sekurang-kurangnya dapat belajar selok-belok penerbitan apatah lagi saya mempunyai perancangan untuk serius dalam kerja produksi.

"Soal wang bukan masalah besar. Apa yang paling penting, saya dapat meraih seberapa banyak pengalaman. Setakat buka syarikat kemudian tidak tahu apa-apa, lebih baik jangan membazir," katanya.

Keseriusan Mawi itu jelas terbukti apabila dia mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip dan kini dalam proses menyiapkan skrip telefilem pertama.

"Ia langkah baru saya selain menyanyi. Bagaimanapun, saya cuba elak daripada berlakon begitu juga Ekin kerana saya tidak mahu dilabel syok sendiri.

"Insya-Allah, banyak lagi perancangan sedang diusaha dan diaturkan syarikat saya, MW Entertainment Sdn Bhd," katanya.

Dalam pada popularitinya dikatakan merudum sebagaimana kemerosotan penjualan album, Mawi tetap gembira

apabila album terbarunya, Allah Habeebi berjaya membolosi pencalonan lima terbaik Anugerah Industri Muzik ke-16 dengan menerima empat pencalonan bagi dua kategori.

Ia merangkumi tiga pencalonan untuk Lagu Nasyid Terbaik bagi lagu Allah Habeebi, Serulah Namanya dan Teman Hakiki selain kategori Album Nasyid Terbaik.

"Syukur penat lelah menyiapkan pembikinan album ini semuanya berbalas. Saya sendiri berasakan pembikinan album ini adalah yang terbaik daripada susunan muziknya dan pilihan lagu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: