|
|
IKA disebut nama anak muda ini, tiada siapa yang mampu menidakkan impak yang terhasil daripada perjuangan muziknya. Bermula dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu yang berjaya mencetuskan fenomena luar biasa dan seterusnya dengan Lagu Kita serta terkini, Fikirlah, menjadikan Muhammad Aizat Amdan atau lebih dikenali sebagai Aizat sebagai bintang baru yang cukup menyinar.
Jika masyarakat dan peminat memujanya sehingga meletakkan dirinya sebagai antara penyanyi lelaki popular masa kini, semuanya adalah hasil usaha dan kerja kerasnya sendiri.
Apatah lagi, jiwanya dicurahkan sepenuhnya dalam bidang muzik yang sudah sebati dalam dirinya sejak kecil lagi.
Sehinggakan ada yang terlupa bahawa dia merupakan produk yang pernah dilahirkan di ‘kilang’ Akademi Fantasia musim kelima (AF5). Bahkan tidak keterlaluan juga dikatakan, Aizat berjaya ‘menghapuskan’ label AF5 yang tidak lagi menyokong namanya seperti sebelum ini.
“Apa pun, saya tidak pernah melupakan AF5 kerana itulah platform yang memperkenalkan diri saya kepada dunia seni. Tanpa AF5, saya percaya, tidak mungkin saya menjadi seperti mana hari ini,” tuturnya lembut membuka bicara sewaktu sesi fotografi di pejabat Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sambil menghela nafas yang panjang, Aizat mengakui, dia sendiri tidak pernah menyangka kemunculannya dalam bidang seni menghasilkan tuai yang cukup lumayan.
Untuk mengharapkan populariti jauh sekali, apatah lagi pengiktirafan yang mula diberikan kepadanya oleh peminat dan mereka yang arif dalam bidang seni.
Kata Aizat, dia mahu peminat dan masyarakat melihat dirinya bukan sahaja sebagai penyanyi semata-mata tetapi sebagai seorang pengkarya seperti mana yang mahu diperjuangkannya sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dunia seni.
“Ada ketikanya saya bagaikan bermimpi dan tidak percaya dengan apa yang saya miliki setakat ini. Biarpun saya tidak lagi berpeluang menggenggam sebarang anugerah, namun pencalonan dan penglibatan saya dalam mana-mana pertandingan serta acara anugerah, sudah memadai bagi saya.
“Bohonglah kalau saya katakan yang saya tidak kepingin untuk menikmati kemenangan tetapi saya percaya, masa itu akan tiba juga satu hari nanti.
“Apa yang saya perlu lakukan sekarang ini adalah untuk terus bekerja keras dan tidak terus berasa selesa dengan apa yang saya miliki hari ini. Saya mahu karya saya terus dinikmati oleh semua peminat dan masyarakat,” kata Aizat penuh makna sewaktu diajak berbicara tentang pencapaian yang dikecapinya setakat ini.
Anugerah Juara Lagu Ke-23 dan Anugerah Bintang Popular 2008 menyaksikan nama Aizat tersenarai ke peringkat akhir meskipun dia pulang dengan tangan kosong.
Tuah Percubaan Pertama
Kecemerlangan Aizat berterusan apabila namanya sekali lagi menjadi perhatian tatkala dia berjaya membolosi tembok kebal Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16) apabila menerima tiga pencalonan.
Sesungguhnya, kejayaan itu cukup menggembirakan hati Aizat yang tidak henti melafazkan syukur dengan pencalonannya itu yang berlandaskan bingkisan pertamanya, Percubaan Pertama.
Percubaan Pertama dicalonkan untuk kategori Album Pop Terbaik manakala lagu ciptaannya sendiri, Lagu Kita berjaya dicalonkan untuk Lagu Pop Terbaik yang membuatkan dia begitu teruja.
Namun begitu, Lagu Kita berhadapan dengan saingan yang cukup sengit daripada empat buah lagu lain iaitu Dingin nyanyian Ziana Zain, Ketentuan (Ramlah Ram) dan dua buah lagu nyanyian Misha Omar yang berjudul Cinta Adam dan Hawa serta Sampai Di Sini.
Selain itu, Aizat membuktikan vokalnya yang tersendiri itu mampu memikat hati juri untuk meletakkan dirinya dalam kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu bersama Bob (Cinta Terhalang), Reshmonu (Doa Untuk Dia dan Sayu) serta vokalis kumpulan Deja Voodoo Spells, Rithan yang tercalon untuk lagu Rock ‘N’ Roll.
Cuma sayang sekali apabila nama Aizat tercicir untuk dicalonkan dalam kategori Artis Baru Terbaik tetapi Aizat langsung tidak menganggap itu sebagai satu kekecewaan.
“Apa lagi yang boleh saya katakan? Pencalonan ini sudah cukup membuktikan muzik saya diterima dengan baik. Kalah atau menang, itu perkara kedua tetapi untuk berdiri bersama mereka yang hebat dalam industri, itu adalah satu penghargaan tertinggi untuk saya.
“Ternyata, pelaburan dan rintangan yang saya dan keluarga hadapi sebelum kelahiran Percubaan Pertama semuanya berbalas dengan pencalonan ini.
“Album ini sememangnya cukup istimewa buat saya kerana ia adalah hasil usaha yang dicurahkan oleh keluarga sendiri lantas menjadikan ia memiliki nilai sentimental tersendiri,” jelas anak kelima daripada enam beradik ini yang akan menjadi penyampai anugerah pada malam AIM 16 nanti.
Ke peringkat antarabangsa
Benarlah kata pepatah tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapalah yang tahu dan pepatah itu sangat signifikan dengan Aizat apabila namanya terpilih menyertai sebuah festival muzik di Varna, Bulgaria.
Festival yang dimaksudkan adalah 18th International Pop Music Festival Discovery 2009 yang pernah menyaksikan rakan seperjuangannya yang juga juara AF5, Mila menggondol dua anugerah tahun lalu.
Enggan memberikan tekanan kepada dirinya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St.John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur ini melihat kejayaannya terpilih ke Bulgaria sebagai peluang keemasan untuk melebarkan bakatnya ke peringkat antarabangsa.
“Ini merupakan satu pengalaman yang bagus untuk saya kerana peluang sebegini entah bila akan datang lagi. Sudah pasti saya akan mempersembahkan yang terbaik di samping memperkenalkan lagu saya ke peringkat dunia.
“Kalau asyik fikirkan sangat tentang kemenangan, susah juga nanti untuk memberikan persembahan yang baik. Apa pun, ini merupakan satu pendedahan kepada saya untuk mempelajari sesuatu yang baru demi pembangunan karier seni saya,” ujarnya yang akan menyampaikan lagu Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita pada festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 Mei ini.
Kata Aizat, peluang ini juga diambil untuk melihat keindahan bumi Bulgaria dan seterusnya menyambung percutiannya ke London bersama ibu dan kakaknya sejurus selepas pertandingan berakhir.
Tangkis dakwaan negatif
Kata Aizat yang begitu mengagumi semangat perjuangan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, semenjak kebelakangan ini, hatinya terguris apabila kisah yang tidak benar tentang dirinya dijaja.
Tidak mahu kisah-kisah sedemikian mengatasi prestasi kerjayanya, Aizat berusaha memperbaiki dirinya untuk menjadi seorang yang lebih baik.
“Saya tahu ada orang kata saya sombong dan tidak mudah mesra tetapi percayalah, saya bukan seperti itu. Saya orangnya mudah mesra dan senang dibawa berkawan.
“Saya memerlukan masa untuk merapatkan diri dengan orang yang baru saya kenal. Walau apa pun, saya anggap ini sebagai satu teguran untuk kebaikan diri saya. Saya tidak mahu menjadi seorang yang mudah melatah.
“Disebabkan itu saya kagum dengan Siti Nurhaliza kerana kesabaran dan kecekalannya telah berjaya meletakkan dirinya di puncak tertinggi,” tutur Aizat yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Melbourne, Australia selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Mengenai projek terbarunya pula, peminat setia kumpulan The Beatles ini tidak tergesa-gesa mahu melahirkan album baru sebaliknya akan menghasilkan single terlebih dahulu sebelum dijadikan sebagai sebuah album.
Buat masa ini, kata Aizat, sebuah lagu sudah dihasilkan berjudul Susun Silang Kata yang merupakan ciptaan dan lirik oleh abangnya, Anas dan Aizat sendiri.
Sebelum menantikan kelahiran album repackaged Percubaan Pertama yang memuatkan sebuah lagu baru, Kau Aku, peminat Aizat juga kini boleh mendapatkan album runut bunyi filem Talentime.
Ini kerana album tersebut yang sudah pun berada di pasaran itu memuatkan empat buah lagu ciptaan Pete Teo yang dinyanyikan Aizat iaitu Pergi, Just One Boy, I Go dan Itulah Dirimu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: