Wednesday, April 29, 2009

Band kecil pukul band besar


PLAQUE OF HAPPINESS mempamerkan persembahan yang paling ‘ganas’.


LAGU band-band indie lazimnya agak keras dan mudah menangkap perhatian, jauh sekali mempunyai nada 'meleleh' seperti mana majoriti lagu yang sering mendaki carta di corong-corong radio.

Namun, mereka juga punya perasaan. Rasa tersentuh dengan kekejaman Zionis di bumi Palestin, mereka bersatu melaungkan suara hati masing-masing menerusi Konsert Radio Rosak 2009: Untuk Tabung Gaza edisi pertama yang membuka tirainya di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru, Sabtu lalu.

Nama konsert itu sendiri sudah menimbulkan persoalan. Adakah ia melambangkan generasi muda yang telah 'rosak'? Ataupun ia satu sindiran secara 'halus' mengenai persoalan mengapa lagu-lagu band indie tempatan sering 'dianaktirikan' untuk diputarkan di radio-radio tempatan?

Ada juga kata-kata sinis memperlekehkan usaha penganjur, Neoworldwide Entertainment yang menganjurkan konsert dari pukul 2 petang hingga 12 malam, sedangkan yang 'berbunyi' mungkin tidak sedar bahawa penganjur tetap tidak meminggirkan rasa hormat apabila menghentikan 'siaran' setiap kali masuk waktu Asar, Maghrib dan Isyak.




Jika tidak datang sendiri menyelami jiwa remaja indie, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa mereka juga berkeinginan menjadi remaja bertanggungjawab termasuk mendaftar sebagai pengundi bersama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Golongan ini juga tidak terkecuali membuka akaun Lembaga Tabung Haji berbanding hanya menyaksikan konsert tersebut semata-mata.

Sememang mereka masih budak-budak, masih 'hijau' dan perlu berdisiplin bagi mengenangkan masa depan yang masih belum pasti.

Namun, tidak salah rasanya sekiranya suara hati mereka tidak dipandang sepi sebegitu sahaja. Mungkin, ia lebih baik daripada merotan dan memarahi mereka setiap kali melakukan kesalahan sehingga menyebabkan jiwa muda memberontak. Akhirnya, siapa yang rugi?

P0H paling mencuri perhatian

NAMA-nama seperti Estranged, Bunkface, Cili dan Radhi OAG mungkin sudah cukup sinonim dengan telinga peminat muzik tempatan.

Namun, jika ada anugerah band yang paling mencuri tumpuan pada Konsert Radio Rosak 2009 edisi pertama hari itu, sudah semestinya anugerah itu dibolot oleh Plague Of Happiness (POH).


AUBURN juga membuktikan mereka bukan kumpulan picisan.


Memperjuangkan genre ska punk, POH cukup menghiburkan lebih 10,000 penonton yang majoritinya mula melakukan pergerakan yang dikenali dengan istilah 'skanking' dan 'slam' sebaik lagu-lagu mereka seperti Kawan, Malam dan Konspirasi dipersembahkan.

Skil anggota band POH seperti Pozi (dram), Arab (gitar), Nausad (trombon), Azmal (saksofon), Atoi (trumpet), Ipin (bass) dan Nas selaku vokalis dan gitar sememangnya cukup menghiburkan walaupun kadang-kadang terpaksa berhenti seketika apabila gitar mereka 'lari tune' gara-gara persembahan yang begitu bertenaga.

Malah, bukan POH sengaja mahu membuatkan Radhi OAG yang beraksi selepas itu berkecil hati, namun Radhi dilihat terpaksa 'bersabar' seketika apabila penonton masih mendesak mahu POH supaya meneruskan persembahan.

Seperti mana biasa, Radhi bagaimanapun dilihat masih mampu tersengih meskipun kisah peribadinya tidak seindah sikapnya yang gila-gila ketika di pentas.


BUNKFACE dengan aura tersendiri memukau penonton.


Persembahan band dari Jasin, Melaka, The Rhaman juga tidak kurang hebatnya. Berkongsi nama datuk yang sama iaitu Rahman, band yang dianggotai oleh Ain (vokalis), Hayyan (bass), Adik (gitar utama), Yus (gitar), Abong (keyboard), dan Ewin selaku pemain drum berjaya memukau penonton untuk bersama-sama menyanyikan lagu-lagu mereka seperti Sekutu Kuat Berangan, Lagu Satu Tahun dan Macam Bagus.

Jika The Rhaman kekal berdisiplin, sentiasa merendah diri dan tidak terlalu obses untuk bergambar di tepi kolam renang serta terjebak dengan gosip-gosip murahan, tidak mustahil mereka mampu bertakhta di hati peminat tidak lama lagi.

Gimik band yang menggelarkan mereka sebagai Auburn dengan menampilkan sajak bertajuk Keranamu Palestina sebagai salah satu persembahan mereka juga ternyata menjadi, sementara persembahan memukau pemain biola cilik dari kumpulan Triangle Music Centre, Ellysha Nur Kamil, 10, dari Larkin, Johor Bahru juga mencuit hati penonton.

Selain band-band tersebut, turut membuat persembahan ialah Projek Pistol, Secret Silence, Stereo Sakit dan Zipp Ziller.

Segelintir peminat melampau

Melewati petang, suasana di stadium semakin hangat apabila Cili dan Projek Pistol mengambil tempat menggegarkan pentas dengan lagu-lagu hit mereka seperti Kau Bernama Cinta dan Hingga Hujung Nyawa.


GAYA tersendiri Radhi OAG.


Keletah comel vokalis Cili, Vivine semasa berinteraksi bersama penonton sememangnya dipuji. Walaupun tersenyum malu dingurat penonton-penonton gatal, Vivine masih tenang mengawal keadaan.

Bagi Projek Pistol, band yang turut diterajui oleh komposer terkenal, Edrie Hashim sememangnya lebih membuai perasaan penonton dengan lagu Hingga Hujung Nyawa' berbanding lagu-lagu lain meskipun mereka lebih kepada genre rock.

Apa ada hal, itu bukan 'dosa' mereka. Kumpulan rock barat seperti Metallica juga lebih dikenali menerusi lagu-lagu yang lebih sentimental, bukan?

Dalam pada itu, persembahan Bunkface dan Estranged juga sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Apa tidaknya, jika persembahan band-band sebelum mereka menyaksikan penonton seolah-olah bagaikan 'semut yang menghurungi gula' apabila sering bertukar-tukar tempat bagi menyaksikan persembahan di dua pentas yang berasingan, keadaan itu dilihat tidak berlaku semasa Estranged dan Bunkface beraksi.

Estranged menerusi vokalisnya, Rich yang sebelum itu bergurau dengan wartawan akan 'bekerja keras' untuk bergelar bapa hasil perkahwinannya bersama Velvet AF4, bijak memukau penonton dengan lagu-lagu hit mereka seperti Itu Kamu, Yang Pernah dan Aurora, manakala Bunkface pula beraksi mantap menerusi lagu Situasi, Revolusi, Silly Lily dan Bunk Anthem.

Cuma yang agak menyedihkan, sikap segelintir peminat fanatik mereka dilihat tidak menghormati perasaan penonton lain sememangnya mengecewakan.


DENGAN pengalaman mereka, Estranged tidak mengecewakan.


Mahu menari dan 'head banging' dipersilakan, namun janganlah sampai menyusahkan orang lain dengan menolak-nolak sehingga menyebabkan penonton di depan pentas tersepit di pagar yang disediakan.

Paling kasihan, ada remaja perempuan yang 'tidak bersalah' tiba-tiba dilambung sesuka-hati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Mujurlah ia segera dikawal oleh pihak penganjur.

Konsert yang turut dihadiri Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad itu turut mendapat kerjasama Gloria Jean's Coffes, Forest' Secret Sdn. Bhd. dan Malaysia International Francais.

Kosmo! pula merupakan akhbar rasmi konsert berkenaan, manakala Xfm merupakan radio rasmi serta majalah Konsert selaku majalah rasmi.

Setiap RM3 daripada tiket berharga RM25 yang terjual juga akan disumbangkan kepada Tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap).

Selepas Johor Bahru, Konsert Radio Rosak 2009 bakal menggegarkan Ipoh pada 30 Mei, Pasir Gudang pada 27 Jun, Teluk Intan pada 18 Julai, Pulau Pinang pada 1 Ogos, Kluang pada 3 Oktober, Melaka pada 31 Oktober, Terengganu pada 28 November dan Kuala Lumpur pada 26 Disember.

Dengan persembahan bertenaga band-band berkenaan, siapa tahu merekalah penggerak muzik Malaysia dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Malah, tidak keterlaluan rasanya mengeluarkan kenyataan betapa lagu-lagu band-band indie sebeginilah yang wajar dimainkan di radio sebenarnya.

Meminjam kata-kata Edrie Hashim selaku wakil penganjur pada sidang media sehari sebelum konsert berlangsung, "Populariti bukan diukur menerusi penjualan album. Satu masa dahulu, semua pelik dengan imej rambut panjang, pakai seluar harimau sedangkan sekarang, merekalah legenda rock Malaysia, kumpulan Search.

"Jika diberi peluang, saya yakin band-band ini mampu menterjemah dan memikul tanggungjawab selaku pembawa imej muzik kita," ujarnya penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: