ADZHAR (kiri) memberi sumbangan kepada Shukery yang ditemani isterinya, Faridah di Hospital Selayang, baru-baru ini. |
Hidap barah pankreas yang kini merebak ke bahagian hati
PENGALAMAN menjalani pembedahan selama lebih kurang enam jam sesuatu yang sukar untuk dilupakan. Lebih-lebih lagi pelakon yang pernah meraih Pelakon TV Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun 1995, Shukery Hashim tidak pernah menjalani pembedahan sebelum ini.
Pembedahan itu juga menjadikan beliau fobia untuk kembali ke hospital kerana penyakit barah pankreas yang dihidap tidak menunjukkan perubahan walaupun selepas dibedah Jumaat lalu.
Isterinya, Faridah Md Desa, berkata akibat pembedahan itu, suaminya kini mengalami dua penyakit iaitu barah yang dihadapinya dan sakit kerana pembedahan.
“Sebelum ini dia tidak pernah mengalami sebarang penyakit, apatah lagi dimasukkan ke hospital.
“Dia pernah mengadu sakit perut dan saya membawanya untuk mendapatkan rawatan di klinik biasa. Pada mulanya doktor mengesahkan dia mengalami batu karang dan memakan ubat saja, namun penyakitnya kembali tenat dan saya membawanya terus ke hospital Ampang dan doktor mengesahkan dia menghidapi barah pankreas yang serius.
“kemudian, dia diarahkan untuk terus dirujuk ke Hospital Selayang untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu. Selepas dibedah, doktor kata penyakitnya sangat serius hingga ke tahap empat dan tidak mampu melakukan apa-apa kerana penyakitnya kini semakin merebak ke hati,” katanya yang ditemui Isnin lalu di Hospital Selayang.
Shukery yang dimasukkan ke hospital itu sejak 22 April lalu dan menjalani pembedahan selama enam jam pada 24 April bagaimanapun dibenarkan pulang ke rumah pada petang Isnin lalu untuk mendapatkan sesi kimoterapi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 4 Mei depan.
“Walaupun pembedahan itu tidak mampu membantu penyakitnya, namun doktor menasihatkan dia untuk menjalani sesi kimoterapi di HUKM. Saya juga berikhtiar untuk mendapatkan rawatan lain atau memakan ubat tradisional sekiranya ia mampu menyembuhkan penyakitnya,” katanya.
Sebelum itu, Syukery yang dikunjungi Pengarah Urusan Noradz Productions Sdn Bhd, Datuk Adzhar Sulaiman yang juga penerbit filem Shh...Dia Datang mendapat simpati dengan nasib menimpanya.
“Ia sudah menjadi tanggungjawab saya mengunjungi beliau yang pernah terbabit sama dalam pembikinan filem pertama saya.
Dari dulu saya mengagumi lakonan Syukery dan sentiasa mengikuti perkembangan lakonannya terutama selepas melihat drama yang dilakonkan iaitu Siapa Datin.
“Disebabkan lakonannya yang memberi kesan itu, saya terus mempelawa dia untuk terbabit sama dalam filem pertama terbitan syarikat saya.
“Dan kini selepas mendapat tahu dia menghidapi barah yang serius saya terkejut dan bersimpati dengan nasibnya. Semasa pembikinan filem terbitan syarikat saya lalu dia sihat dan kini menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu meringankan beban penyakitnya,” katanya.
Sejak dimasukkan ke hospital, antara rakan artis yang pernah melawat beliau seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Aziz Sattar, Aimi Jar, Eman Manan dan Zami Ismail.
Dilahirkan pada tahun 1954, Shukery adalah anak jati Langkawi ini mendapat pendidikan di merata tempat termasuk Sekolah St Michael, Alor Setar dan Sekolah Jalan Raja Muda yang dulunya dikenali dengan Princess Road School.
Walaupun mula berlakon pada 1984, dia sebenarnya sudah terbabit dalam drama radio sejak 1975. Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Shukery sudah menerima tiga anugerah yang diiktiraf sebagai terbaik dalam industri seni di Malaysia iaitu Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990; Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular 1994 (1995).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: