Thursday, April 30, 2009

Sekolah Cinta


SEBAGAIMANA wataknya sebagai Laura, anak manja dan mengada-ngada dengan loghat bahasa Inggeris dalam sinetron Upik Abu & Laura, begitulah juga gadis manis yang menjayakan watak itu, Cinta Laura Kierl.

Kemampuan pelakon kacukan Jerman-Jawa yang dilahirkan di Quakenbruck, Jerman pada 17 Ogos 1993 ini berbahasa Inggeris memang tidak perlu dipersoalkan lagi. Tidak hairanlah dia dipilih sebagai duta antara tempat kursus ternama di dunia, English First (EF), Februari lalu.

Gadis yang mesra disapa Cinta ini mengakui tertarik dengan lamaran EF kerana ingin masyarakat Indonesia lebih percaya diri menggunakan bahasa Inggeris.

"Sebenarnya di Indonesia ramai orang pintar tapi terhalang kerana bahasa, terutama bahasa Inggeris. Keterbatasan orang Indonesia menggunakan bahasa asing lantaran tidak diguna dalam kehidupan seharian.

"Faktor percaya diri juga jadi hal utama dalam masalah ini. Saya rasa kalau diguna sehari-hari, boleh lancar dan tidak kekok," katanya yang juga sering mengajar bahasa Inggeris di kalangan kru ketika di lokasi penggambaran.

Anak pasangan Michael Kiehl dan Herdiana ini juga menjadikan kebolehannya berbahasa Inggeris dengan membuka sekolah persendirian di Bogor yang diusahakan ibunya merangkap pengurus Cinta. Ia membabitkan sembilan sekolah rendah di daerah Kabupaten Bogor dan mempunyai lebih 3,000 murid.

Selepas ini, Cinta mahu membina sekolah menengah (SMP) khusus membantu anak kurang mampu di Indonesia sebagai bukti cinta dan sayangnya terhadap Indonesia. Cinta juga menjadikan bintang Hollywood, Angelina Jolie sebagai idolanya kerana menjadi duta keamanan.

Kata Cinta, sekolah miliknya di Bogor juga sudah menerapkan bahasa Inggeris, walaupun bukan pada peringkat tinggi begitu juga sekolah yayasan milik ibunya juga menggunakan bahasa Inggeris dalam pelajaran.

"Kami ajarkan bahasa Inggeris yang mudah-mudah dulu. Saya bangga kerana mereka suka mengucapkan 'good morning' setiap kali kami datang. Saya juga sempat menjadi guru di Bogor, tapi kerana sibuk dengan jadual penggambaran, saya jarang berada di sana.

"Jalan penyelesaian, saya sediakan dana setiap bulan untuk menggaji guru dan kos operasi sekolah. Saya masih datang menjenguk, tapi tidak setiap hari, kadang-kadang sebulan sekali atau beberapa bulan sekali," katanya.



Cinta mengakui bahasa Indonesianya tidak begitu lancar, tetapi mengatakan ia jauh lebih baik berbanding ketika mula-mula menceburi lakonan.



"Bahasa saya tahun ini lebih baik daripada tahun lalu. Saya cuba belajar bukan saja tatabahasa, tetapi juga berkomunikasi. Contohnya, ketika temu bual dengan wartawan, saya berusaha bercakap bahasa Indonesia," katanya.

Cinta juga ada cerita menarik mengenai kelahirannya. Katanya, dia dimaklumkan ibunya dilahirkan dalam keadaan songsang.

"Kata orang mereka yang dilahirkan songsang membawa kelebihan dan ternyata sudah terbukti apabila saya berjaya melakukan sesuatu yang diusahakan," katanya.

Bagaimanapun, Cinta menafikan ketidaklancarannya berbahasa Indonesia ada kaitan dirinya lahir songsang dan mengatakan ia bukan dibuat-buat tapi semula jadi. Mereka yang tidak suka dengan Cinta sering mengkritik lakonannya kerana cara bercakapnya kaku.

"Semua ini bukan dibuat-buat, tetapi mami selalu membiasakan saya berbahasa Inggeris baik di sekolah mahupun di rumah. Ini menyebabkan bahasa Indonesia saya kurang lancar, tapi berusaha memperbaikinya.

"Ternyata ketika berlakon, bahasa Indonesia saya agak lancar. Ternyata semua itu kerana ada skrip dan kalau berlakon, saya memberi sepenuh tumpuan sampai sakit kepala.

"Saya berusaha memberikan yang terbaik, tapi kalau ada yang tidak suka, saya tidak boleh buat apa-apa dan terima saja semua itu," katanya.

Kerjaya lakonan Cinta bermula selepas menjadi finalis Top Model 2006 apabila seorang jurinya, Sanjay Maulani adalah pengarah lakonan di MD Entertainment.

Melalui pertemuan itu, Cinta ditawarkan berlakon sinetron dan mula bergelar pelakon melalui sinetron Cinderella (Apakah Dunia Hanyalah Mimpi?) produksi MD Entertainment.

Bermula dengan Cinderella, dengan cepatnya Cinta mencipta nama hingga menang Aktris Ngetop 2007 di Anugerah SCTV mengalahkan pelakon popular Marshanda, Shireen Sungkar dan Nia Ramadhani.

Bagaimanapun, Julai tahun lalu, Cinta berhadapan kes saman MD Entertainment kerana didakwa melanggar kontrak apabila menjayakan sinetron terbitan SinemaArt.

Selepas beberapa kali perbicaraan, pertengahan Disember lalu, mahkamah memutuskan Cinta bersalah dan perlumembayar ganti rugi Rp1.716.406.000 atau melakukan perjanjian yang belum dilaksanakan.

Selain sinetron, Cinta juga menjayakan filem terbitan MD Pictures, Oh Baby. Dalam filem ini, Cinta juga perlu menari dan menyanyi dua lagu untuk soundtracknya, Oh Baby dan We Can Do It. Selepas itu, Cinta merakamkan album bersama Duo Maia untuk lagu Penghianat Cinta.

Mengenai cinta, walaupun cuba menyembunyikan hubungannya dengan David Richard yang juga kawan sekelasnya di Jakarta International School, akhirnya dapat juga dihidu media akhir tahun lalu.

Cinta mengaku sudah setengah tahun bercinta dengan David, tetapi mengatakan pada mulanya tidak mempunyai perasaan terhadap jejaka itu, tetapi selepas lapan bulan mengenalinya, barulah mereka makin rapat.

"Di kelas kami cuma teman biasa, tetapi selepas lapan bulan kenal, barulah kami mula rapat pada Disember selepas cuti sekolah. Ketika itu kami chatting, facebook dan akhirnya bercinta.

"David sesuai dengan saya kerana kami punya banyak persamaan. Antaranya kami sama-sama serius dengan pelajaran. Bagi saya dan David, pendidikan itu sangat penting dan perlu menjadi keutamaan. Kalau kami sibuk sangat dengan urusan sekolah, kami tidak bertemu.

"David juga sangat memahami. Walaupun sibuk berlakon, David tidak pernah merungut kerana dia memahami kesibukan saya dalam dunia seni.

"Malah dia juga sibuk, jadi tidak ada rungutan soal aktiviti. Apa yang penting, kami bercinta sebagaimana remaja lain dan tiada bezanya," katanya.



>Profil

Nama sebenar: Cinta Laura Kiehl

Tarikh lahir: 17 Ogos 1993

Tempat lahir: Quakenbruck, Jerman

Bapa: Michael Kiehl

Ibu: Herdiana

Berat: 44 kilogram

Tinggi: 170 sentimeter

Sekolah: Bogor International School (BIS)

Sinetron: Airmata Cinta, Upik Abu &n Laura, Bidadariku, Cinderella

Filem: Oh Baby

Album: Oh Baby

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: