Wednesday, April 29, 2009

Terkedu apabila Aril tersingkir


ARIL terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada AF7.

Peminat mahu yang popular bukan peserta paling berbakat

SUDAH menjadi hakikat realiti program Akademi Fantasia (AF), apabila kuasa undian di tangan penonton, maka tiada pihak berhak untuk mempertikaikan kuasa mereka dalam menentukan siapa sepatutnya peserta yang boleh kekal meneruskan saingan.

Akibatnya terjadilah insiden peserta kurang berbakat terus maju, manakala mereka yang berpotensi ditunjuk jalan keluar.

Minggu ketujuh AF musim terbaru yang rancak diperbualkan ketika ini, contoh terbaik memperlihatkan betapa kuasa undian di tangan peminat mampu merampas impian peserta berbakat untuk terus menghiburkan penonton.

Suasana di Dewan Sri Putra Bukit Jalil jadi senyap seketika apabila penonton bagai terkedu setelah Aril diumumkan pelajar seterusnya yang harus meninggalkan akademi.

Aril, dilihat antara sebab utama mengapa AF7 masih boleh bernafas, menerusi persembahannya yang mantap pada saban minggu. Selain Hafiz, Aril ialah peserta yang menjadi perhatian apabila hadir dengan pakej yang menarik, serta bakat yang terserlah.

DARI kiri, Aril, Yazid dan Akim.

Lalu, apabila namanya diumumkan peserta yang perlu menarik beg keluar daripada dewan, timbul isu apa sebenarnya yang diinginkan peminat? Apabila tamat persembahan pelajar minggu itu, Hafiz berkongsi jumlah undian dengan Isma iaitu 17 peratus, Aishah dan Yazid masing-masing 15 peratus, Akim (14 peratus), manakala Claudia dan Aril kedua-duanya memperolehi 11 peratus.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata, Aril terpaksa meninggalkan AF7 walaupun perbezaan undiannya dengan Claudia adalah cukup sedikit.

"Saya gembira dengan konsert pada malam ini yang menunjukkan peningkatan semua pelajar, manakala peratusan undian juga semakin seimbang apabila tiada peserta jauh meninggalkan yang lain. Namun kita kena akur dengan peraturan yang mengatakan, peserta dengan undian terendah harus disingkirkan," katanya pada sidang akhbar selepas tamat konsert.

Sabtu lalu, Aril membakar pentas dengan persembahan bertenaganya menyampaikan lagu Nakal daripada kumpulan Gigi. Rata-rata pengkritik malam itu, Datuk Khatijah Ibrahim, Adibah Noor dan Adlin Aman Ramlie menyukai persembahannya.

CLAUDIA, Aishah dan Isma meneruskan langkah ke konsert seterusnya.

Selain Aril, Akim dengan lagu Situasi (Bunkface) turut mencuri perhatian, manakala Yazid dengan lagu With Or Without You (U2) buat kali pertama menunjukkan persembahan meyakinkan.

"Diharapkan media dan penulis blog boleh membantu mengingatkan peminat, jika mereka asyik ingin membantu peserta bukan pilihan, peserta yang berbakat akan terkeluar daripada saingan," katanya.

Ketika ditanya apakah Astro mempunyai perancangan untuk mengadakan undian masuk pelajar yang tersingkir, Khairul Mizan berkata, dia tidak mempunyai hak untuk mengumumkan perkara sebegitu.

Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina pula berkata, dia bingung memikirkan kehendak peminat rancangan terbabit.

“Aril antara ikon yang kami mahu lahirkan daripada program AF7. Dia mewakili penyanyi yang kita inginkan dalam industri muzik hari ini. Malangnya, dengan sistem undian diberikan sepenuhnya kepada peminat, kita tidak tahu apa yang mereka mahukan,” kata Tiara.

Aril tidak mahu lemah semangat

PENYINGKIRAN peserta yang dilihat berbakat dalam rancangan AF sebelum konsert akhir memang sudah beberapa kali berlaku. Linda Nanuwil pernah merasai pengalaman itu pada AF2, manakala Idayu pula mengalaminya pada musim ketiga.

Lalu, apakah Aril juga mengharapkan nasib serupa menyebelahinya?

Kata anak muda berusia 24 tahun dari Kuala Lumpur itu, dia tidak berani hendak mengulas persoalan mengenai harapan untuk melihat undian masuk diadakan sekali lagi oleh AF7.

Akui Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, dia tidak terlalu kecewa apabila terkeluar daripada program realiti terbabit, dan dia juga tidak dapat menjangka rentak undian pengundi AF.

"Ada masanya, pelajar yang berbakat seperti rakan saya, Rubisa, terkeluar juga,” katanya.

Padanya, mungkin peminat tidak mengundi dirinya bukan kerana soal tidak berbakat, sebaliknya mereka ingin memberikan peluang kepada rakannya yang lain meneruskan perjuangan.

Ditanya apakah kerana ‘attitude’ yang sering kali dikaitkan dengan dirinya, sebagaimana yang diperkatakan oleh pengkritik, Aril memberitahu, sikap seperti itu perlu ada pada seseorang penghibur yang berada di pentas.

"Apabila berada di pentas, kita perlu tunjukkan pesona kita kepada peminat. Tetapi, apabila berada di luar, tidaklah kita perlu bersikap demikian.

“Saya sendiri tentunya berbangga apabila pengkritik memuji sikap saya yang dilihat perlu ada pada seorang penghibur. Jadi, saya tidak rasa kerana ‘attitude’, peminat tidak menyukai saya," ujarnya.

Mengenai perancangan selepas ini, jejaka yang petah menjawab segala pertanyaan ini memberitahu, dia akan mengikut rancangan yang diatur oleh Astro Entertainment.

Dari segi muzik pula, katanya tidak salah jika dia ingin mencuba pelbagai bentuk muzik lain selain genre muzik yang menjadi kesukaannya, pop, sebagaimana yang dipersembahkan kumpulan Padi.

"Jika kita mahu menjadi penghibur yang baik, tidak salah sekiranya kita mencuba pelbagai genre muzik. Begitupun, sudah tentulah saya tahu di mana kekuatan saya," katanya sempat berada selama 61 hari dalam akademi terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: