Tuesday, April 28, 2009

Shila bangga dibayangi ayah

Nur Shahila Amir Amzah, 18, cukup membanggakan. Apa tidaknya, ketika masih di bangku sekolah dia sudah pun berjaya menjadi penyanyi. Tidak cukup dengan itu, namanya antara calon kategori Vokal Penyanyi Wanita Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM). Dia juga memenangi anugerah persembahan terbaik pada pertandingan nyanyian Shanghai Star Quest, yang berlangsung di China.

“Syukur alhamdulillah tahun ini nama saya tercalon dalam AIM ke 16. Lagu Memori Tercipta saya pertaruhkan di Grand Finale bersama-sama calon yang lain seperti Datuk Siti Nurhaliza.

“Pencalonan ini sungguh membanggakan. Ada juga perasaan takut tapi saya sangat gembira apabila tercalon. Peluang untuk menang mungkin agak tipis buat saya memandangkan kesemua calon yang bertanding semuanya hebat-hebat belaka.

“Tapi bagi saya, untuk berada pada kedudukan top 5 pun bukan sesuatu yang senang. Saya sudah berusaha keras untuk sampai ke peringkat ini. Jika ditakdirkan untuk menang, ia satu bonus. Lagipun perjalanan saya masih panjang,” ujar Shila ketika ditemui di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Banyak yang menyatakan Shila sebenarnya hanya menumpang populariti ayahnya yang merupakan penyanyi veteran, ND Lala. Hanya setelah kemunculannya dalam rancangan realiti OIAM barulah namanya tiba-tiba gah. Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah jika tak nasi, kini dia mampu berdiri teguh meneruskan perjuangan seninya.

“Ayah banyak menasihati dan selalu ingatkan saya. Katanya, kalau nak jadi seorang penyanyi kenalah ada pelajaran barulah boleh berjaya dalam bidang ini.

“Saya akui mungkin sedikit sebanyak saya dikaitkan sebagai menumpang populariti ayah tapi bukan dia yang menyuruh saya menjadi penyanyi, semuanya kerana keinginan dan minat saya ke arah nyayian.

“Ayahlah mentor yang banyak mengajar saya cara menyanyi. Maka jika ada yang mengatakan saya dibayangi ayah, saya berbangga sebagai anaknya,” ujar Shila.


Sambung belajar

Selain menyanyi, gadis remaja ini turut menyimpan keinginan untuk menyambung kembali pelajaran dalam jurusan Ijazah Pengajian Perniagaan di SEGi Kolej. Tetapi kerana terlalu sibuk dengan jadual harian, Shila terpaksa menangguhkan dahulu hasratnya itu.

“Menyanyi sambil belajar buat saya rasa tertekan kerana bila buat dua perkara dalam satu masa saya rasa nak berehat. Saya akan menyambung kembali pelajaran bila saya dah bersedia.

“Saya tak rela tinggalkan pelajaran dan bidang nyayian. Macam sekarang banyak peluang yang saya dapat bila menyanyi. Saya tak nak melepaskan peluang yang mungkin datang hanya sekali dalam hidup.

“Saya masih muda. Banyak lagi yang perlu saya pelajari dan wang bukanlah matlamat utama. Harapan saya di masa hadapan nanti saya nak buat perniagaan saya sendiri," katanya.

Menyentuh tentang perkembangan terbaru, Shila menyatakan dia kini terlibat dalam satu persembahan sempena kempen 'Jadilah Seperti Hannah Montana'. Kempen ini melibatkan 15 buah sekolah yang terpilih di seluruh Malaysia; antaranya Pudu Methodist Girl School, Sek Men Keb USJ 8 dan Convent Bukit Nanas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: