TIADA kata yang mampu menzahirkan apa yang bergejolak dalam jiwa pemilik nama lengkap Shah Indrawan Ismail atau Tomok ketika ini. Terpilih ke peringkat akhir sekali gus dicanangkan bakal menjadi jutawan baru selepas musim ketiga One In A Million (OIAM 3), sudah tentu getaran di hati Tomok begitu luar biasa sifatnya.
Siapa yang tidak mahu berada di tangga teratas ditambah hadiah yang tersedia di depan mata adalah sebanyak RM1 juta. Ya, macam-macam boleh dilakukan dengan nilai sebanyak itu dalam dunia yang memerlukan wang sebagai jaminan kehidupan.
Tomok yang sempat ditemui Kosmo! kelihatan terkejut apabila diberitakan dia disebut-sebut menjadi insan bertuah yang bakal membawa pulang hadiah lumayan, yang juga menjadi idaman peserta OIAM 3 lain, Esther dan Aweera.
Tersenyum sebelum mengambil masa untuk menghela nafas panjang, pemuda berusia 25 tahun itu awal-awal lagi sudah merencana masa depannya jika kemenangan benar-benar berpihak kepadanya, bagai yang diperkatakan.
"Banyak perkara yang sudah bermain dalam fikiran saya. Antaranya saya ingin menghasilkan album solo, buat projek khas bersama New Boyz (NB) dan buka studio muzik sendiri.
|
|
"Secara keseluruhannya, semua yang dirancangkan berkait rapat dengan perkembangan kerjaya seni saya di masa depan.
"Saya hendak berkarya dengan lebih banyak," jawabnya ringkas, namun dalam lontaran suara cukup bersungguh-sungguh.
Selepas Tomok meraih kegemilangan pantas dalam OIAM 3, maka ada sesetengah pihak yang tertanya-tanya tentang status NB. Apakah ia sekadar tinggal nama dan berkubur begitu sahaja tanpa nisan?
Enggan bersikap individualistik, Tomok sebaliknya menjelaskan, NB masih lagi wujud. Bahkan si arjuna itu sendiri sanggup menyerahkan seluruh jiwa dan raganya untuk kumpulan yang sebelum ini terkenal menerusi lagu Sejarah Mungkin Berulang.
"NB kini bergerak secara bebas setelah kontrak kami bersama Suria Records Sdn. Bhd., (SRC) tamat pada tahun lalu.
"Sebelum ini saya terdengar kononnya saya sudah meninggalkan NB, tambah pula saya menyertai OIAM 3 sendirian.
"Hakikatnya, saya masih bersama mereka. Malah saya dan anggota NB lain sudah ada pelbagai perancangan untuk meneruskan perjuangan seni kami yang sebelum ini pernah tergendala.
"Sebab itulah saya harap sangat untuk memenangi OIAM 3 sekali gus menyalurkan bantuan menerusi kewangan demi melancarkan semula perjalanan NB," ungkap Tomok.
Taruh harapan tinggi
Seperkara yang menarik tentang Tomok, dia tidak pernah membohongi diri sendiri. Istilah hipokrit juga tidak langsung terbias pada kelakuannya kala diajak berbicara tentang kemungkinan untuk bergelar jutawan itu.
Dengan berterus-terang, Tomok mahu merebut gelaran juara OIAM 3. Tidak pernah malu untuk dia mendedahkan azamnya yang tinggi melangit itu, biar pun barangkali ada yang menganggap dia terlebih yakin kepada diri sendiri.
|
|
"Selepas lulus diuji bakat oleh juri OIAM 3, Syafinaz dan Paul Moss, saya terus berkata kepada diri, saya mesti menang. Saya kena membuktikan kebolehan kepada masyarakat.
"Saya juga ingin buktikan bahawa golongan lelaki juga boleh menjadi juara, lantas memecah tradisi OIAM menjadi artis pertama yang memenangi pertandingan ini.
"Masa cepat berlalu, kini saya sudah berada di tahap sekarang sekali gus membakar semangat saya untuk melakukan yang terbaik," akui Tomok sambil tersenyum.
Bagaimana jika kalah?
Itu semua angan-angan dan impian Tomok andai dia ditakdirkan untuk menang. Namun bagaimana pula jika nasib tidak menyebelahi dirinya? Apakah dia juga bersedia untuk dikecewakan?
Terdiam seketika sebelum mendapat kekuatan untuk menjawab pertanyaan itu.
"Jika kalah sudah tentulah saya akan hampa. Memang saya pertaruhkan harapan yang tinggi, berjuang berhabis-habisan sepanjang berada di OIAM 3.
"Biarpun begitu, saya tidak boleh terus selesa dengan jangkaan peminat yang meramalkan kemenangan saya. Takut yang diharapkan jadi lainlah pula nanti.
"Paling penting, saya akan melakukan sehabis baik untuk merebut gelaran juara. Selebihnya terpulang kepada rezeki kerana peserta-peserta yang sudah berada di tahap ini semuanya hebat-hebat belaka.
"Saya hanya mampu berserah kepada Allah setelah melakukan yang terdaya," jelas Tomok dengan bicaranya yang sederhana.
Tidak lupa diri
Perbualan menjadi lebih rancak apabila soalan tentang dirinya yang bakal meninggi diri selepas melangkahkan kaki keluar daripada OIAM 3 dibahaskan pada petang itu.
Tidaklah terkejut, sebaliknya Tomok cuba menjawab dalam nada yang penuh berdiplomasi. Bersesuaian dengan dirinya yang sudah berada dalam gelanggang seni sejak sedekad lalu.
|
|
"Saya yakin tidak akan bertukar sisi lain dengan menjadi diva atau bersikap sombong diri selepas ini. Biasanya artis yang berperangai macam ini terdiri daripada golongan wanita.
"Lagipun saya tidak rasa diri saya akan berubah walaupun jika ditakdirkan menang OIAM 3 nanti.
"Sudah 10 tahun saya berada dalam industri seni. Saya sudah berdepan dengan banyak perkara pahit dan manis dalam tempoh yang panjang ini.
"Memang sebelum ini sewaktu mengecap zaman kegemilangan bersama NB, saya tidak pernah bongkak atau berlagak tidak tentu pasal dengan orang di sekeliling.
"Saya masih lagi Tomok yang anda kenali sebelum ini," sahut Tomok tegas tanda dirinya tidak pernah hanyut dengan percikan glamor sepanjang bergelumang sebagai anak seni.
Kolaborasi bersama Isma
Kalau Tomok beradu nasib di pentas OIAM 3, sama halnya juga apabila kakak kesayangannya iaitu Isma, 30, sedang berjuang dalam Akademi Fantasia 7 (AF7).
Dua beradik itu punya misi sama. Masing-masing ingin menjadi juara dalam menyertai dua rancangan realiti yang terus mekar di hati peminat seni tanah air sejak beberapa tahun lalu.
"Saya bangga dengan pencapaian dia (Isma). Saya tahu dia memang berbakat dalam bidang nyanyian, cuma dia masih belum mendapat kedudukan di tempat yang sewajarnya dalam dunia seni.
"Oleh itu, saya gembira dengan keputusannya melibatkan diri dalam AF7, yang disifatkan sebagai platform terbaik untuk dia mengenengahkan bakatnya sebagai penyanyi.
"Walaupun sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai lima orang anak, namun dia tetap bersemangat untuk melakukan yang terbaik dalam AF7.
|
|
"Saya berada di OIAM 3 manakala dia pula di AF7, maka sudah pastilah kami berdua mengharapkan kejayaan besar menanti di hadapan," ujar Tomok yang memperlihatkan sokongan seratus-peratus terhadap permulaan karier seni kakaknya.
Disebabkan tidak dapat berkomunikasi dengan Isma yang berada dalam AF7, Tomok sebaliknya sekadar memerhatikan progres Isma di kaca TV.
"Sedih jugalah sebab tidak dapat menghubungi dia untuk memberi kata-kata perangsang, namun naluri saya tetap mengatakan dia ada peluang untuk menjuarai AF7.
"Selepas ini, saya bercadang untuk berkolaborasi dengannya. Saya masih belum memikirkan tentang kerjasama ini, sebaliknya niat untuk menyanyi bersama-sama, memang sudah ada dalam agenda saya.
"Harap-harap rancangan saya menjadi selepas ini," mohon Tomok yang tinggal sebelah-menyebelah dengan kediaman kakaknya yang terletak di pinggir ibu kota.
Sebelum berlalu pergi, Tomok sempat menitipkan pesanan khusus kepada peminatnya. "Saya benar-benar memerlukan sokongan daripada anda. Teruslah menyokong Tomok agar saya dapat menjuarai OIAM 3."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: