Barang perhiasan bakal menyerikan penampilan Salamiah, Atilia, Syafinaz dan Hunny Madu
WANITA dan perhiasan sememangnya cukup intim. Bagai tidak sah apabila seseorang wanita tidak menyukai barang kemas atau perhiasan. Pendek kata, tidak lengkap penampilan mereka jika tidak diserikan dengan sebentuk cincin, seutas rantai mahupun sepasang subang.
Empat penyampai trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-16, Salamiah Hassan, Atilia Haron, Syafinaz Selamat dan Hunny Madu turut mengakui kecintaan mereka terhadap barang kemas, terutama yang diperbuat daripada emas, berlian atau permata.
Pada kemunculan mereka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu ini, empat wanita terkenal ini bakal melengkapkan penampilan dengan barangan perhiasan daripada Fa'iq Jewels yang berpangkalan di Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur.
Baru-baru ini, mereka berkunjung ke kedai barangan perhiasan berkenaan, untuk memilih sendiri aksesori sesuai dengan gaun pilihan masing-masing. Ketika semuanya terpesona dengan gemerlap emas dan kilauan berlian Fa'iq, mereka sempat berkongsi cerita mengenai minat terhadap barang kemas serta koleksi peribadi.
Kata Salamiah, dia memang menyukai barangan perhiasan yang diperbuat daripada emas, mutiara dan batu permata berharga. Dia sendiri mempunyai koleksi yang dianggap cukup bernilai lagi sentimental, seperti batu zamrud dan pertama yang berada dalam simpanannya buat sekian lama.
EMPAT selebriti ini terpesona dengan barang perhiasan Fa'iq Jewels. |
"Batu zamrud itu umpamanya, dihadiahkan oleh ibu saya. Saya turut menyimpan seutas cincin berlian yang cukup lama usianya. Barangan seperti itu, semakin lama usia, semakin tinggi nilainya," kata penyanyi veteran berkenaan yang turut mengubah suai bentuk barang kemasnya untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.
Jika ke kedai emas pula, kata penyanyi bersuara lunak ini, pastinya dia akan menuju ke bahagian jualan cincin terlebih dulu, di samping meneliti subang gantung yang turut menjadi hiasan pilihan.
Sama seperti ibunya, penyanyi Atilia sukakan koleksi subang dan cincin. Begitupun, sejak akhir-akhir ini, minatnya terhadap gelang tangan semakin menjadi-jadi.
"Dalam koleksi saya, paling banyak disimpan tentulah subang. Apabila kita menggayakan rambut yang di sanggul, hiasan itu akan lebih menyerlah," ujar wanita yang mengaku boleh membeli barang kemas di mana-mana saja, asalkan ada koleksi yang memikat hatinya.
GAYA Syafinaz dengan perhiasan pilihannya. |
Ditanya mengenai barang kemas paling berharga, tanpa ragu-ragu Atilia mendedahkan, seutas rantai jed yang diberikan ibunya ketika dia berusia lapan tahun ialah koleksi paling bernilai buatnya.
"Saya pasti berada dalam masalah besar sekiranya rantai ini hilang," katanya sambil disulam ketawa manja.
Beli tidak pilih tempat
BAGI Syafinaz, dia juga tidak memilih tempat untuk membeli barang kemas atau aksesori. Pernah pada satu ketika, dia berkunjung ke sebuah pusat-beli belah di Bangkok pada awal pagi. Di situ, dia terpandang aksesori yang memikat hatinya dan tanpa berfikir panjang, barang berkenaan menjadi miliknya beberapa minit kemudian.
Syafinaz yang meminati berlian sebenarnya mempunyai pengalaman buruk apabila bercerita mengenai barang perhiasan.
"Saya mempunyai sebuah kantung yang banyak menyimpan cincin, subang dan gelang. Saya menyimpan aksesori terbabit di dalam kantung bagi memudahkan urusan penjagaan. Selalunya, saya memang akan sentiasa memeriksa kantung itu, untuk memastikan barang kemas terjaga dengan sempurna.
"Sayangnya, ada satu ketika, saya terlupa memeriksa bekas simpanan itu untuk tempoh dua minggu lamanya. Apabila saya ingin berbuat demikian, semuanya sudah hilang!" cerita Syafinaz yang enggan memikirkan sangat mengenai kerugian dialaminya itu, bagi mengelakkan kesedihan.
Kini, dia sedikit demi sedikit cuba mengumpul semula barangan berkenaan.
Penyampai radio Fly FM yang baru muncul dengan album single, Hunny Madu pula mengaku lebih gemar membeli baju dan barangan perhiasan diri di luar negara, bagi mengelakkan berlakunya persamaan dengan milik orang lain.
Sesekali terbang ke Indonesia atau Thailand, dia pasti pulang dengan beg yang sarat. Tidak berkira mengenai harga, yang penting dia memiliki barangan yang cantik dan berbeza.
"Manakala bagi aksesori pula, saya sukakan sesuatu yang agak besar dan jelas kelihatan. Contohnya, jika memakai gelang, biar ia nampak di tangan," kata Hunny yang turut menggemari kasut edisi terhad.
Dalam bergaya, katanya, dia lebih suka tampil dengan suatu kelainan. Justeru, aksesori yang melengkapkan gayanya juga perlulah berbentuk lebih moden dan terkini. Namun begitu, wanita ini memberitahu, dia berasakan dirinya belum sampai ke tahap untuk mengumpul barang kemas daripada emas, sebaliknya lebih gemarkan aksesori yang diperbuat daripada platinum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: