Tuesday, April 28, 2009

Disahkan menghidap kanser hati tahap empat ...Shukery Hashim



SELAYANG – Walaupun disahkan doktor beliau menghidap kanser hati agak serius pada tahap empat, pelakon drama dan filem terkenal, Shukery Hashim, 55, bagaimanapun berkata, beliau redha dengan ketentuan Ilahi.

Menurut Shukery yang sering membawa watak ‘orang kaya berpangkat Datuk‘, beliau sendiri tidak menyangka mendapat penyakit berkenaan, kerana sebelum ini merasakan hanya mempunyai masalah pankreas.

“Buat masa ini, saya redha dan berdoa serta berharap peminat, rakan-rakan, saudara mara dan mereka di luar sana turut mendoakan kesihatan saya. Alhamdulillah isteri dan keluarga banyak memberikan sokongan,” katanya.

Beliau yang kelihatan masih lemah selepas menjalani pembedahan kira-kira dua hari lalu berkata demikian kepada Sinar Harian di Wad Hepatobiliary (HPB), Hospital Selayang, di sini, semalam.

Sebelum itu, Shukery sempat menunjukkan bekas jahitan luka pembedahan, sepanjang kira-kira 15 sentimeter.

Ditanya sama ada beliau akan mendapatkan rawatan lain selain daripada hospital bagi mengubati penyakit itu, beliau yang menetap di Ampang berkata, perkara tersebut akan difikirkan kemudian.

Shukery dalam pada itu, ditemani isteri tercinta, Faridah Mat Desa, yang setia berada di sampingnya bagi menjaganya sepanjang menjalani rawatan di hospital.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: