Lewat pengalaman menyertai pelbagai festival muzik, D’Masiv acap menukar corak muzik yang dibawakan. Mereka pernah terpengaruh dengan band yang membawakan muzik keras, malah sempat muncul dengan album, Menuju Nirwana.
Bagaimanapun, nama mereka mula menjadi sebutan selepas menjuarai A Mild Live Wanted pada 2007, lalu muncul single pertama, Tak Bisa Hidup Tanpamu.
Perubahan menyandarkan kepada Cinta Ini Membunuhku sebagai single pertama. Dengan permainan tempo yang perlahan, lagu ini lebih menyerlahkan kepada kekuatan vokal Rian yang kedengaran mengasyikkan.
Namun menyemak keseluruhan pengisian Perubahan, D’Masiv masih belum berani untuk keluar daripada kepompong kebiasaan genre rock yang dibawakan kumpulan dari Indonesia.
Mereka cuma meneruskan apa yang sedia ada di pasaran. Lantas nuansa rock yang pernah melatari album Nidji dan Sheila On 7 juga terkesan dalam beberapa lagu yang melatari Perubahan.
Jujurnya, menyusur keseluruhan perjalanan album ini sedikit membosankan kerana jalur muzik yang dipilih cenderung kepada sentuhan perlahan dan mendayu.
D’Masiv belum berani untuk memberi lebih warna dalam persembahan muzik mereka. Tiada elemen mengejutkan untuk memperkenalkan kepada peminat jalur muzik D’Masiv. Ia mungkin mengundang bahaya kepada kumpulan ini jika berterusan begini.
Kata Hip: D’Masiv bernasib baik kerana mempunyai vokalis yang memiliki kekuatan tersendiri. Karakter vokal Rian cukup hebat malah mengumpan keasyikan terutama ketika membawakan lagu perlahan.
ALBUM: Kamu Semua
ARTIS: Azizi
GENRE: Pop
NAIB juara DiGi CelebriTeen 2007 dan mencipta sejarah sebagai peserta termuda mengambil bahagian dalam DiGi Superstars pada 2008, Azizi mempertaruhkan Kamu Semua, album mini dengan tiga lagu kesemuanya sentuhan Ah Tu.
Kamu Semua turut ditampilkan dalam versi Trance Club Mix serta minus one, manakala Sentiasa pula diberi sentuhan House Mix sebagai pelengkap permulaan langkah Azizi.
Berbeza Kamu Semua yang agak rancak, Kaulah Permata dan Sentiasa pula menguji penguasaan vokal Azizi dalam sentuhan perlahan.
Agak malang kerana percubaan pertama ini kurang elemen magis untuk membuka mata khalayak kepada kebolehan sebenar anak muda berusia 17 tahun ini.
Balutan elemen rock dan pop yang dipersembahkan juga kurang mengesankan. Malah vokal Azizi memerlukan lebih desakan untuk membolehkannya berdiri selesa di pentas hiburan.
Bukan mahu menidakkan kebolehan serta bakat nyanyian Azizi. Dia boleh menyanyi dan itu adalah hakikat. Cuma barangkali, pengalamannya yang belum meluas membuatkan persembahan mini album ini agak tawar kerana tidak disokong sentuhan mantap.
Azizi harus sedar industri hiburan kini dilambakkan dengan ramai bakat baru. Bersilih ganti mereka muncul namun hanya berapa kerat saja yang mampu bertahan.
Selebihnya tenggelam dalam lautan fantasi yang mereka cipta sendiri. Azizi harus mempersiapkan diri dan tidak perlu terburu-buru kerana jalan akan terbentang apabila dia benar-benar bersedia.
Kata Hip: PENUHI dulu dada dengan ilmu dan pengalaman kerana industri memerlukan bakat yang mampu membawa angin baru dan peralihan kepada dunia hiburan.
ALBUM: All I Ever Wanted
ARTIS: Kelly Clarkson
GENRE: Pop
EMPAT album di tangannya, juara musim pertama American Idol ini membawa muziknya ke destinasi baru yang lebih mencabar tanpa perlu mengulangi apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Clarkson melihat album ini mempunyai lebih jiwa, membawa bersama pengaruh muzik rock 70-an diperkemaskan dengan irama kelab dan tarian.
Suatu yang ketara mengenai gadis ini ialah dia membawa sentuhan yang memberi keselesaan kepadanya dan itu jelas terlihat dalam All I Ever Wanted.
Clarkson memegang prinsip muziknya sendiri dan kerana itu, dia merencana pembikinan album ini dengan bentuk persembahan di pentas.
Pada kebanyakan lagu, Clarkson membiarkan suaranya bebas di awangan tanpa perlu terlalu bereksperimen untuk menyerlahkan keunikan vokalnya.
Turut bekerjasama dengan Katy Perry dalam I Do Not Hook Up, Clarkson memanipulasi situasi itu dengan menambah kekuatan menerusi vokalnya yang tersendiri.
Tidak terbatas hanya kepada lagu rancak dan bertenaga, Clarkson turut menyalur emosinya yang mendalam untuk lagu seperti dalam If No One Will Listen dan Cry.
Kata Hip: PRODUKSI yang mempunyai potensi untuk mendapat tempat di hati khalayak kerana Clarkson mengimbangi antara sentuhan rancak dan balada yang menonjolkan keindahan julat vokalnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: