ANTARA mitos dan legenda. Sememangnya itulah daya penarik utama pementasan Muzikal Mahsuri yang kini sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) sehingga 30 April nanti.
Akui pengarahnya, Fauziah Nawi sendiri, sambutan yang diterima terhadap sentuhan sulungnya di IB itu sungguh di luar jangkaan memandangkan Muzikal Mahsuri sebuah karya epik.
Difahamkan tiket-tiket Muzikal Mahsuri laris dijual dan masih mendapat permintaan. Paling mengejutkan, tiket pementasan malam pertama pada 24 April lalu, hanya sedikit bersisa, manakala tiket untuk pementasan pada malam kedua habis terjual.
"Rasanya sebab Mahsuri sendiri sebuah cerita mitos yang terkenal. Masyarakat 'kita' minat dan sukakan perkara magis dan sakti, saya agaklah. Setidak-tidaknya, saya tidak dimarahi orang IB kerana tiket tidak laku.
"Sebelum ini, teater saya di pentas yang kecil, bilangan penonton yang datang tengok pula tak seberapa. Bila tengok ramai penonton yang datang, mulalah saya berdebar-debar," luah Fauziah yang mesra dibahasakan 'ibu' di kalangan artis dan media itu merendah diri.
Realistik terhadap karya sentuhannya yang dikatakan tidak meninggalkan impak terutama apabila penghujung muzikal dibiarkan terhenti selepas kematian Mahsuri, Fauziah bagaimanapun tampil dengan alasan tersendiri.
"Memang dalam skrip asal, suami Mahsuri pulang ke Langkawi, menemui anaknya dan meratap-ratap di kuburan menangisi kematian isterinya.
"Saya rasa babak itu terlalu klise, dah tak naklah tengok orang meratapi kematian sampai begitu rupa. Muzikal ini tentang Mahsuri, kalau hendak diceritakan semuanya, pasti meleret sampai dua jam pun tak habis," katanya yang sedikit tercabar dengan durasi pementasan yang hanya memperuntukkan durasi satu jam 45 minit itu.
Bermain dengan durasi serta pertama kali berdepan muzikal yang memiliki struktur teknikal yang canggih, Fauziah anggap Mahsuri mencabar kredibilitinya sebagai seorang pengarah teater yang pertama kali mencatat namanya di pentas Panggung Sari.
"Pernah masa latihan, wagon yang kami gunakan berlaga antara satu sama lain. Mulanya juga saya rancang agar karakter syaitan semasa babak mimpi Mahsuri itu akan turun dari bumbung menggunakan tali, tapi disebabkan faktor keselamatan aksi itu terpaksa dilupakan. Masa babak malam pertama Mahsuri dan Wan Darus juga, katil peraduan mereka sepatutnya terapung dan terangkat, tapi tak jadi. Saya kecewa sangat," luah Fauziah berterus-terang ketika ditemui selepas pementasan malam pertama, Jumaat lalu.
Tidak seratus-peratus puas hati dengan karya sentuhannya, Fauziah ambil pengajaran daripada pengalaman Muzikal Mahsuri. Jika diberikan peluang, dia pasti kembali lagi ke IB untuk mementaskan karya sendiri.
"Saya buat muzikal ini sebab teringin sangat nak buat teater di IB, susah macam-mana pun kena tahan sebab nak buat sangatkan. Tapi saya tabik dengan komitmen dan kemampuan pelakon, daripada yang langsung tidak tahu bersilat tapi masa sebulan lebih mereka boleh bersilat dengan bagus. Kalau latihan lebih lama, rasanya hasil lebih baik yang boleh disaksikan.
"Apa yang paling saya suka, tiada masa untuk penonton berehat ketika pementasan berjalan. Selain itu juga, semua nyanyian disampaikan secara live, bukan rakaman," katanya tidak melatah dengan kritikan-kritikan yang diutarakan segelintir media yang kurang puas hati dengan penyampaian dan keberkesanan plot Muzikal Mahsuri.
Mungkin juga, itulah cabarannya merealisasikan skrip orang lain memandangkan selama ini, kebanyakan teater yang dipentaskan Fauziah adalah buah tangan sendiri.
Fauziah mengakui segala kekurangan datang daripadanya jika muzikal yang meletakkan watak utama, Vanidah Imran itu dilihat tidak menonjol. Bukan watak Mahsuri sahaja, bahkan Wan Darus, lakonan Arja Lee juga tidak banyak membantu.
Sebaliknya lakonan Sabera Shaik yang membawakan watak Wan Mahura, kakak ipar yang merancang episod fitnah terhadap Mahsuri dilihat mendominasi plot. Malangnya, kepuasan penonton mahu menyaksikan hukum karma menerusi muzikal ini tidak tertunai. Yang baik mati dan yang jahat dibiarkan hidup.
"Saya pilih untuk pendekatan sebegitu. Seperti dialog Mahsuri, 'mintalah ampun kepada Tuhan'. Apa yang saya cuba sampaikan juga adalah sifat manusia Mahsuri itu sendiri.
"Saya lihat Mahsuri itu manusia tulen, dia ada sifat nakal, manja, baik dan dendam sendiri. Karakter yang ada pada Mahsuri itu sendiri buat ramai orang benci kepadanya. Kerana dendam juga dia bersumpah sedemikian rupa," itu yang saya nampak tentang Mahsuri.
"Dalam sejarah memang Wan Mahura mati akibat dirogol secara bergilir-gilir oleh tentera Siam. Langkawi pula berjaya ditawan oleh Siam gara-gara pertolongan bapa Mahsuri yang memberi laluan kepada Siam untuk masuk ke kota. Cuma dalam teater ini sahaja, ibu tidak memberikan gambaran sedemikian," ujar Vanidah tidak kesal jika watak Mahsuri dikatakan tidak banyak berdialog dan bermain emosi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: