Wednesday, April 29, 2009

Geng culik palsu, ugut tumpas


AYUB (kiri) menunjukkan sebahagian kad ATM dan peralatan yang
digunakan dalam kes peras ugut di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.


BUKIT MERTAJAM - Empat termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana terlibat dalam dua kes peras ugut berasingan di negeri ini sejak bulan lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, kes pertama berlaku pada 7 Mac lalu melibatkan seorang mangsa wanita yang menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali kira-kira pukul 11 pagi.

Menurutnya, berdasarkan perbualan telefon berkenaan, suspek yang berusia 44 tahun telah memberitahu bahawa anak mangsa akan ditangkap oleh beberapa orang yang datang dari Kuala Lumpur dan Johor.

Suspek yang mendakwa dirinya ketua gengster di Alma, di sini juga memberitahu, kononnya dia telah menahan anak mangsa dan menuntut bayaran tebusan RM1 juta sebagai pertukaran.

"Suspek turut mendakwa mengetahui mangsa telah menerima wang insurans nyawa akibat kematian suaminya sebanyak RM2 juta.

"Pada 9 Mac, mangsa telah memasukkan RM100,000 ke dalam sebuah beg plastik dan meminta pembantu rumahnya meletakkan bungkusan itu di sebuah tokong Cina di Jalan Kulim, di sini.

"Kemudian pada 20 Mac, mangsa sekali lagi diminta menyerahkan wang perlindungan RM36,000, tetapi dikurangkan kepada RM15,000 selepas tawar-menawar dan dihantar dengan cara sama," katanya.

Tambah beliau, polis berjaya menahan suspek pada hari tersebut setelah membuat intipan di tokong Cina berkenaan ketika cuba mengambil wang berkenaan.

Ketika ditahan, polis menemui bungkusan yang mengandungi wang tersebut selain dua telefon bimbit yang salah satu adalah merupakan telefon yang digunakan untuk tujuan pemerasan terhadap mangsa.

Katanya, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan yakin dengan penahanan itu polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pemerasan yang berlaku di Pulau Pinang.

Sementara itu, dalam kes kedua pada 9 April lalu melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun yang menghubungi mangsa dengan memberitahu dia diupah oleh seseorang untuk membunuhnya.

Katanya, suspek kemudian meminta mangsa memasukkan RM90,000 ke dalam satu akaun bank jika ingin mengetahui identiti orang yang mengupahnya.

"Bertindak atas maklumat, polis telah menahan suspek pertama iaitu seorang lelaki berusia 55 tahun yang merupakan seorang pemandu bas pada 21 April lalu kira-kira pukul 8.30 malam di Kawasan Perusahaan Perai.

"Suspek kedua, wanita warga Indonesia berusia 37 tahun ditahan di Taman Pelangi, di sini pada 22 April kira-kira pada pukul 7 malam.

"Suspek ketiga pula yang merupakan suspek utama ditahan pada 23 April kira-kira pukul 7.10 malam di Taman Bagan Ajam, Butterworth, dekat sini," katanya.

Jelas Ayub, berdasarkan siasatan, suspek utama telah menggunakan modus operandi dengan membeli kad ATM milik pekerja warga asing daripada suspek pertama dan kedua dengan harga RM100 sekeping.

Kad ATM itu digunakan bagi mengeluarkan wang selepas mangsa memasukkan wang tebusan ke dalam akaun bank tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: