|
KEHADIRAN Wan Sharmila di persada hiburan tanah air kurang disedari tetapi segalanya berubah sejak menjayakan drama bersiri Kisah Kaisara dan Rona Roni Makaroni. |
Nyata watak gadis belasan tahun dan pelajar sekolah berjaya mencuri perhatian ramai. Malah dengan sikap dimiliki sebagai remaja, ditambah pula tubuh yang kecil serta lemah lembut, mungkin tiada yang menduga, pelakon utama Kisah Kaisara ini sudah berusia 28 tahun.
Begitupun, kata Wan sebagai pelakon, sebenarnya dia menyimpan keinginan mencuba pelbagai watak yang berbeza dari apa yang selalu dilakonkan.
"Saya selalu diberikan watak gadis remaja dan ini mungkin disebabkan mereka melihat karakter saya yang lincah dan periang.
"Namun, saya mempunyai impian membawa watak yang lebih matang bersesuaian dengan usia dan status diri," katanya.
Kata pelakon berstatus isteri ini, dirinya tidak bermaksud untuk terlalu memilih watak ditawarkan kerana memahami setiap tawaran diberikan adalah rezeki dari-Nya.
"Saya tidak akan menolak andai kata saya menerima lagi tawaran untuk watak pelajar sekolah. Mengapa perlu ditolak rezeki, lagi pun ini juga proses pembelajaran kepada saya.
"Saya juga bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus sehingga saat ini. Penerbit juga sudah semakin percaya dengan bakat saya.
"Buat masa sekarang, saya ada terima beberapa tawaran berlakon. Namun, saya tidak berani memaklumkan ketika ini kerana ia masih dalam perbincangan. Bagaimanapun, kemungkinan besar dalam bulan Jun ini saya akan sibuk dengan pengambaran," katanya.
Menyentuh percapaian yang dikecapi hari ini, kata Wan, dia bersyukur kerana namanya sudah dikenali ramai namun itu tidak bermakna dia berpuas hati.
"Alhamdulillah, saya gembira dengan penjalanan seni saya. Saya tidak mahu main-main lagi dan nekad untuk lebih serius dalam bidang ini.
"Bagi saya, selagi mampu saya akan terus menggunakan peluang yang ada dengan bijak," katanya.
Namun begitu, isteri kepada penerbit Radius One Sdn Bhd, Fazli Baharom ini, tidak menyimpan hasrat untuk berkecimpung selamanya dalam industri hiburan.
Katanya, akan tiba satu peringkat dia mengucapkan selamat tinggal kepada industri ini kerana ingin menerajui bidang lain yang dirasakan sesuai dengan peningkatan usianya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: