Wednesday, April 29, 2009

'Mereka ada karisma tersendiri'


MEMEGANG gelaran Pelakon TV Lelaki Popular tujuh tahun berturut-turut sememangnya satu pencapaian membanggakan buat Rosyam Nor apatah lagi dalam usia mencecah 43 tahun banyak saingan daripada pelakon muda dan kacak.

Bagi Rosyam, pelakon kelahiran Singapura, Aaron Aziz diramal mampu menghiasi industri penyiaran dan perfileman tempatan dalam tempoh panjang. Begitu juga pencabar lainnya untuk kategori sama di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) 12 April lalu, Fahrin Ahmad dan Remy Ishak.

Pujian itu diluahkan Rosyam secara terbuka ketika majlis pelancaran drama terbaru terbitan syarikatnya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Rahsia Hati, baru-baru ini. Bagi Rosyam, Aaron dan beberapa lagi pelakon lelaki yang ada termasuk Fahrin dan Remy mempunyai masa depan cerah.

"Saya tidak kata mereka akan menggantikan pelakon sedia ada sebaliknya akan mewarnai industri. Sekarang tidak dinafikan kita mempunyai ramai pelakon lelaki, tetapi mereka ini tidak cukup 'jantan'. Sebaliknya, Aaron dan beberapa pelakon yang saya sebutkan ini mempunyai karisma dan aura tersendiri," kata Rosyam.

Bagi Aaron, kata-kata itu bukan saja membuatkan dirinya terkejut malah cukup terharu. Bagaimanapun katanya, kenyataan Rosyam itu sedikitpun tidak membuatkan dia berasa riak sebaliknya mahu lebih bertanggungjawab dengan memberikan hasil kerja lebih baik.

"Lebih penting, saya mahukan pastikan tidak ada perkara tidak baik atau kontroversi yang boleh memberi kesan buruk kepada imej peribadi mahupun kerjaya.

"Selepas ini apa saja dilakukan, saya akan pastikan hasilnya bagus kerana tidak mahu mengecewakan Rosyam yang percaya dengan bakat yang saya miliki," katanya.

Bercerita lanjut mengenai kontroversi, bapa dua anak, Danish Amaqi, 5 dan Dwi Ariana, 2, berkata, antara sebab dia mampu mengekalkan imej bersih kerana mempunyai isteri dan anak-anak. Malah isterinya, Diyana Halik bertindak sebagai pengurus memudahkan lagi kerjanya.

"Status sebagai ketua keluarga membuatkan saya sentiasa fikir mengenai mereka. Secara tidak langsung ia menjauhkan saya daripada perkara yang tidak diingini.

"Sebelum melakukan perkara tidak baik saya memikirkan kesannya kepada anak-anak dan isteri, yang selama ini banyak memberikan sokongan dan dorongan terhadap kerjaya yang dipilih.



"Lagi satu, sekiranya kontroversi atau isu ditimbulkan itu boleh memberi kesan buruk kepada kerjaya seni, bayangkan bagaimana saya hendak beri isteri dan anak-anak makan.



"Saya bekerja bukan untuk cari makan saya seorang. Perkara itu sentiasa ada dalam ingatan saya. Kerana itu juga Tuhan agaknya melindungi saya daripada perkara buruk," katanya.

Waktu sama, kata Aaron, sebagai orang baru dalam industri dia sentiasa cuba memperbaiki diri agar bakat lakonannya menyerlah dalam drama mahupun filem.

"Rakan-rakan di Singapura sendiri ramai yang berkata bagaimana saya dapat menempatkan diri dalam industri perfileman dan penerbitan drama di sini. Ramai yang mahu mengikut jejak langkah dan meminta saya memberikan sedikit tips.

"Pada saya, perkara seperti ini tiada rahsia selain daripada berusaha, bekerja keras dan memberikan yang terbaik. Dalam waktu sama, saya beruntung kerana isteri yang bertindak sebagai pengurus mampu mengatur jadual kerjaya dengan baik," katanya.

Aaron baru saja selesai memperbaharui kontrak setahun lagi sebagai wajah eksklusif Astro selepas mengikat kontrak dengan stesen berbayar itu tahun lalu. Dalam tempoh setahun, Aaron sudah membintangi dua drama bersiri, Cinta Gila dan Rahsia Hati di samping tiga telefilem antaranya Oh Ibu dan Hang Tuah.

"Bagaimanapun untuk kontrak terbaru ini, jumlah waktu tayangan yang harus saya bintangi dalam drama diterbitkan untuk Astro dikurangkan.

"Perkara itu terpaksa dilakukan kerana tahun lalu saya tidak mempunyai rehat langsung. Terutama apabila membintangi Rahsia Hati yang bakal disiarkan di Astro Prima sebanyak 40 episod.

"Kadang-kadang apabila kita bekerja dalam masa terlalu panjang ia boleh mempengaruhi 'mood'. Saya takut perkara itu boleh mengganggu tumpuan sekali gus menjejaskan lakonan pada masa akan datang. Begitupun saya bertuah kerana dalam Rahsia Hati semua pihak termasuk pelakon dan kru memberikan komitmen tinggi," katanya.

Mengenai kemungkinan memohon menjadi warganegara Malaysia kerana anak-anak juga menetap dan belajar di sini, Aaron mengakui sudah lama memikirkan perkara itu.

"Saya tidak kisah kerana rumah di Singapura didiami keluarga mentua, sementara kereta sudah saya sewakan di sana. Cuma untuk memohon kerakyatan, prosesnya mengambil masa panjang.

"Bagaimanapun sewaktu membuat permohonan baru-baru ini, pihak berkuasa ada menyatakan ia boleh disegerakan sekiranya saya mempunyai syarikat atau anak ketiga dilahirkan di sini.

"Perancangan untuk melakukan kedua-dua perkara ini sudah ada tetapi saya menyerahkan segalanya kepada rezeki," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: