AIZAT menggalas tanggungjawab besar di Varna, Bulgaria. |
PELUANG membawa bakat ke negara luar kini terbentang di depan mata, terserah kepada penyanyi muda, Aizat, 20, bagaimana mahu memanfaat segala ruang emas yang selama ini menjadi igauan anak seni tempatan.
Bermula 8 Mei ini, Aizat yang masyhur dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu menggalas cabaran untuk mengharumkan nama negara menerusi pertandingan Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-18 Discovery 2009 di Varna, Bulgaria.
Acara tahunan yang mula diperkenalkan pada 1992 itu menemukan penyanyi dan komposer berbakat pelbagai negara mempamerkan kekuatan komposisi serta nyanyianpada pertandingan itu.
Discovery 2009 adalah antara komponen festival yang turut diserikan dengan pameran, persembahan teater, promosi album terbaru serta bengkel teori untuk pembangunan seni dan budaya masyarakat dunia.
Pemilihan Aizat, kata wakil Nellomar Productions Sdn Bhd, Nelly Omar yang bertanggungjawab menguruskan peserta negara dalam pertandingan itu bertepatan dengan pencapaian yang dicipta penyanyi berkenaan sepanjang tahun lalu.
Awalnya kata Nelly, mereka membuka penyertaan kepada beberapa artis yang berminat sebelum memilih calon berpotensi untuk membawa cabaran itu.
“Aizat dan pengurusannya menunjukkan kesungguhan. Mereka komited serta memberikan kerjasama yang baik sekali gus memperlihatkan betapa dia serius mahu membawa bakatnya ke negara luar.
“Rekod seni Aizat sepanjang 2008 dan tahun ini juga memberangsangkan. Kami percaya dia calon paling layak mewakili Malaysia. Kredibiliti dan bakat besar Aizat membuatkan kami bersungguh-sungguh membantu mengembangkan karier seninya di luar negara,” katanya.
Nelly berkata, tawaran untuk membawa penyanyi tempatan bertanding dalam Discovery 2009 diterima mereka akhir tahun lalu.
Bagaimanapun, proses pencarian penyanyi yang layak memakan sedikit masa kerana mereka harus mencari calon terbaik memandangkan Discovery 2009 menemukan peserta daripada 15 negara berbeza.
“Kita mempunyai ramai penyanyi berbakat, malangnya tidak ramai yang bersungguh-sungguh apabila kami memberikan tawaran.
“Ada yang berminat tetapi terhalang disebabkan oleh halangan daripada syarikat rakaman. Kami tidak menyalahkan mereka,” katanya.
Nelly berkata, dalam pertandingan yang berlangsung selama tiga hari itu, Aizat hanya akan mempertaruhkan bakatnya pada dua malam persembahan iaitu untuk persaingan Lagu Terbaik dan Persembahan Terbaik.
“Kami menyerahkan kepada Aizat dalam menentukan judul lagu yang mahu dibawakan. Dia yang bertanding, jadi kami tidak mahu memberikannya tekanan dengan memilih lagu yang tidak sesuai dengan jiwanya.
“Apa yang diharapkan, Aizat dapat memberikan yang terbaik serta yakin dengan persembahannya pada malam itu. Ia lebih penting kerana kita mengharapkan sesuatu yang istimewa daripada Aizat nanti,” katanya.
Pada pertandingan itu nanti, Aizat akan membawakan dua lagu yang melonjakkan namanya di persada seni iaitu Hanya Kau Yang Mampu untuk Persembahan Terbaik dan Lagu Kita untuk Lagu Terbaik.
“Saya memilih Lagu Kita untuk kategori Lagu Terbaik sebagai menguji kekuatan serta penerimaan masyarakat luar dengan sentuhan sendiri.
“Sekiranya berjaya, inilah pencapaian yang cukup besar dan membanggakan untuk karier seni saya,” kata Aizat.
Biarpun belum menjejakkan kaki di negara itu, nama Aizat sudah mula mencuri perhatian apabila akhbar di sana menyiarkan berita serta profil mengenai dirinya.
Selain pertandingan, Aizat juga akan dibawa untuk menjayakan sesi temubual bersama stesen radio dan televisyen di sana sebagai promosi sepanjang berada di Bulgaria.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: