Wednesday, April 29, 2009

Memulihara Batu Feringghi

Hampir 80 pengusaha premis perniagaan di pantai Batu Feringghi lega kerana kerajaan menangguhkan proses merobohkan gerai mereka.


KEHADIRAN pelancong asing dan tempatan ke Batu Feringghi turut memberi sumber rezeki kepada peniaga kecil di pesisir pantai tersebut.


KEINDAHAN pantai Batu Feringghi yang menjadi antara daya tarikan pelancong di Pulau Pinang tidak perlu diperkenalkan lagi. Pantainya yang mendatar dengan pasir putih bersih menyebabkan kawasan itu menjadi lokasi orang ramai terutama pada musim cuti sekolah sejak dulu lagi.

Sejajar dengan peredaran masa dan kepesatan pembangunan, kini hampir kebanyakan kawasan pantainya berubah wajah. Lebih-lebih lagi apabila ia dibangunkan dengan hotel atau resort bagi memenuhi keperluan sektor pelancongan khususnya para pelancong dari luar negara.

Kehadiran pelancong luar dan pengunjung tempatan ke Batu Feringghi turut memberi sumber rezeki kepada peniaga kecil di pesisir pantai itu. Malah, sejumlah premis perniagaan yang dikendalikan oleh orang tempatan itu sebenarnya sudah menjangkau usia lebih tiga dekad.

Bagaimanapun, beroperasi di tanah rizab kerajaan lebih 80 pengusaha kedai di situ kini berdepan dengan dilema apabila premis mereka khabarnya akan diroboh.

Namun, disebabkan tiada lokasi pemindahan yang sesuai, kerajaan negeri menangguhkan seketika hasrat untuk merobohkan premis perniagaan yang didakwa beroperasi secara haram di Batu Feringghi itu.

Berita itu melegakan 80 pengusaha premis perniagaan di situ yang diberi masa sehingga kerajaan negeri mendapatkan tapak sesuai untuk menempatkan mereka agar keindahan pantai Batu Feringghi terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Alam Sekitar negeri, Chow Kon Yeow berkata, kebenaran itu diberi Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (PDTTL) dengan beberapa syarat yang harus dipatuhi.

"Antaranya, mereka harus menjaga kebersihan pantai dan memastikan keselamatan pelancong yang mengunjungi kawasan pantai terjamin.

"Pada masa sama, PDTTL akan mencari tapak yang sesuai untuk menempatkan gerai dan lokasi yang lebih sistematik," katanya ketika melawat pantai Batu Feringghi, baru-baru ini.

Pada 16 Februari lalu, PDTTL telah mengeluarkan notis mengosongkan premis yang beroperasi di sepanjang pesisir pantai dari Hotel Rasa Sayang sehingga ke Hotel Bayview Beach Resort sejauh lima kilometer itu.

Bagaimanapun, ia mendapat bantahan pelbagai pihak kerana kira-kira 500 pekerja industri pelancongan di Batu Feringghi akan kehilangan mata pencarian.

Kon Yeow menambah, pihaknya sedar pengusaha terbabit telah lama beroperasi di situ tetapi mereka mendirikan struktur secara haram di atas tanah milik kerajaan.

"Jadi pengusaha juga perlu berkompromi untuk mengosongkan tanah tersebut supaya kerja-kerja menyusun semula kawasan tersebut dapat dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Timur laut, Mohd. Noor Rejab berkata, pihaknya akan mengadakan dialog bersama pengusaha terbabit.

"Setakat ini kami telah kenal pasti tiga tapak yang sesuai bagi menempatkan mereka secara lebih teratur," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: