Thursday, April 30, 2009

'Saya bukan punca Aril tersingkir'...Marsha Milan Londoh


RAMAI meramalkan Aril bakal ke konsert akhir, malangnya dia tersingkir pada minggu ke-7.

Marsha tolak dakwaan jadi boneka ciptaan Astro apabila terima undangan sebagai pembantu residen AF

KECOH seketika apabila peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Aril tersingkir pada konsert minggu lalu. Ramai tidak menyangka adik kepada Izwan Pilus itu harus melangkah pergi meninggalkan akademi biarpun memberikan persembahan hebat menerusi lagu Nakal nyanyian kumpulan Dewa.

Pelbagai spekulasi timbul punca penyingkiran jejaka bernama Khairil Azam Pilus ini termasuk dikatakan bersikap ‘poyo’ (perasaan bagus). Tetapi paling kecoh apabila nama bekas peserta AF, Marsha Milan Londoh dikatakan sebagai punca penyingkiran itu.

Siapa sangka bintang jelita yang turut melakar nama daripada pertandingan realiti yang sama itu menjadi panas gara-gara memenuhi undangan produksi pihak Astro menggalas tugas sebagai pembantu residen kepada pelajar perempuan AF7.

Bagaimanapun bekas teman rapat Kefli itu yang dihubungi Hip baru-baru ini untuk mendapatkan kenyataan mengenai isu ini tidak mudah melatah.

Gadis jelita itu tidak menganggap kehadirannya selama seminggu di akademi itu sebagai boneka yang dicipta Astro, malahan undangan yang diterima itu dilakukan atas dasar profesionalisme.

Marsha Milan Londoh

Katanya lagi, dirinya tidak patut dijadikan sebab mengapa Aril tersingkir biarpun jejaka itu disebut antara calon kegemaran yang bakal ke peringkat akhir.

“Saya bukan punca Aril tersingkir. Saya sendiri terkedu dan menangis seketika saat nama Aril disebut sebagai pelajar yang tersingkir. Berdasarkan sepanjang minggu berada di akademi, saya sendiri berasa dia tidak patut tersingkir lebih awal kerana prestasi yang ditunjukkannya cukup baik.

“Bagaimanapun saya tidak boleh berkata apa-apa kalau orang terus menuduh saya sebagai punca dia tersingkir. Kenapa sepanjang minggu berada di dalam akademi dan disiarkan menerusi diari, peratusan Aril naik mencanak? Apa yang saya dapat rumuskan mungkin pengundi dan peminatnya menganggap dia sudah selamat dan berada di zon selesa hingga terlupa untuk mengundinya. Dia hanya mangsa keadaan.

“Saya tidak beranggapan kehadiran saya ke akademi seperti diperalatkan kerana tujuan ke sana sekadar membantu dan berkongsi pengalaman yang ada dengan pelajar AF7. Mengenai babak yang menunjukkan hanya saya dan Aril di dalam diari itu mungkin ada yang tahu ia adalah di luar bidang kuasa saya kerana pihak produksi yang melakukan suntingan untuk menyiarkan apa klip sekalipun sebagai gimik,” katanya sambil menjelaskan hakikat dan situasi sebenar yang berlaku di akademi mungkin tidak diketahui sepenuhnya peminat program realiti itu.

Apa juga hentaman dan cercaan yang singgah ke hatinya selepas muncul di akademi, peluang berada di situ ibarat kenangan terindah yang kembali segar dalam ingatannya. Ironinya, Marsha juga pernah berada di dalam situasi yang sama ketika menyertai AF musim ketiga.

Ditanya mengenai Aril yang dikatakan bersikap ‘poyo’, gadis Tamparuli Sabah ini pada mulanya turut menyangkakan hal yang sama. Namun selepas seminggu berada di dalam akademi, ternyata tanggapannya terhadap Aril mula terhakis.

“Saya gembira dan bertuah kerana diundang ke akademi biarpun saya tahu ada yang mempersoalkan layakkah saya dipanggil sebagai pembantu residen. Saya percaya setiap inci perkara mesti ada baik dan buruknya. Terpulanglah kepada orang yang nak menilai kerana saya tidak boleh memuaskan hati semua orang.

“Biarpun seminggu berada di sana, hubungan saya dengan pelajar ibarat sebagai sebuah keluarga yang rapat. Mereka pun bagus dan saya tahu bagaimana perasaan berada terasing daripada keluarga kerana saya sudah melalui perkara yang sama. Mungkin juga kehadiran saya sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: