Thursday, April 30, 2009

Dengarnya... Konsert gabungan Noryn dan Atilia



Atilia (kiri) dan Noryn.

SEBELUM ini, kedua-dua penyanyi ini sering mengadakan persembahan di kelab, restoran terkemuka ataupun majlis tertutup. Lama kelamaan, kehadiran mereka disedari lebih banyak pihak, lalu bermulalah era lebih gemilang buat Atilia dan Noryn Aziz. Walaupun album masing-masing kurang mendapat sambutan, tetapi kedua-duanya laris untuk pertunjukan majlis makan malam dan keraian syarikat gergasi.

Yalah, masing-masing memang penyanyi berbakat besar. Jadi, Cik Normah memang tak hairan kalau kedua-duanya memang menjadi pilihan utama penganjur persembahan.

Baru-baru ini, Cik Normah terdengar cerita, Atilia dan Noryn akan bersatu tenaga dalam persembahan di Istana Budaya. Khabarnya, sekitar Jun ini, mereka akan mengadakan persembahan di Lambang Sari, dewan yang lebih kecil tetapi bersifat intimasi di gelanggang seni persembahan terkenal berkenaan.

Kononnya, mereka akan tampil dalam persembahan yang cukup menarik, dengan beberapa pemuzik mengiringi nyanyian secara langsung. Tempatnya mungkin tidak segah dewan utama, tetapi Cik Normah boleh bayangkan bagaimana dekatnya penonton dengan kedua-dua penyanyi ini pada persembahan itu nanti.

Pada ketika ini, yang Cik Normah dapat tahu, mereka masih berada dalam proses perbincangan bersama pihak tertentu berhubung penganjuran persembahan itu. Apa-apa pun, Cik Normah harap sangat agar ia menjadi kenyataan kerana tentu ramai peminat kedua-dua penyanyi ini ingin menyaksikan mereka bergabung tenaga dalam persembahan yang pasti tidak mudah dilupa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: