Wednesday, April 29, 2009

Tak boleh terima kritikan

PAPA hanya mampu gelak sinis apabila seorang teman menceritakan mengenai gelagat seorang penyanyi wanita yang dilahirkan menerusi sebuah rancangan realiti TV.

Tidak dinafikan, penyanyi yang ini mempunyai mutu vokal tersendiri dan tidak mustahil dia boleh bertahan lama dalam bidang seni kalau kena pada tempatnya.

Sayang sekali, penyanyi yang Papa maksudkan ini tidak mampu untuk menjadi popular walaupun lagu dendangannya bersama seorang bintang realiti pernah mencetuskan satu fenomena tidak berapa lama dulu.

Namun Papa kagum kerana dia tidak pernah putus asa dan terus menghasilkan album keduanya.

Sekali lagi nasib kurang menyebelahinya apabila lagu dalam album terbarunya itu jarang dimainkan di radio.

Hendak dijadikan cerita, baru-baru ini teman baik Papa terserempak dengan penyanyi ini dalam satu majlis.

Dari raut wajahnya, dapat dilihat dia seperti tidak menyenangi kehadiran teman Papa itu yang sebelum ini pernah memberi ulasan yang kurang memberangsangkan pada albumnya itu.

Berbeza dengan keadaan sebelum ini, pantang berjumpa dengan teman Papa itu dia akan menjadi terlalu ramah dan berbual mesra.

Sudah menjadi adat, setiap album yang dihasilkan pastinya akan diulas dan dikritik dan seharusnya penyanyi itu menerima segalanya dengan hati yang terbuka untuk terus memperbaiki kelemahan.

Kalau macam itulah sikapnya, alamatnya memang tak mampu bertahan lamalah!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: