Final Pencarian Wajah Kacak Bergaya 2008 anjuran Pancaindera, Mingguan Malaysia akan berlangsung pada 9 Mei 2009 di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Acara bermula pukul 1.30 tengah hari.
Pihak penganjur menerima ratusan penyertaan dari seluruh negara sejak mula dipertandingkan pada Julai 2008. Kini 12 finalis sudah dikenalpasti. Ruangan Kacak Bergaya di dalam Pancaindera diperkenalkan sejak tahun 1995. Pada masa itu ruangan tersebut dikenali sebagai Jejaka Minggu Ini.Kolum tersebut bertukar nama apabila Pancaindera memperkemaskan pengisiannya. Pertandingan ini diadakan bagi memberi peluang kepada bakat baru untuk berjaya dalam dunia yang mereka minati. Ia juga sebagai salah satu sumbangan Pancaindera dalam memperkenalkan wajah baru ke dunia seni.
Sebagai satu wadah berteraskan hiburan, Pancaindera juga ingin memainkan peranan untuk menambahkan lagi seri dunia ini dengan memperkenalkan wajah baru. Sama ada sedar atau tidak, Kacak Bergaya sebenarnya sudah melahirkan banyak nama besar dalam industri seni hari ini.
Sejak diperkenalkan kolum Kacak Bergaya pernah memberi ruang pendedahan kepada banyak nama baru, malah ada yang belum pun terlibat dalam mana-mana bidang seni semasa ditampilkan dalam kolum tersebut.
Menyedari perlunya pendedahan awal untuk memperkenalkan diri, anak-anak muda yang menyimpan cita-cita untuk melangkah ke dunia seni menggunakan kolum tersebut sebagai pendedahan awal mereka.
Antara nama yang pernah ditampilkan dalam ruangan Jejaka Minggu Ini dan Kacak Bergaya ialah model Norazlan Nordin, Fahmy, Jeffrey Chen, Ahmad Yani, Mazin Ameen Shiraj dan ramai lagi. Pelakon Iqram Dinzly, Fizo Omar, Faizal Yusop, Danny (X-Factor), Ryzal pula antara yang kini berjaya sebagai pelakon. Deejay Tuah Zulqarnain pula semakin popular sebagai deejay di Suria FM.
Tidak ketinggalan ahli sukan antaranya atlet Malik Tobias, Zaiful Zainal Abidin, Shamsuri Ahmad, pemain hoki S. Kuhan, pemain ragbi Faizal, pemain bola sepak remaja Shahfiz dan ramai lagi.
Jamu Mak Dara Sd. Bhd. yang bakal memasarkan produk kesihatan lelaki jenama Vigor bertindak selaku penaja utama dalam menjadikan hasrat itu satu kenyataan. Pemenang atau finalis pertandingan ini akan mendapat kontrak menjadi wajah Vigor. Mereka akan dilantik selaku jurucakap produk berteraskan kesihatan lelaki yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Pemenang utama juga bakal mendapat tiket penerbangan ke luar negara tajaan syarikat penerbangan tambang murah utama, Air Asia.
Dua belas finalis yang layak ialah Mohd. Termizi Roslan, Wan Mohd Amin Derahman, Mohd. Khairi Mansor, Mohammad Nadzree Kusairi Shariff, Nur Iz Hirzi Izhar, Mohd. Halim Mohd. Shah, Syed Khairul Syed Abdullah, Mazlan Mokhtar, Hairul Azreen Idris, Mohd. Nazmi Che Nordin, Megat Muhammad Hafifi Megat Mohd. Yusof dan Mohd. Norhalis Shafiq Shamsuri.
Ingin menyaksikan mereka?
Kalau anda berminat menyaksikan pertandingan itu, pihak penganjur membuka 100 tempat duduk untuk orang awam. Anda boleh hubungi Rusdi di talian 017-3569233 atau Zie 03-41060299 (pada waktu pejabat).
Bayaran sebanyak RM40 dikenakan. Ia termasuk jamuan hi-tea sepanjang majlis berlangsung. Anda juga boleh datang terus membuat pembayaran di Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. No 333, Lorong Serawak. Melawati Urban 1,
Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur.
Kalau tak mahu terlepas menonton persembahan lelaki kacak ini, kenalah buat tempahan segera. Anda juga akan dihiburkan oleh Noryn Aziz, Bob, Wana dan Nashrin.
Pengacara sensasi Linda Onn akan bertindak selaku pengacara pada petang itu.
Finalis akan menggayakan pakain batik rekaan Zul DeClassiq, pakaian sukan jenama Antioni, pakaian kasual Unionbay serta pakaian kemas daripada Gedung Al-Habshee.
Mereka juga akan mendapat tunjuk ajar catwalk daripada model terkenal yang kini memiliki Vogue At Work, Aleeza Kasim.
"Kami dah bersedia untuk mengadakan persembahan pada hari final nanti," kata NurIzhirzi.
Keterangan gambar:
1. (Dari kiri) Khairi, Syed, Nadzree dan Nurhalis (duduk)
2. (Dari kiri) Halim, Megat dan Hairul
3. (Dari kiri) Termizi, Hirzi dan Wan Amin.
4. (Dari kiri) Mazlan dan Nazmi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: