Thursday, April 30, 2009

Empat pengajar Anak Wayang

PROGRAM realiti sememangnya diakui mampu menarik minat ramai penonton. Bagi saluran TV berbayar, Astro yang begitu gah dengan jenama program realiti Akademi Fantasia, kesinambungan dalam mencari bakat-bakat baru yang bakal mewarnai industri hiburan tempatan masih diteruskan.

Bukan hanya terbatas dalam mencungkil bakat nyanyian, Astro mahu turut mencari lebih ramai bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan dalam lapangan lakonan.

Jika Akademi Fantasia terkenal dengan program pencarian bakat nyanyian, Raja Lawak sebagai program yang mengetengahkan bakat pelawak pelapis, kini muncul pula Anak Wayang yang bakal melahirkan lebih ramai pelakon berbakat.

Anak Wayang merupakan projek mega yang melibatkan kerjasama dua saluran Astro, Astro Ria (saluran 104 Astro) dan Astro Prima (saluran 105 Astro) yang bakal memulakan siarannya pada 22 Mei ini pukul 9.30 malam di Astro Ria.

Bakal menampilkan 25 peserta, seramai empat tenaga pengajar berpengalaman dipertanggungjawabkan dalam membimbing peserta dalam menghayati ilmu lakonan bagi mengasah bakat mereka.

Empat tenaga pengajar tersebut ialah pelakon dan penggiat teater, Fauziah Nawi, pelakon dan pensyarah teater, Marlia Musa, pelakon harapan Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21), Mohd. Kamaruzaman Taib (Che Kem) serta pensyarah dari Fakulti Artistik dan Teknologi Kreatif, Hamzah Tahir.

Pengurus saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul pada majlis tersebut memberitahu, daripada jumlah 4,000 peserta yang hadir ke uji bakat di tiga buah negeri iaitu Johor, Pulau Pinang dan Selangor, hanya 25 peserta yang bakal diserapkan ke dalam rancangan itu.

"Apa yang kami cari daripada para peserta Anak Wayang sudah tentulah bakat kemudian komitmen kerana selepas ini mereka bakal terikat dengan kontrak lakonan dalam drama Kecuali Cintamu serta sahsiah diri," katanya.

Marlia Musa yang mengikuti setiap sesi uji bakat ketika diaju persoalan tentang kesungguhan yang ditunjukkan oleh para peserta uji bakat memberitahu bahawa kebanyakan peserta uji bakat yang hadir mempunyai bakat lakonan tersendiri.

"Disebabkan ramai yang hadir begitu berbakat, maka kami telah letakkan satu aras yang tinggi dalam menilai kemampuan para peserta.

"Di Johor misalnya begitu ramai bakat-bakat yang bagus, malah ada yang mempunyai warna dalam karakter mereka dan itu antara aspek yang begitu penting untuk menjadi seorang pelakon.

"Di Pulau Pinang graf sedikit menurun tetapi di Selangor graf kembali naik kerana kebanyakan yang datang terdiri daripada pelajar-pelajar seni pementasan dan sebagainya," kata Marlia yang bertindak sebagai guru lakonan.

Terpilih sebagai guru lakonan dan vokal, menurut Fauziah Nawi dia bakal mengendalikan sesi latihan lakonan serta lontaran vokal.

Dua lagi guru, Hamzah yang sebelum ini pernah bertanggungjawab sebagai juri program Sehati Berdansa musim kedua, bakal bertindak sebagai guru olah tubuh.

Sementara Che Kem yang sebelum ini mempunyai pengalaman dalam penulisan skrip, bakal berkongsi pengalaman bersama peserta Anak Wayang selaku guru skrip dan analisa.

Pada majlis yang sama, turut diperkenalkan ialah barisan pelakon yang bakal beraksi dalam drama bersiri 50 episod, Kecuali Cintamu yang bakal menjadi platform bagi lima calon Anak Wayang yang memperoleh kedudukan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi setiap minggu.

Drama bersiri yang bakal memulakan tayangannya setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 8.30 malam di Astro Prima itu menawarkan lima watak tambahan kepada lima calon popular Anak Wayang, iaitu jururawat, mekanik, pengelola majlis, gangster dan setiausaha.

Antara pelakon-pelakon hebat yang bakal menerajui drama tersebut ialah Nanu Baharudin, Haleeda, Mustapha kamal, Janet Khoo dan Aman Shah.

Tidak ketinggalan ialah Liza Abdullah, Roslan Salleh, Puspha Narayan, Ezani Nizariff, Ainul Aishah Shah Hassan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: