Wednesday, April 29, 2009

Irwan hampir bunuh diri

MENYEBUT nama sang teruna berusia 24 tahun ini, sudah pasti ramai yang mengenali akan dirinya terutama si gadis remaja.

Popular menerusi lagu Pencinta Wanita dan My Heart, penyanyi tinggi lampai dan berkulit putih ini tidak kurang hebatnya di dunia lakonan.

Membintangi filem Heart, Love Is Cinta, 40 Hari Bangkitnya Pocong dan Love, dia juga pernah berlakon dalam beberapa sinetron seperti Andai Ku Tahu, Senandung Masa Puber, Upik Abu Dan Laura serta Ku T'lah Jatuh Cinta.

Lahir pada 6 Mac 1985 di kota Jakarta, Indonesia, kini Irwansyah sudah semakin jauh daripada peminat dan media Malaysia.

Apakah Irwan berjauh hati dengan Malaysia? Atau barangkali juga kekecewaannya selepas putus cinta dengan Acha Septriasa?

Oh ya ada juga khabar angin yang menyebut dia hampir bunuh diri kerana Acha?

Benarkah semua itu?

Irwan yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini berkongsi banyak cerita dengan media Malaysia.

Bahkan, dalam nada tenang si tampan ini menjawab pelbagai soalan yang diajukan kepadanya tanpa berselindung.

Paling menjadi tumpuan wartawan sudah tentu mengenai kesudahan hubungannya dengan Acha.

Menjawab gosip mengenai cubaannya membunuh diri, Irwansyah menjelaskan, ia merupakan gosip semata-mata.

"Memanglah hati saya benar-benar sedih tetapi tidaklah sampai hendak membunuh diri. Saya masih sayangkan dia (Acha). Namun kami tidak mungkin akan bersama kembali.

"Soal putus cinta, faktor berjauhan mungkin menjadi penyebab. Mungkin juga dia sudah ada teman di Malaysia,'' jelasnya.

Mengenai soal masa depannya dalam bercinta, Irwansyah secara jelas tidak mahu lagi menjalin hubungan cinta dengan mana-mana artis sebaliknya akan mencari wanita biasa.

Dan kemunculan Irwan ke Kuala Lumpur baru-baru ini juga bukan dengan tangan kosong.

Sebaliknya, dia punya buah tangan terbaru untuk peminatnya apabila muncul dengan album berjudul Soliter.

Mempertaruhkan 10 buah lagu, Soliter merupakan album solo pertamanya selepas tidak lagi menjalin cinta bersama Acha Septriasa yang juga teman kolaborasinya dalam album terdahulu.

Berkonsepkan pop organik iaitu genre muzik lebih bertenaga, Soliter pasti dapat merungkai segala persoalan mengenai sejauh mana kemampuan dirinya bergelar bintang solo.

Soliter menampilkan kerjasama beberapa komposer terkenal seperti Melly Goeslow, Dewiq serta Opick dan Irwansyah sendiri turut mencipta sebuah lagu berjudul Lagu Untukmu.

Selain Lagu Untukmu, lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam Soliter adalah Ku Tunggu Jandamu ciptaan Melly Goeslow; Jangan Menungguku (Sandy Canister & Pay & Egus Suhu); Wajahmu (Opick); Camelia (Dodhy - Kangen Band); Lagu Sedih (Melly Goeslow); Jangan Bohong (Jimmo & Melly Goeslow); Tinggalkan Aku (Dewiq); Cinta Lama Bersemi Kembali (Melly Goeslow); dan Tak Cinta Lagi (Alam Urbach).

"Album ini sudah berada di pasaran Indonesia sejak tahun lepas. Ekoran sibuk dengan aktiviti promosi dan lakonan di sana, baru kini saya punyai masa untuk datang memperkenalkan Soliter ke Malaysia dengan dibantu edarannya oleh Warner Music Malaysia.

"Soliter sudah terjual lebih 20,000 unit di Indonesia manakala muat turun nada dering bagi lagu Ku Tunggu Jandamu berjaya mencapai 500,000 langganan manakala lagu Camelia, 1 juta langganan,'' katanya ketika sesi bertemu media di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Irwansyah, untuk Soliter, dia sehingga kini masih menjalani kelas vokal bagi menunjukkan kematangan berbanding lagu-lagu terdahulu.

"Mungkin ada yang kata suara saya sebelum ini seperti itu seperti ini tetapi saya akan sentiasa berusaha untuk jadi lebih baik,'' jelasnya.

Ditanya mengenai perkembangan terbarunya sama ada dalam bidang nyanyian dan lakonan, Irwansyah berkata, semuanya berjalan dengan baik dan seiring.

"Untuk album seterusnya nanti, saya kepingin untuk mewujudkan sebuah band. Itu mungkin dilakukan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Dalam bidang lakonan pula, saya agak selektif untuk berlakon filem. Saya mencari filem-filem yang bagus dan berbeza daripada diri saya sebelum ini.

"Sebenarnya saya baru menolak untuk berlakon dalam filem Sebelah Mata. Filem aksi ini memerlukan saya membotakkan kepala kerana watak saya dalam filem ini adalah seorang ahli tinju,'' katanya berkongsi cerita.

Menurutnya, penolakan secara baik itu dilakukan atas alasan dia masih dalam proses mempromosikan Soliter.

Ketika diajukan persoalan mengenai Lagu Untukmu yang diciptanya sendiri, Irwansyah berkata, ia ditujukan khas untuk Acha.

"Sebenarnya, secara kebetulan, semua lagu-lagu dalam Soliter termasuk Lagu Untukmu dicipta sebelum saya dan Acha mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama.

"Lagu Untukmu adalah sebagai pesanan buat Acha agar menjaga diri baik-baik ketika menyambung pelajaran di Malaysia,'' katanya.

Tidak akan kecewa berpolitik

Pada pertemuan itu, Irwansyah turut diajak berkongsi pengalamannya melibatkan diri dalam gelanggang politik di Indonesia.

Sementelah, dirinya dikatakan bertanding pada Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia yang baru sahaja dilangsungkan baru-baru ini.

Dalam pilihanraya terbabit, Irwansyah bertanding atas tiket Parti Indonesia Sejahtera.

"Saya bertanding untuk daerah Solo. Mulanya, dalam tempoh dua hari, saya mendapat 50,000 undian tetapi entah bagaimana sokongan itu semakin lama semakin merosot.

"Mungkin ada faktor lain mengapa ia terjadi sedemikian. Ini adalah pengalaman buat saya dan pengajaran untuk terus berkecimpung dalam dunia politik.

"Dalam Pemilu, saya gunakan duit sendiri untuk uruskan kempen dan apa jua perkara. Berhabisan lebih 50 juta rupiah (RM20,000) jugalah,'' katanya berterus-terang.

Katanya, menerusi Pemilu, dia memperjuangkan kebajikan anak muda dan mengajak mereka bersama ke arah melakukan sesuatu yang baik dalam hidup.

Tewas dalam Pemilu kali ini tidak bermakna dia terus mengalah sebaliknya, anak muda ini berikrar untuk mencuba nasib pada Pemilu akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: