Wednesday, April 29, 2009

Penghormatan besar





BUKAN kemenangan yang dikejar namun penghormatan yang diberikan AIM16 untuk memperkenalkan muzik mereka pada acara kemuncak nanti membuatkan Goldkartz begitu berbangga menjadi sebahagian daripada anugerah muzik berprestij itu.

Penghormatan yang diberikan untuk menjayakan satu segmen khas persembahan pada malam kemuncak AIM16 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini membuatkan mereka terharu.

“Ia permulaan yang baik kerana mencerminkan kepelbagaian budaya serta genre muzik yang melatari industri hiburan di negara ini,” kata Manjit Singh Gill atau M-Ji ketika ditemui, baru-baru ini.

Menubuhkan Goldkartz bersama adiknya, Sukhjit Singh Gill atau Surj, M-Ji berkata, mereka terharu kerana acara berprestij itu turut mengiktiraf muzik yang diperjuangkan iaitu urban banghra apabila ciptaan mereka membolosi Lagu India Tempatan Terbaik.

Tambahnya lagi, pengiktirafan itu secara tidak langsung membayar segala penat lelah mereka selama tiga tahun untuk menyiapkan pembikinan album Loaded.

Kelahiran Loaded, bagi M-Ji cukup unik kerana ia membawakan dimensi baru yang lebih segar dalam muzik Asia. Malah usaha mereka mencipta sejarah tersendiri apabila usaha mereka diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai album bhangra tempatan pertama diterbitkan di negara ini.

“Pengiktirafan AIM16 membuatkan kami terharu kerana ia mengangkat prestij irama urban bhangra dalam satu acara yang gemilang kepada penggiat industri muzik,” katanya.

Loaded yang mempertaruhkan gabungan muzik bhangra dan urban serta mendapat sedikit sentuhan hip hop, R&B, selain elektronik house, trance, dram dan bass juga membuka laluan bermakna buat Goldkartz.

Lagu sentuhan mereka, Tu Khendi Seh yang dihasilkan bersama penulis lirik, Arivinder Raina turut tercalon dalam kategori Lagu India Elemen majmuk yang ditonjolkan menerusi penulisan lirik yang menggabungkan bahasa Inggeris, Melayu, Tamil dan Punjabi menjadikan Loaded begitu istimewa.

“Sambutan diterima cukup positif, bukan saja di negara ini malah di luar negara. Ketika ini kami sedang berbincang untuk memasarkan Loaded di United Kingdom, Amerika Syarikat dan India,” katanya.

Selain Goldkartz, AIM16 juga diserikan dengan persembahan Chakrasonic dan Man Jiang Hong selain penyanyi yang sinonim dengan industri hiburan Melayu seperti Faizal Tahir, Hujan, Joe Flizzow, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, M Nasir, Datuk Sheila Majid dan artis Indonesia, Rossa.

Penantian panjang berakhir

TUJUH tahun melayari bakat dalam industri muzik membuatkan Chakrasonic sentiasa menanti peluang untuk beraksi dalam acara muzik berprestij seperti AIM16.

Penantian panjang trio ini untuk beraksi pada acara hiburan berprestij itu berakhir apabila diberi penghormatan menjayakan segmen persembahan bersama Goldkartz dan Man Jiang Hong nanti.

“Penghormatan yang diberikan membuatkan kami berasa seperti akan mengadakan persembahan untuk Anugerah Grammy,” kata Viveck yang begitu terharu kerana penantian panjang mereka berakhir pada AIM16.

Melihat acara itu sebagai satu pengiktirafan besar terutama untuk pemuzik bukan Melayu seperti mereka, Chakrasonic yang sudah merakamkan empat album juga mencipta sejarah mereka tersendiri.

“Kami ialah kumpulan hip hop pertama yang merakamkan lagu Tamil, malah mempunyai kelompok peminat sendiri termasuk penggemar Melayu membuatkan kami turut merakamkan lagu dalam bahasa itu.

“Antara lagu Melayu yang pernah kami rakamkan adalah Ulik Mayang dan Sang Puteri serta terbaru, Lagu Hebat cuma malangnya ia agak jarang dimainkan berbanding dua lagu terdahulu,” katanya.

AIM16 juga menghadiahkan kejutan kepada Chakrasonic apabila album mereka, Veera Puranam membolosi senarai finalis Album India Tempatan Terbaik.

“Pencalonan ini umpama durian runtuh buat kami kerana daripada lima penyertaan yang dihantar, album itu membolosi kategori Album India Tempatan Terbaik. Ia agak mengejutkan,” katanya.

Menyentuh mengenai persembahan pada malam AIM16, Chakrasonic yang turut dianggotai Jack dan J Brawl cuba menyajikan sesuatu yang menghiburkan dan mampu membuat penonton terpaku dengan kemunculan mereka.

“Kami percaya kepada kualiti persembahan dan untuk tujuan itu, kami akan merombak susunan muzik supaya khalayak dapat berhibur dengan lagu yang dibawakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: