Sunday, April 12, 2009

Masih terima pencen


USAHA produksi Les’Copaque Production Sdn Bhd untuk memindahkan kisah perjalanan hidup penyanyi Zaiton Sameon ke layar perak mungkin memberikan khabar gembira kepada penyanyi popular zaman 80-an itu.

Perkembangan ini pernah dilaporkan menerusi ruangan Soseh-Soseh (SS ) pada 8 April lalu.

Bagi peminat setia Zaiton, filem ini dinantikan kerana ia bukan hanya menyingkap karier seni yang dicapai sejak lagu popularnya, Menaruh Harapan menang lagu terbaik pada Anugerah Juara Lagu pada 1987, tetapi turut berkongsi kedukaan ketika penyanyi ini terbabit dengan kemalangan jalan raya pada 1990.

Bagaimanapun, di sebalik populariti Zaiton yang cuba dikomersialkan menerusi filem, ada segelintir pihak yang melontarkan pandangan negatif membabitkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berkata beliau terpanggil untuk memberikan penjelasan sebenar apabila timbul isu Zaiton dikatakan tidak lagi menerima bayaran pencen seperti yang pernah diterima sebelum ini.

Kata Freddie, Karyawan terkilan dengan isu berkenaan yang dianggap tidak betul dan beranggapan ada pihak lain yang cuba mengambil kesempatan mengeruhkan hubungan baik yang terjalin antara persatuan itu dengan Zaiton selama ini. Sebagai persatuan yang menaungi ramai artis termasuk pelakon dan kru, Karyawan masih menjaga kebajikan artis yang menjadi ahli persatuan.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh dibangkitkan hingga dijadikan isu yang boleh menjatuhkan nama baik Karyawan sendiri.

“Pada saya, perkara ini perlu diperbetulkan agar peminat penyanyi ini atau sesiapa saja tahu cerita sebenar.

“Sebenarnya, sejak 2004 hingga sekarang Karyawan tidak pernah putus memberikan bayaran pencen sebanyak RM500 termasuk kepada Zaiton yang menerima pencen lebih dua tahun lalu.

“Sama ada Zaiton mahupun 26 penerima lain, Karyawan sentiasa memastikan bayaran pencen untuk mereka dibuat setiap bulan.



“Bagi Karyawan, kami tidak menyekat bayaran pencen yang sudah diberikan, tetapi fokus kami adalah mahu menambah tabung persatuan supaya wang pencen untuk artis tetap ada.

“Apa yang boleh saya katakan, pemberian pencen ini tetap diteruskan walaupun Karyawan sendiri berdepan dengan masalah kewangan dan saya sendiri sanggup mengeluarkan wang sendiri jika perlu.

“Sebelum ini, ada juga masalah yang membabitkan bayaran pencen tidak diterima artis kerana ia berlaku disebabkan kesilapan pada nama penerima di bank. Bagaimanapun, masalah ini dapat diatasi dan Karyawan berusaha memantau masalah ini supaya tidak berulang.

“Saya berharap penjelasan ini dapat membersihkan nama persatuan agar artis dan masyarakat percaya pada peranan yang dimainkan Karyawan masih relevan dan berada di landasan yang betul,” katanya.

Mengenai filem kisah Zaiton, Freddie menyatakan Karyawan terbuka untuk membantu produksi berkenaan jika diperlukan.

Katanya, baru-baru ini dia a berjumpa dengan produser produksi berkenaan dan menyatakan hasrat Karyawan terbuka untuk bekerjasama dalam menjayakan filem itu.

“Ini adalah tujuan murni apabila ada produksi tempatan yang sudi untuk menghasilkan filem biografi mengenai artis yang mempunyai kisah hidup penuh tragik seperti Zaiton. Saya percaya filem ini secara tidak langsung dapat membantu kehidupan Zaiton agar lebih baik pada masa akan datang.

“Sebelum ini, masyarakat termasuk peminat tahu bagaimana kehidupan sebenar yang dilalui Zaiton begitu sukar untuk mencari nafkah. Bagi Karyawan, mungkin kami boleh membantu dari aspek berkongsi idea atau pengalaman artis lain yang kenal Zaiton sebelum ini.

“Saya sendiri kenal Zaiton sejak sekian lama dan mungkin boleh memberi pandangan pada jalan cerita yang ingin diolah. Saya beranggapan plot filem ini perlu tepat mengikut fakta sejarah hidupnya. Ini juga adalah peluang terbaik untuk Zaiton berkongsi pengalaman hidup dengan peminat.

“Sebelum ini, Karyawan menjemput Zaiton terbabit dengan pelbagai persembahan dan kami akan terus membantunya termasuk artis lain agar mereka mempunyai pendapatan. Saya berharap Zaiton terus mendapat sokongan rakan-rakan dan masih diterima positif di kalangan peminat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: