Wednesday, April 29, 2009

Sembilan lemas bot karam


MAYAT salah satu mangsa yang ditemui di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi semalam.


JOHOR BAHRU – Sembilan orang, termasuk enam sekeluarga warga Pakistan mati lemas sementara seorang lagi ahli keluarga tersebut berusia 14 tahun berjaya diselamatkan selepas bot yang mereka naiki karam di perairan Teluk Ramunia, dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Che Hassan Jusoh berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 9.08 pagi mengenai sebuah bot karam di kedudukan 3.2 batu nautika selatan perairan Teluk Ramunia.

“Bertindak dari maklumat tersebut, Maritim Malaysia melancarkan operasi di tempat kejadian dengan menugaskan dua bot laju yang turut dibantu oleh dua bot laju Pasukan Gerakan Marin,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Che Hassan berkata, berdasarkan maklumat awal, sebuah kapal dagang Atago telah menemui mayat seorang kanak-kanak lelaki kira-kira pukul 4.40 pagi di perairan Pengerang.

Beliau berkata, sebuah kapal dagang Restore pula menemui satu mayat wanita selain menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki di perairan yang sama, kira-kira pukul 7.55 pagi.

Katanya, pengawal pantai Singapura kemudian menemui satu lagi mayat lelaki kira-kira pukul 10 pagi di perairan mereka sebelum Maritim Malaysia pada pukul 12.40 tengah hari menemui dua mayat lelaki dewasa dan satu mayat kanak-kanak perempuan di kedudukan 1.4 batu nautika tenggara Tanjung Ayam, di perairan Teluk Ramunia.

“Satu mayat lelaki dan satu mayat wanita kemudian ditemui Pasukan Gerakan Marin pada kira-kira pukul 1.20 tengah hari di perairan Pulau Lima sebelum mayat seorang lagi lelaki ditemui kira-kira pukul 3 petang di kawasan yang sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: