KEMANTAPAN vokal serta gaya tersendiri melalui lagu Aku Stacy, berjaya menambat hati juri sekali gus mencatat kejayaan buat Diana Daud sebagai Juara Pertandingan Karaoke Metro Idol 2009 di Padang MPK 2, Kuantan, Pahang, baru-baru ini. |
Juara Pertandingan Karaoke Metro Idol 2009 di Kuantan bercita-caita jadi artis terkenal
Gadis manis berusia 19 tahun dari Kuantan ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran makanan milik ibu saudaranya, tetapi menyahut cabaran keluarga untuk menyertai pertandingan dianjurkan Harian Metro untuk menguji kemampuan diri.
Katanya, penyertaan dalam pertandingan itu cukup bermakna dalam hidupnya kerana pertama kali mencuba dan berjaya menjadi juara. Apatah lagi lagu yang dipilih agak baru dendangan Juara Akademi Fantasia 6, Stacy.
“Bukan mudah membawa lagu baru lebih-lebih lagi semua 15 peserta akhir hebat-hebat belaka. Namun, saya bersikap positif dan melakukan yang terbaik hingga diumumkan menang,” katanya.
Diana yang menerima RM500, bercita-cita menjadi penyanyi popular suatu hari nanti dan meletakkan Datuk Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Jacyln Victor sebagai idolanya.
Sementara itu tempat kedua dimenangi Amyza Syafiqah Suhaimee, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Jengka 2 dengan lagu lama, Benci Tapi Rindu yang dipopularkan penyanyi Indonesia, Diana Nasution. Amyza menerima RM300 dan barangan Harian Metro.
Katanya, soal menang atau kalah bukan pengukur sebenar kerana minat yang begitu mendalam terhadap nyanyian membuatkan dirinya berminat untuk mencuba nasib. Bak pepatah Melayu, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia tiada siapa yang tahu.
Tempat ketiga pula dimenangi promoter dari Kuantan, Shahril Faizie Samsuddin, 21 sekali gus membawa pulang RM200 dan barangan eksklusif daripada Harian Metro. Pemenang menerima hadiah daripada Pengarah Hiburan Harian Metro, Adam Salleh.
Shahril yang mempertaruhkan lagu popular Aris Ariwatan, Lamunan Terhenti berkata, penyertaan kali ini sebagai pengubat kekecewaan tahun lalu kerana pernah menyertai pertandingan dianjurkan Harian Metro sejak 2006.
|
“Pada 2006 dan 2007, nasib saya agak bertuah kerana menduduki tempat kedua, tetapi tahun lalu sekadar mendapat sagu hati manakala tahun ini berjaya menduduki tempat ketiga.
|
“Kejayaan ini juga pengubat kecewa apabila gagal mendapat tempat dalam uji bakat Road To Hollywood baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu Eksekutif Penjenamaan Harian Metro, Zurani Abdullah berkata, pemilihan Diana sebagai juara kerana kelantangan vokalnya ketika menyampaikan lagu rancak, Aku Stacy.
Katanya, lagu itu disampaikan dengan gaya tersendiri, lebih-lebih lagi berani membuat pembaharuan dengan menyampaikan lagu baru berbanding peserta lain memilih lagu lama.
“Diana juga nampak penuh yakin dan bertenaga ketika menyampaikan Aku Stacy. Saya lihat semua peserta mempunyai karisma dan dinamik suara tersendiri malah semua peserta akhir mempunyai kawalan vokal mantap.
“Juara Pertandingan Karaoke Metro Idol yang dianjurkan Harian Metro sempena Jomheboh, bertujuan mencungkil bakat baru di setiap lokasi yang dikunjungi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: