|
|
KEHADIRAN dua band indie, Hujan dan Meet Uncle Hussain (MUH) ternyata memberi ledakan baru dalam industri hiburan tanah air.
Muzik yang diperjuangkan mereka telah membuka mata dan telinga peminat muzik tempatan serta membuktikan karyawan seni tanah air masih lagi belum ketandusan idea untuk terus menyemarakkan industri yang kini semakin suram.
Segar, inovatif dan kreatif - itulah yang boleh digambarkan terhadap muzik Hujan dan MUH dalam memberikan santapan kepada peminat muzik tempatan.
Sesuai dengan usia mereka masih lagi muda, sememangnya mereka begitu memahami jiwa dan kehendak peminat muzik tempatan yang sentiasa dahagakan sesuatu yang baru.
Populariti yang dikecapi mereka juga secara tidak langsung memberi gambaran sebenar bahawa industri kita masih lagi belum nazak seperti yang didakwa oleh ramai pihak.
Kejayaan kedua-dua band ini berjaya membuka pintu kepada band lain untuk menongkah arus dalam menembusi arus perdana muzik tempatan.
Bersaing
Biarpun begitu, antara kedua-dua kumpulan ini, MUH berjaya mencipta kegemilangan apabila diiktiraf dengan pelbagai anugerah dan kemuncaknya adalah Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL 23) pada Januari lalu.
Bukan itu sahaja, MUH juga berjaya menjadi pilihan peminat apabila dinobatkan sebagai Penyanyi Duo/Berkumpulan Popular dalam Anugerah Bintang Popular 2008 (ABP 2008) dengan menewaskan Hujan.
Kini, mereka bersaing sekali lagi dalam Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM 16) yang bakal berlangsung Sabtu ini (2 Mei) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan disiarkan secara langsung menerusi ntv7.
Hujan dan MUH masing-masing bakal merebut gelaran Artis Baru Terbaik di samping tiga calon lain iaitu Malique, Joe Flizzow dan Suki.
Berbanding MUH yang hanya tercalon untuk satu kategori, tuah ternyata berpihak kepada Hujan apabila menerima tiga pencalonan dalam dua kategori berbeza dan semuanya itu adalah hasil daripada penerbitan album pertama mereka, Hujan.
Pencalonan itu merangkumi Album Rock Terbaik dan dua pencalonan dalam kategori Lagu Rock Terbaik menerusi lagu Bila Aku Sudah Tiada dan Dugaannya.
Bertemu dengan Hujan dan MUH sewaktu menjalani latihan untuk persembahan mereka pada AIM 16 di Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini, kedua-duanya mempunyai pandangan sendiri terhadap pencalonan mereka itu.
Noh selaku vokalis Hujan menjelaskan, perjuangan mereka dalam bidang muzik bukanlah untuk mengejar pengiktirafan dan anugerah tetapi ia adalah lebih daripada itu.
Malah, mereka tidak pernah iri hati dengan kejayaan MUH yang telah merangkul pelbagai anugerah.
"Kami tumpang gembira dengan apa yang telah dilalui oleh MUH dan kejayaan mereka itu sedikit sebanyak memberi satu inspirasi kepada kami untuk tidak berasa senang dengan apa yang kami lakukan setakat ini," luah Noh penuh jujur.
Selain Noh, Hujan turut dianggotai oleh AG Coco (gitar utama), Jaja (bass) dan Ambobzeela (drum).
Tidak mengharap
Menyambung bicara tentang pencalonan AIM 16, Noh memberitahu, kejayaan itu sememangnya merupakan satu kejutan yang amat luar biasa bagi mereka.
Apatah lagi, mereka tidak pernah menyangka untuk menerima empat pencalonan dan menyaksikan calon lain yang bukan calang-calang bersaing untuk merebut gelaran terbaik.
Noh turut menjelaskan, kumpulannya tidak mahu meletakkan sebarang harapan yang tinggi kerana untuk menempatkan diri bersama calon lain sudah memadai dan menggembirakan mereka.
"Kalau tanya kepada kami tentang harapan untuk menang terutama dalam kategori Lagu Rock Terbaik, memang mustahil kerana kami bersaing dengan mereka yang ternyata hebat iaitu Estranged dan Butterfingers.
"Kami masih lagi baru dalam bidang ini dan kami pun belum sampai ke tahap terbaik seperti mereka yang lain. Apa yang penting adalah muzik kami diterima dengan baik dan mengenali AIM, ia amat mementingkan kualiti dalam setiap aspek yang dinilai.
"Pencalonan yang diterima ini pun sudah cukup buat kami bangga dan apa yang kami mahukan selepas ini adalah untuk menghasilkan produk yang lebih baik," katanya yang memberitahu Hujan akan memasuki studio tidak lama lagi untuk rakaman album kedua mereka.
Disoal tentang kredibiliti dan prestij AIM, jejaka berusia 23 tahun ini penuh optimis memberitahu AIM merupakan anugerah yang seharusnya dipandang serius oleh semua karyawan.
Ini kerana AIM merupakan pencetus semangat kepada semua mereka yang terlibat dalam bidang seni untuk terus melahirkan produk yang berkualiti dan boleh dibanggakan.
"Kalau malam AIM nanti, kemenangan berpihak kepada kami, Alhamdulillah. Kalau tak, itu bukan satu masalah kepada kami," ujar Noh yang baru selesai merakamkan sebuah lagu jazz bersama Atilia.
Terkilan
Bagi Taja selaku ketua kumpulan dan pemain gitar MUH, biarpun hanya tercalon dalam Artis Baru Terbaik, itu sudah membuatkan mereka gembira dan teruja.
MUH mempertaruhkan album EP mereka, 7 Tahun 3 Bulan 90 Hari yang hanya memuatkan empat buah lagu sahaja untuk menempatkan diri sebagai lima yang terbaik berbanding artis lain yang menghasilkan album penuh untuk bertanding dalam AIM.
Namun begitu, jauh di sudut hati dan mewakili teman-temannya yang lain, mereka berasa agak sedikit terkilan apabila tidak dapat tercalon dalam kategori lain seperti Lagu Rock Terbaik dan Album Rock Terbaik.
"Memang rasa gembira sebab hanya menerusi single kami layak untuk tersenarai sebagai Artis Baru Terbaik. Tetapi bohonglah kalau kami kata kami tak teringin untuk dicalonkan dalam kategori lain.
"Tetapi itu bukan satu penyesalan kerana kami masih belajar dan banyak lagi yang perlu dipelajari dalam dunia seni ini. Kami pun tidak pernah menyangka muzik kami diterima dengan positif oleh peminat.
"Dulu kami hanya memikirkan tentang perjuangan kami dalam bidang ini, tetapi selepas apa yang telah kami kecapi kini, mustahil untuk kami menoleh ke belakang lagi," kata Taja sambil dipersetujui oleh anggota MUH yang lain iaitu Lan (vokal), Bakri (drum) dan Afat (bass).
Album pertama
Sambil menumpang gembira dan bangga dengan kejayaan Hujan yang tercalon dalam empat kategori, Taja menjelaskan kini mereka sedang dalam proses pencarian lagu untuk menerbitkan album penuh pertama mereka.
Tidak gentar dengan senario industri muzik kini, apa yang mereka lakukan adalah untuk melengkapkan lagi portfolio mereka dalam menyakinkan penganjur untuk persembahan pentas biarpun lagu-lagu seperti Lagu Untukmu, Pari-Pari Di Bawah Angin, Halusinasi dan Putihnya Lukisan mendapat sambutan hangat.
"Kami pun tidak boleh terlalu berharap pada lagu yang sama sahaja kerana bimbang peminat akan bosan. Bukan itu sahaja, kerana AIM juga kami tekad untuk melahirkan album kami kerana ia membakar semangat untuk kami melahirkan karya berkualiti," tutur Taja yang terus berahsia tentang persembahan MUH bersama Hujan yang disifatkan sebagai kejutan pada malam AIM 16 nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: