SATU demi satu prosedur perlu dituruti apabila tiga kes aktres cantik Norish Karman di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menjalani prosiding secara serentak semalam.
Disebabkan itu, kes penjagaan anak telah pun ditangguh ke 19 Jun depan bagi pihak Norish atau nama sebenarnya Nor’asikin Karman, 35, mengemukakan pembelaan.
Peguam syarie Akhbardin yang mewakili Norish atau NK memohon kepada Hakim Syarie Abu Bakar Mohd Daud untuk membicarakan kes di Dewan 1 itu ke Dewan 2.
Selang beberapa minit selepas itu, dua kes lagi perlu menjalani prosiding di Dewan 2.
Sementara menunggu prosiding di Dewan 2, NK sempat berbual dengan anak tirinya, Alesha Nur, 15, yang dianggapnya seperti anak kandungnya sendiri tetapi hubungan mereka terpisah apabila Alesha tidak dibenarkan berjumpa dengannya setelah berada di bawah jagaan bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir.
Dalam perbualan itu, NK berkata dia kecewa apabila mendapat tahu bekas suaminya mahu mengambil anak-anaknya pula.
Dalam seronok berbual sambil membuka ‘loudspeaker’, tiba-tiba saja NK menitiskan air mata.
Ditanya kepadanya sebab dia menangis, ‘Saya sedih pasal bekas suami nak ambil anak-anak.
“Alesha Nur tinggal dengan bapanya. Dia tak dibenarkan berjumpa dengan saya dan perbualan kami pun secara curi-curi di telefon.
“Setiap kali dia call, saya akan rasa sedih sebab saya merinduinya. Dah lama saya tak jumpa dengannya setelah saya bercerai dengan bapanya,” kata NK di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam.
Dalam pada itu, perbicaraan tuntutan nafkah oleh Norish terhadap bekas suaminya semalam telah ditangguhkan ke 17 Jun depan untuk penghujahan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Proses sulh (perundingan) nafkah pula ditetapkan pada 7 Mei ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Dalam tuntutan itu, NK meminta supaya bekas suaminya menyediakan wang nafkah anak-anak sebanyak RM1500 setiap orang, wang sewa rumah dan wang untuk dibayar kepada pembantu rumah.
NK dan Hashimuddin, 61, bernikah pada 11 Januari 1998 di Perlis. Pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, pada 15 Julai 2008 tetapi tiada perintah hadanah (penjagaan anak) dikeluarkan.
Berdasarkan rundingan majlis sulh, kedua pihak bersetuju hak jagaan anak diberikan kepada NK sementara Hashimuddin mendapat hak lawatan.
maafkan saya,nama anak tiri beliau adalah halysha nur bukan alesha nur.terima kasih.
ReplyDelete