Wednesday, April 29, 2009

Fragmen: Apa ada pada tajuk, kalau cerita tidak menarik


ANTARA pelakon drama Di Bawah Ketiak Isteri, dari kiri; Radhi Khalid, Harun Salim Bachik, Pushpa Narayanan dan Leez.

PADA Isnin lalu, kita mendengar stesen radio Ikim.FM yang ketika itu menyiarkan temu bual dengan Taufiqurrahman al-Azizy iaitu penulis novel Munajat Cinta menerusi slot Mata Pena.

Novel Munajat Cinta dikatakan mendapat sambutan baik di Indonesia dan mula mendapat perhatian oleh penggemar novel di Malaysia. Kehadiran Taufiqurrahman ke Kuala Lumpur pula adalah untuk sebahagian daripada program mempromosikan novel karyanya itu sempena Pesta Buku Malaysia yang baru berakhir Ahad lalu.

Beliau secara ringkas mengupas kandungan novel tulisannya itu adalah mengangkat martabat, peranan dan kesucian wanita daripada sebagai seorang adik atau kakak, kepada isteri, ibu dan pemimpin.

Bagaimanapun, ada sepotong ayat daripada Taufiqurraman mengenai dunia hiburan yang menarik perhatian. Katanya, dalam dunia sama ada TV atau radio, apa yang penting ialah kandungannya dan isinya. Bukan kepada tajuk yang diberikan.

Jangan meletakkan judul yang cantik-cantik sedangkan isi atau kandungannya tidak menarik. Itulah antara kata-kata Taufiqurraman.

Katanya, sesebuah karya yang bagus tidak kiralah program TV, radio, malahan novel sekalipun, adalah bagaimana pengkarya boleh mengolah isinya dengan baik dan boleh memberi manfaat kepada penonton serta pembaca.

Perkara ini menyebabkan kita merujuk kepada beberapa judul drama TV atau filem yang sejak kebelakangan ini menggunakan perkataan yang berbaur seksual atau boleh memberikan pelbagai tafsiran berbeza-beza.

Walaupun judulnya kelihatan seperti sensasi, tetapi isi atau ceritanya tidaklah menarik seperti yang disangkakan.

Memang betul memilih judul yang menarik itu sangat penting untuk mendapatkan perhatian penonton. Namun begitu, seperti kata Taufiqurraman, meletakkan judul yang sensasi saja tidak memberikan sebarang makna kalau isi dan kandungannya kosong saja.

Menurutnya, dalam konteks program TV, bukan saja mata yang terhibur, tetapi biarlah telinga dan hati kita juga terhibur secara sihat dengan tema dan kandungan yang diketengahkan dalam sesuatu karya itu.

Mungkin kalau judul itu digunakan untuk filem, masih kita boleh terima kerana penonton filem yang terhad, iaitu tertakluk kepada mereka yang pergi ke panggung wayang saja.

Tapi menggunakan tajuk yang kasar atau ‘double meaning’ untuk program atau drama TV memang tidak sesuai sama sekali kerana ia ditonton oleh ramai orang dan dari pelbagai peringkat umur.

Bagi penonton dewasa, mungkin tidak kisah sangat dengan judul yang hendak digunakan tetapi apa yang dikhuatiri kalau tajuk itu menjadi ejeken atau ikutan kepada kanak-kanak?

Bayangkan tajuk seperti Jangan Main Belakang, Di Bawah Ketiak Isteri dan sebagainya menjadi mainan d ikalangan remaja dan kanak-kanak dengan maksudnya ‘disalahgunakan’ oleh mereka.

Baru-baru ini kita menonton drama yang menggunakan judul 3 Janda. Definisi janda dalam kebanyakan drama kita sering mengangkat kefahaman yang tidak betul kepada penonton. Imej janda itu selalunya dibawakan secara negatif seperti suka menggoda, nampak murahan atau suka merampas suami orang.

Kenapa tidak ada drama yang menggambarkan kesusahan janda atau ibu tunggal ini bertungkus lumus membesarkan anak-anak mencari sesuap nasi, memberi pendidikan dengan membuat pelbagai pekerjaan yang elok? Begitulah juga kalau drama yang berkisar mengenai duda pula.

Betul, bagi produser, pengarah dan penulis skrip, jangan lihat pada tajuk tapi tema dan ceritanya.

Tapi pemikiran penonton tidak sama dengan apa ada dalam kepala karyawan. Sebagai karyawan yang bertanggungjawab, kepentingan masyarakat perlulah diutamakan, bukan sekadar syok sendiri semata-mata untuk memastikan program terbitan mereka ditonton ramai, seterusnya memperoleh rating tinggi.

Kita bukanlah hendak menjunjung tinggi drama dari Indonesia, tetapi apabila diamati mereka menggunakan judul yang mudah, pendek, senang difahami dan mempunyai kaitan dengan isi kandungan ceritanya.

Ada ketikanya judul drama yang digunakan oleh produser atau pengarah kita berbelit-belit, terlalu simbolik dan tidak ada kena mengena dengan ceritanya.

Oleh itu, mungkin stesen TV dalam menilai sesuatu kertas cadangan penerbitan sesebuah drama, bukan sekadar sinopsis cerita dan barisan pelakon serta tenaga kerjanya saja diberi perhatian, tetapi penggunaan tajuk juga perlu diambil kira. Sesuatu tajuk itu bukan sekadar menarik, tetapi apa yang penting ia memberi makna dan kefahaman yang betul kepada penonton. Sesebuah program atau drama, apabila ceritanya menarik, penonton kebiasaannya tidak begitu mempersoalkan tajuk yang hendak diletakkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: