Thursday, April 30, 2009

Allah Habeebi - album termahal Mawi

DIIRINGI instrumen pemuzik handalan seperti Along, Man Keedal dan Ramli (Mohram); suara Mawi begitu menusuk mengalunkan empat lagu yang dipetik dari album terbarunya, Allah Habeebi. Setiap orang yang memenuhi ruang Al-Nafourah pun terdiam, menghayati lirik yang mengiringi muzik. Antara yang istimewa di antara kami ialah Farihin Abd Fatah, Yasin Sulaiman, M Nasir dan adik-beradik KRU yang turut berkongsi karya dalam album ini.

Terdapat lapan lagu dipertaruhkan; antaranya Allah Habeebi, Serulah Namanya dan Teman Hakiki yang melayakkan Mawi tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2008 yang dimaklumi mementingkan kualiti. Lagu-lagu lain yang tidak kurang hebatnya ialah Hijab, Tola’al Badru Alaina, Sujud, Wal-Asri dan Seroja.

Sebenarnya album ini berada di pasaran sejak 28 Disember 2008. Namun majlis pelancarannya yang dijadualkan berlangsung di Masjid Wilayah, 1 April 2009 hanya menjadi kenyataan Isnin lalu. Menelan belanja termahal iaitu RM100,000 berbanding album-album Mawi terdahulu, kos dikatakan banyak tertumpah pada proses mastering yang dilakukan di Amerika Syarikat.



Buat lirik Hijab

Ketika ditemui, Mawi sempat berkongsi rasa syukur kerana Allah Habeebi sudah terjual melebihi 15,000 keping dalam tempoh lebih kurang empat bulan ini. Manakala bilangan muat turun sebagai nada dering pula direkodkan mencecah 50,000.

“Saya akui jualan ini boleh dikatakan rendah tapi saya gembira sekurang-kurangnya masih ada orang hendak beli dalam keadaan sekarang. Kalau nak dapat semula jualan album macam dulu memang susahlah apatah lagi orang sekarang lebih suka memuat turun lagu dari internet sahaja,” ujarnya yang turut mengakui faktor kegawatan ekonomi.

Apa yang istimewa, Mawi mempertaruhkan lirik nukilan sendiri dalam trek kedua, Hijab. Lirik berkenaan katanya, memerlukan masa tiga hari untuk dicipta sebelum digandingkan dengan melodi ciptaan Bad Hisham. Ia merupakan lirik kedua tulisan Mawi selepas Ayah Aku Rindu Padamu yang dicipta khas untuk arwah Ani Ahmad yang meninggal dunia tiga tahun lepas.

Seperti biasa, hari itu Mawi sekali lagi dimomokkan dengan soalan lazim yang berbangkit sebaik sahaja seseorang artis berkahwin - soal populariti yang kian merudum.

Namun dengan wajah selamba seperti sebelum-sebelum ini Mawi menjawab, “Populariti naik atau turun saya tak pernah fikir. Apa yang penting saya buat kerja seikhlas hati.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: