|
|
MAHSURI, gadis cantik kelahiran Langkawi, Kedah yang juga dara pingitan Pandak Mayah dan Cik Alang, menjadi legenda agung negeri itu dan diingati sampai kini. |
Kisah menarik Mahsuri yang dikenali dengan keunikannya memiliki darah putih menjadi pilihan Fauziah Nawi untuk pementasan teater Mahsuri. Ia kini rancak dipentaskan di Istana Budaya selama tujuh hari dan berakhir esok.
Pementasan Mahsuri yang dijayakan Vanidah Imran sebagai Mahsuri, Azliyuszaini Mohd Noor (Datuk Pekerma Jaya), Sabera Shaik (Wan Mahura), Ard Omar (Pandak Mayah), Norsiah Mohd Yatim (Cik Alang), Azman Md. Hassan (Deramang), Azizah Mahzan (Wan Endah) dan Cico Harahap (Aria) mendapat sambutan cukup menggalakkan sehingga ruang yang boleh memuatkan 300 orang hampir penuh setiap malam.
Mengisahkan keagungan cinta Mahsuri terhadap Wan Darus, adik kepada wakil sultan di Langkawi, Wan Yahya atau dengan gelaran Datuk Pekerma Jaya, akhirnya tidak kesampaian akibat fitnah.
Berikutan tohmahan dituduh melakukan hubungan sulit dengan Deramang, dia dijatuhkan hukuman bunuh oleh Datuk Pekerma Jaya setelah termakan hasutan isterinya, Wan Mahura ketika Wan Darus meninggalkan Langkawi untuk berperang dengan tentera Siam.
Kisah menyayat hati ini menampilkan jalan cerita menarik dengan memberi satu kelainan berbanding cerita Mahsuri yang didengar sebelum ini.
Penggunaan unsur syirik dengan melakukan sihir ke atas Mahsuri ketika malam pertamanya dengan Wan Darus, adalah kelainan yang ditonjolkan Fauziah dalam teater ini.
Namun, rata-rata melahirkan rasa tidak puas kerana masa pementasan selama satu setengah jam itu, tidak menonjolkan kekuatan watak 'Mahsuri' sebagai peranan utama dalam pementasan teater berkenaan.
Selain itu, jalan cerita berakhir selepas Mahsuri dijatuhi hukuman bunuh, membuatkan penonton tertanya-tanya 'takkan sudah habis' kerana secara sinonimnya, kisah legenda ini akan menyusur reaksi Wan Darus selepas kematian isteri yang amat dicintainya itu.
Ramai berpendapat, kekuatan watak Mahsuri hanya dapat dirasai ketika babak akhir pementasan iaitu ketika dia dibawa ke tempat hukuman, menyumpah Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan dan dihukum bunuh.
Tambah mengeruhkan keadaan, apabila berlaku masalah teknikal seperti sistem bunyi yang bukan sahaja mengganggu kelancaran pementasan malah penonton tidak dapat mendengar apa yang dituturkan Pandak Mayah ketika memangku Mahsuri yang sudah mati dibunuh.
Fauziah, yang ditemui selepas pementasan teater Mahsuri mengakui, jalan cerita sengaja diberhentikan sampai Mahsuri dihukum mati kerana tidak mahu ia meleret-leret.
"Saya akui mementaskan kisah yang sudah sebati di hati masyarakat bukan tugas mudah kerana terdapat banyak cabarannya. Kisah Mahsuri selepas mati dibunuh, Wan Darus pulang dengan rasa sedih yang teramat, pergi meratap kubur isteri dan bawa lari anaknya, Wan Hakim ke Siam sudah sangat sinonim.
"Berikutan itu, saya ingin memberi satu nafas baru dalam kisah legenda ini, namun naratifnya tetap sama," katanya.
Mengulas pandangan watak Mahsuri kurang menonjol, kata Fauziah, dia tidak bermaksud menenggelamkan peranan wanita jelita itu dalam jalan cerita teater Mahsuri.
"Saya faham kebanyakan masyarakat melihat kekuatan cerita Mahsuri tertumpu kepada wanita jelita berkenaan. Namun, saya mengambil inisiatif untuk mengolah pandangan masyarakat dengan melihat kehidupan dan diri Mahsuri diceritakan menerusi pandangan suaminya, Wan Darus.
"Selain itu, saya berasakan pembabitan semua watak perlu sama dan seiring dalam pementasan dan disebabkan itu saya tidak mahu terlalu menonjolkan watak Mahsuri," katanya.
Bercerita mengenai masalah teknikal dihadapi ketika pementasan berlangsung, Fauziah berkata, dia berasa begitu sedih dan hampir mengalirkan air mata mengenangkan apa yang berlaku.
"Saya anggap kecacatan yang berlaku ketika pementasan berlangsung seperti sistem bunyi tidak kedengaran adalah kelemahan diri, namun saya lihat semua itu dari sudut positif.
"Saya sudah cuba melakukan dengan sebaiknya. Namun, saya faham tiada benda yang sempurna dalam dunia ini. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dalam tempoh sebulan, akhirnya teater Mahsuri dapat dipentaskan," katanya.
Vanidah atau Vee mengakui berasa gelisah sebelum pementasan berlangsung walaupun sudah banyak kali terbabit dengan teater.
"Saya akui setiap kali sebelum pementasan, rasa bimbang kerana macam-macam boleh berlaku. Tambahan lagi, ia teater dan dipentaskan secara langsung di hadapan penonton.
"Namun, satu kebaikan teater, kami diajar sentiasa berhati-hati dan fokus terhadap apa yang berlaku di pentas," katanya.
Bercerita bagaimana dia menjiwai watak Mahsuri, kata Vee, dia banyak membuat rujukan di Internet untuk mengkaji perwatakan wanita jelita itu.
"Bukan senang untuk mencari emosi yang sesuai dibawa ketika memegang watak Mahsuri kerana jika saya gagal menjiwai watak itu, ia akan memberi impak kepada yang lain.
"Oleh itu, saya sentiasa merujuk dengan ibu (Fauziah) untuk mendapat tunjuk ajarnya dalam mencari ketepatan untuk membawa watak Mahsuri," katanya.
Bagi Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, berasakan dirinya bertuah kerana mendapat pengalaman bekerja di bawah arahan Fauziah.
"Banyak benda yang saya pelajari daripada ibu (Fauziah). Dia mengajar saya cara menjiwai watak, lontaran suara, asas teater dan menyokong saya sepenuhnya dengan memberi kepercayaan yang tidak berbelah-bagi.
"Pertama kali menggalas tugas pelakon utama sebagai suami kepada Mahsuri, Wan Darus, membuatkan saya gemuruh. Namun, ibu sentiasa berada di tepi saya dan memberi motivasi tanpa mengira masa," katanya.
Bergandingan dengan pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 2007, Vee, adalah perkara yang sangat bermakna buat Arja.
"Walaupun saya masih baru dalam bidang ini, Vee, tidak pernah menjadikan itu sebagai isu. Malah, sepanjang latihan teater ini, dia banyak beri tunjuk ajar kepada saya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: