Wednesday, April 29, 2009

Mengetuk pintu penyertaan AIM


KUMPULAN HUJAN


ANUGERAH Industri Muzik Malaysia (AIM) merupakan acara yang dikatakan gambaran terhadap situasi sebenar yang sedang berlaku dalam industri muzik tempatan.

Gambaran itu termasuklah jumlah penerbitan album-album tempatan, kemasukan album-album antarabangsa, genre-genre muzik yang popular ataupun artis-artis tanah air yang sedang popular.

Sayangnya, AIM anjuran Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) yang dipengerusikan oleh Datuk Aziz Bakar dikatakan sering berubah-ubah terutamanya daripada segi genre-genre muzik yang dipertandingkan.

Ini kerana, banyak gambaran lain yang sedang berlaku dalam industri muzik tanah air tidak digambarkan dengan jelas menerusi anugerah yang menyediakan pengiktirafan berbentuk trofi kepada para pemenangnya itu.

Sebagai contoh, setakat ini anugerah-anugerah yang dipertandingkan dalam AIM16 yang akan berlangsung pada 2 Mei ini hanya meliputi genre muzik seperti pop, rock, nasyid dan etnik.

Sebaliknya banyak lagi genre muzik seperti independent (indie) yang kini sedang menjadi kegilaan ramai pemuzik dan peminat muzik tempatan seakan-akan kurang diberi perhatian.

Sepatutnya pihak penganjur AIM dengan kerjasama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) haruslah mengenal pasti kumpulan-kumpulan indie yang telah menghasilkan single atau album sendiri.

Banyak kumpulan indie yang mencakupi genre muzik seperti punk, hardcore, ska, sub-pop, reggae dan sebagainya yang telah menghasilkan material-material sendiri seharusnya dipertandingkan dalam AIM.

Realitinya, kemunculan kumpulan-kumpulan pemuzik sebegitu bercambah dengan begitu banyak sekali, tetapi kehadiran mereka seperti tidak disedari secara meluas oleh masyarakat.

Selepas ini barangkali AIM boleh mengesan kemunculan kumpulan-kumpulan seperti ini dan meminta supaya mereka juga mengetengahkan atau mempertandingkan karya-karya mereka dalam anugerah itu.

Sebabnya tanpa adanya sikap prihatin dan mahu mengambil tahu serta bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan baru, kemeriahan AIM mungkin akan menjadi lebih kurang sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Alangkah meriahnya AIM pada saban tahun jika anugerah yang masuk kali ke-16 itu dimeriahkan oleh lebih banyak kumpulan baru yang sedang mencipta nama dengan pelbagai genre muzik.

Mungkin para peminat kurang terasa teruja untuk mengikuti karya-karya yang dipertandingkan dalam AIM kalau artis-artis yang dipertandingkan pada setiap tahun merupakan artis-artis yang hampir sama.

Paling ketara apabila pencalonan dalam sesuatu kategori seperti Lagu Rock Terbaik dalam AIM16 disertai oleh sebuah kumpulan dengan mendominasi lebih empat buah lagu daripada 10 lagu yang disenarai pendek!

Senario itu bukan setakat menggambarkan seperti ada sesuatu yang tidak kena kerana bagaimana seseorang calon dibenarkan atau diterima masuk pencalonan mereka lebih banyak berbanding artis-artis lain.

Seolah-olah tiada artis lain yang layak atau diberi peluang untuk bertanding dalam sesuatu kategori itu bagi menempatkan diri mereka dalam pencalonan 10 terbaik atau lima senarai pendek untuk bersaing pada malam kemuncak anugerah tersebut.

Dalam erti kata lain, AIM patut membuka pencalonan lebih luas, menggalakkan artis-artis lain termasuklah kumpulan-kumpulan indie supaya menyertai pertandingan yang 100 peratus ditentukan pemenangnya oleh panel juri profesional itu.

Kita yakin di luar sana terdapat ramai lagi artis solo atau berkumpulan yang tidak mengikat kontrak dengan syarikat-syarikat rakaman tetapi mereka mempunyai single ataupun album sendiri.

Golongan-golongan inilah yang sepatutnya diberi perhatian dan ditarik bagi menyertai AIM supaya karya-karya mereka dipertandingkan serta diketahui secara lebih meluas oleh khalayak.

AIM mungkin boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengenal pasti golongan-golongan artis sebegitu yang ada di antaranya cukup kreatif, tetapi tidak ramai yang mengetahui kemunculan karya-karya mereka.

Jika AIM tidak mengambil langkah-langkah seperti itu, anugerah yang berprestij tersebut mungkin hanya akan terus dikuasai oleh ahli-ahli RIM yang tentunya akan mengetengah serta mengutamakan artis-artis naungan masing-masing.

Tidak salah rasanya jika AIM melonggarkan sedikit syarat pencalonan seperti artis-artis yang tidak menjadi ahli RIM juga layak untuk bertanding dalam anugerah itu.

Sebabnya ramai artis solo atau berkumpulan yang tidak terikat dengan syarikat-syarikat rakaman arus perdana dan mereka mengambil inisiatif menerbitkan album-album sendiri.

Dengan adanya penyertaan lebih ramai artis atau karya-karya yang dipertandingkan dalam AIM, selain melonggarkan sedikit syarat penyertaan, anugerah itu tentunya akan menjadi lebih meriah.

AIM16 yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada 2 Mei ini pukul 9 malam pastinya akan menjadi lebih bermakna jika ia disertai lebih ramai artis tanah air.

Tidak kiralah sama ada mereka itu artis pop, rock, nasyid atau pelbagai lagi cabang muzik indie yang kurang dikenali ramai sekali pun, penampilan mereka tentunya mampu memberi gambaran sebenar yang sedang berlaku dalam industri muzik di negara ini.

Selama ini artis-artis atau karya-karya yang ditampilkan melalui AIM saban tahun boleh dikatakan lebih 95 peratus dimonopoli oleh artis-artis daripada aliran arus perdana.

Ia juga seolah-olah menggambarkan bahawa artis-artis indie lain yang kurang popular tidak mendapat tempat atau tidak menyumbang dalam memeriahkan industri muzik tanah air sejak dari dulu lagi.

Kalaulah peluang dan penyertaan golongan artis-artis sebegitu tidak ditarik sama dalam AIM, maka anugerah itu belum benar-benar memberi gambaran sebenar yang sedang berlaku dalam industri muzik di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: