Wednesday, April 29, 2009

Soseh Soseh: Bekas kekasih makan hati


SEJAK berlaku insiden 'terpeluk' baru-baru ini, semua orang sudah mengetahui percintaan pasangan popular, Irma Hasmie dan Nabil yang diibaratkan seperti merpati dua sejoli.

Peminat sendiri tumpang gembira apabila kedua-dua selebriti kian harum di persada seni tanah air popular ini membuat pengakuan terbuka mengenai hubungan cinta mereka. Difahamkan, mereka juga memberi tempoh dua tahun lagi untuk mengikat cinta mereka dengan perkahwinan.

Bagaimanapun, dalam kehangatan peminat bercerita mengenai hubungan pasangan ini, SS dengar ada seorang lelaki sedang bersedih kerana cintanya dengan pelakon wanita ini tidak kesampaian dan beralih arah kepada pasangannya sekarang.

Menurut sumber rapat dengan lelaki dimaksudkan, sejak Irma putus cinta dengan seorang lagi pelakon sebelum ini, dia sempat menjalinkan hubungan dengan orang luar daripada dunia seni. Mereka dikatakan cukup bahagia dan SS juga difahamkan, lelaki itu amat menyayangi Irma.

Tambah sumber terbabit kepada teman SS, kerana sayang juga apa saja kehendak hati pelakon wanita popular ini akan ditunaikan termasuk apabila pelakon itu meminta dibelikan pelbagai barangan elektronik terbaru.

Kata sumber itu lagi, kadang-kadang apabila mempunyai urusan di luar negara, lelaki itu akan membelikan hadiah mewah sehingga mencecah lebih RM5,000.

Puas membelai kekasih hati dengan pelbagai hadiah dan barangan mewah, alih-alih lelaki itu ditinggalkan apabila pelakon wanita itu mula rapat dengan kekasih hatinya sekarang.

Lelaki itu khabarnya terduduk apabila pelakon wanita itu meminta hubungan mereka diputuskan tanpa sebarang alasan kukuh. Sehinggalah beberapa bulan kemudian, keluar gosip mengatakan kekasihnya dan pelakon popular yang bakatnya dicungkil daripada rancangan realiti tv itu mula dihidu media.

Nasi sudah menjadi bubur, walaupun kecewa, lelaki itu terpaksa menerima hakikat itu. SS harap lelaki itu menjadikan apa yang berlaku sebagai satu pengalaman hidup. Kata orang, bunga bukan sekuntum dan jangan menangisi orang yang tidak sudi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: