DARI segi sejarah One In A Million (OIAM), artis-artis lelaki yang menyertai program realiti ini belum pernah menjuarainya.
Artis rakaman seperti Siti Sarah dan Dayang Nurfaizah pun kurang bernasib baik.
Mereka kecundang di pertengahan jalan ataupun ketika menghampiri final OIAM musim terdahulu. Yang menjuarainya pula ialah peserta perempuan, iaitu Suki pada OIAM pertama dan Ayu, OIAM kedua.
Berdasarkan rekod tersebut, jelas sekali fakta-fakta ini tidak memihak kepada Tomok. Penyanyi itu adalah artis lelaki dalam kumpulan Newboyz.
Tetapi, Tomok telah berjaya merancakkan OIAM musim terkini dengan persembahan luar biasa setakat ini.
Mungkinkah apa yang dicita-citakan Tomok ini tidak akan menjadi kenyataan pada Jumaat ini ekoran badi OIAM?
TOMOK
Berpeluang menemuramahnya baru-baru ini, Tomok memberitahu mStar, dia ingin merubah sejarah OIAM. Dia ingin menjadi artis lelaki pertama yang membawa pulang RM1 juta.
"Saya memang berazam menjadi artis pertama lelaki menjuarai OIAM. Saya beriltizam untuk melakar satu sejarah baru untuk program realiti ini," katanya.
Walaupun azamnya menggunung tinggi, Tomok masih berpijak di bumi nyata malah merendah diri. Katanya, dia akur setiap finalis mempunyai kelebihan masing-masing.
"Tomok tidak mengaku hebat sangat... jauh sekali memandang rendah terhadap Esther dan Aweera. Semua ada kelebihan masing-masing," akuinya.
Jelasnya, kejayaannya melangkah ke peringkat akhir adalah atas bantuan semua pihak yang terlibat.
"Kejayaan tidak datang bergolek. Hasilnya bukan daripada saya sendiri, tapi datang daripada semua tenaga pasukan produksi....antaranya, koreografer Pat Ibrahim (Puteri Gunung Ledang Muzikal), Peter Lam (Stailo), pengarah muzik Aubrey Suwito, Juwito (Vokal) dan sebagainya.
Oleh itu, Tomok mengakui sejujurnya, dia akan menjadi orang yang paling kecewa di dunia jika tersingkir untuk memberi laluan kepada Esther atau Aweera.
"Apa yang boleh saya katakan ialah satu perasaan yang amat kecewa... memang kecewa dan saya harap ia tidak terjadi," ujarnya sambil menambah, pada masa yang sama, dia perlu mempunyai keyakinan diri.
Namun, tambahnya, keyakinan diri itu tidak boleh berlebihan. "Jika terlalu down akan menjejaskan prestasi persembahan nanti," katanya.
LAGU-LAGU FINAL TOMOK
Mengenai lagu yang bakal dibawanya pada final nanti, Tomok berkata, dia akan menyanyikan lagu `Rindu Terhenti' (pop rock) ciptaan Aubrey Suwito dan `Kau yang mampu' nyanyian asal Aizat. Menurutnya, dia akan menggunakan pelbagai instrumen dan gimik. Perbezaannya kali ini, kata Tomok, adalah impaknya dua kali ganda dibandingkan dengan persembahan mingguan.
CITA-CITA
Jika pentas OIAM memberikan rezeki kepadanya, Tomok berkata, dia ingin membuka studio serta mengeluarkan album solo yang pertama.
Ditanya jika OIAM bukan rezekinya dan siapa antara Aweera dan Esther yang mendapat undiannya, Tomok memilih Esther kerana kelebihan vokalnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: