Tuesday, April 28, 2009

Corrie dapat mimpi ilham koreografi Muzikal Mahsuri

Adam Corrie Lee sentiasa mendapat sokongan isteri tersayang dalam bidang koreografi.

SUDAH rezeki pelakon dan koreografer Adam Corrie Lee yang mendapat tawaran bergelar koreografi Teater Muzikal Mahsuri yang sedang dipentaskan di Istana Budaya sekarang hingga 30 April ini.

Cerita Adam, selepas selesai pengambaran sebuah filem di Langkawi dan mahu pulang ke Kuala Lumpur, dia terpandangkan gambar Mahsuri di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Dalam beberapa minit sahaja selepas itu, dengan secara kebetulan juga Adam menerima panggilan daripada Fauziah Nawi yang dipanggil ‘mak’ menawarkannya untuk membuat koreografi Muzikal Mahsuri.

Sehingga masuk ke ‘rehearsal’ kedua, Adam mendapat mimpi Mahsuri yang berada di rumah lama berjalan ke luar rumah.

“Ada seorang wanita menoleh kepada saya tetapi selepas beberapa minit dia hilang. Saya berlari untuk mengejar wanita itu tetapi akhirnya saya terjatuh.

“Begitulah yang saya rasakan sehingga membuatkan saya susah untuk membuat koreografi mimpi.

“Setelah mendapat ilham, apabila nak buat koreografi tu selalu tak jadi. Ada sahaja halangan seolah-olah ada orang yang tak jujur. Jadi, saya selalu berpesan kepada semua agar banyakkan istighfar dan hadiahkan selawat, Al-Fatihah dan 3 Qul.

“Sebab itu apabila tiba babak Mahsuri dibunuh, dari mula latihan hingga sekarang saya akan berasa sedih,” kata Adam Corrie yang mengalami sedikit perasaan ‘misteri’ semasa menjalani latihan dan pementasan Muzikal Mahsuri.

Namun begitu, dia enggan menceritakan lebih lanjut mengenai perasaan ‘misteri’ itu.Mungkin disebabkan dia bekerja dalam pementasan yang membawa nama seorang lagenda yang telah mati dibunuh, jadi sebab itu Adam berasa seperti itu.

Atau mungkin juga disebabkan perasaan bersalah atau terkilannya akibat tidak sempat melawat Makam Mahsuri semasa ke Langkawi baru-baru ini setelah berkejar untuk pulang ke Kuala Lumpur.

“Saya masih ingat lagi sehingga sekarang gambar Mahsuri di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang kelihatan sangat ‘hidup’.

“Insya-Allah, selepas pementasan ini selesai dan berpeluang, saya mahu melawat Makam Mahsuri sebagai tanda terima kasih kerana memberi ‘signal’ (petanda) kerana saya tak terfikir untuk mendapat ‘job’ ini.

“Selepas saya melihat gambarnya di lapangan terbang antarabangsa Langkawi dengan secara kebetulan juga saya mendapat tawaran terlibat dalam Muzikal Mahsuri,” luah Adam.

Melihat tarian yang dipersembahkan iaitu joget lagu Pantun Seloka dan tarian ‘cucuk pisang’, Adam berkata jarang orang mengenalpasti koreografi itu adalah miliknya.

“Biasanya orang mesti ingat saya lebih kepada tarian hip hop. Dalam lima hingga enam kali juga saya mengubah dan mencantikkan lagi setiap koreografi yang dibuat,” ulasnya yang akui semakin kreatif selepas berkahwin atas bantuan isteri tersayang.

Adam juga bersyukur apabila tidak putus-putus menerima ilham untuk mereka koreografi yang menarik dalam muzikal ini.

“Saya belum cakap lagi kepada ‘mak’, dia sudah memberitahu idea koreografi itu yang kebetulan sama dengan idea saya,” ujarnya yang turut mendapat bantuan idea daripada isterinya, Fazema.

Dalam masa yang sama, Adam menganggap semua kelancaran itu berkat daripada lima elemen yang diterapnya iaitu jujur, disiplin, ‘teamwork’, fokus dan ‘concentrate’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: