Wednesday, April 29, 2009

Kotak cari peluang di Malaysia



PELANCARAN album Kotak di Malaysia disempurnakan oleh Pengarah Urusan SRC, Tan Su Loke (tengah).

SETELAH agak lama tidak kedengaran syarikat rakaman mempromosikan penyanyi atau kumpulan muzik dari Indonesia, tiba-tiba Suria Record Company (SRC) mengundang wartawan ke sidang media pelancaran album kumpulan Kotak dari negara seberang di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kebangkitan kumpulan indie tempatan seperti Hujan, Meet Uncle Hussain, Bunkface, Estranged dan sebagainya bagai mengalih minat penggemar muzik tanah air kepada muzik yang dihasilkan penggiat seni negara sendiri.

Apabila kumpulan Kotak diperkenalkan kepada wakil media, timbul pertanyaan apakah kumpulan ini benar-benar mempunyai sesuatu yang istimewa sehingga SRC sanggup bersusah payah membawa mereka masuk ke negara kita?

Pengurus Besar SRC, Edwin Tan berkata, pihaknya tidak memilih genre muzik atau dari mana muzik berkenaan datang, sebaliknya, mereka tetap menerbit dan mengedarkan album yang benar-benar berkualiti.

"Saya ke Indonesia, untuk mendengar hasil rakaman mereka. Kami rasakan muzik kumpulan ini mampu memikat pendengar Malaysia. Jadi, tiada salahnya SRC mempromosikan Kotak,” kata Edwin.

Di Indonesia, kumpulan rock yang diasaskan sejak penghujung 2004 ini bernaung di bawah label Warner Music.

Pengarah Urusan Warner Music Indonesia, Jusak Irwan Soetiono berkata, Kotak ialah antara nama yang kini menjadi sebutan peminat, terutama selepas kemunculan album kedua mereka, Album itu melonjakkan mereka menerusi dua single berjudul Beraksi dan Masih Cinta.

"Di Indonesia, album itu terjual lebih 20,000 unit, manakala nada dering pemanggil lagu Masih Cinta terjual melebihi angka 500,000," kata Jusak yang menganggap Kotak beruntung kerana mempunyai kekuatan dalam kedua-dua irama, rancak dan perlahan.

Jusak turut menafikan andaian kononnya kumpulan itu dibawa masuk ke Malaysia kerana gagal mendapat perhatian di negara sendiri.

"Kumpulan ini mempersembahkan muzik yang mempunyai peluang besar untuk disukai di kedua-dua negara. Malah di Indonesia, lagu Masih Cinta terus hangat sejak dua bulan lalu,” katanya.

Selain Masih Cinta dan Beraksi, album itu turut memuatkan lagu Kosong Toejuh, Kembali Untukmu, Tinggalkan Saja, Rock Never Dies, Berbeda, Lagi Lagi, Tetap Ada, Terluka, Mencintaiku Dan Dia dan Bayang Abadi.

Kotak dibentuk hasil kejayaan setiap anggota dalam pertandingan Dream Band dianggotai Tantrisyalinori Ichlasari (Tantri) yang bertindak sebagai vokal utama, Swasti Sabda Stantri atau Chua (bass), Mario Marcela Handhika Putra atau Cella (gitar) dan Haposan Harianto Tobing atau Posan Tobing (dram).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: