|
| WATAK Dafi dalam drama bersiri Spa Q 1 dan 2 nyata menaikkan nama pelakon muda, Fazren Rafi, 24, di persada seni tanah air. Malah ramai memanggilnya Dafi, membuktikan betapa dekatnya drama itu di hati peminat hingga drama itu mendapat sambutan ramai ketika disiarkan di TV3. |
Kata Fazren, tidak sia-sia segala komitmen dan pengorbanan diberikan sepanjang beberapa bulan menghabiskan masa di lokasi penggambaran drama bersiri 120 episod itu (musim 1 dan 2).
"Saya cukup bertuah kerana diberi kepercayaan penerbit Global Station Sdn Bhd, Zaiton Mohd Jiwa untuk menjayakan drama ini.
"Sekalipun Spa Q 2 sudah berakhir, ke mana saja saya pergi, orang masih memanggil saya Dafi. Sejak beraksi dalam Spa Q juga, tawaran berlakon tidak pernah putus sampai sekarang. Tapi, saya tidak tamak untuk merebut segala peluang yang datang depan mata.
"Sudah menjadi cara saya untuk memberi fokus pada sesuatu projek drama sehingga selesai sebelum terbabit dalam projek lain pula.
"Sebelum ini, saya pernah terbabit dalam dua projek drama dalam satu masa tapi ia hanya menyusahkan diri sendiri kerana terpaksa berkejar ke sana sini dan tidak dapat fokus pada projek berkenaan," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama Mingguan Lelaki arahan Aziz M Osman, baru-baru ini. .
Antara drama lakonannya ialah Adam, Puteri, Ali Din, Bong, Impian Laili dan telefilem Air Mata Rajie. Dia juga baru selesai penggambaran drama bersiri 13 episod, Cintaku Di Mukah arahan Mohd Noh Bujang yang membabitkan penggambaran di Sarawak.
Dalam misi menjadi pelakon versatil, Fazren juga ingin mencuba karakter antagonis untuk meningkatkan lagi prestasi lakonan sedia ada.
"Saya sering diberikan watak lelaki baik dalam drama sebelum ini. Justeru, saya berharap pengarah akan beri peluang kepada saya berlakon watak lebih mencabar seperti pemuda psiko, perompak, perogol dan sebagainya.
"Kalau sebelum ini, saya sering kena pukul dalam drama, kali ini saya teringin hendak pukul orang pula," katanya.
Sesibuk manapun berlakon, Fazren tetap berazam menamatkan pengajian dalam jurusan Seni Persembahan Drama (Pengarahan) di Universiti Malaya (UM). Kini Fazren dalam semester akhir dan masih ada dua kertas yang perlu dihabiskan pada semester depan.
Dua kertas itu tertangguh buat sementara waktu kerana ia bertembung dengan jadual penggambaran drama sebelum ini.
"Apapun, saya tetap akan menamatkan pengajian secepat mungkin kerana saya juga ingin menjadi pelakon berilmu," katanya.
Minat macam manapun pada bidang lakonan, Fazren yang mengagumi Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dan pengarah indie, Namron, tetap tidak melupakan impiannya menjadi pengarah berjaya pada masa depan.
Katanya, dia menceburi bidang lakonan untuk mencari tapak dan pada masa sama, mencuri masa untuk berjinak-jinak dengan kerja belakang tabir di lokasi penggambaran.
"Saya sudah bekerja dengan ramai pengarah dan masing-masing juga mempunyai corak pengarahan berbeza. Contohnya, dari segi teknik pencahayaan dalam drama Aziz, ia tidak sama dalam dalam drama pengarah lain.
"Bagaimanapun, masih banyak ilmu pengarahan yang perlu dipelajari sebelum saya mempunyai keyakinan untuk mengarah drama pada masa depan," katanya.
Jika artis muda lain lebih suka menyorokkan status mereka, Fazren pula tidak ada masalah berkongsi cerita peribadinya dengan peminat.
"Saya yakin peminat sekarang sudah bijak untuk menilai seseorang artis itu menerusi bakat dan bukan cerita peribadinya.
"Justeru, saya tidak ada masalah untuk memberitahu peminat saya sudah mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihan hati, Sharifah Marlina Ashikin Syed Hassan, 23, pada 13 Disember lalu.
"Mengikut persetujuan keluarga kedua-dua pihak, kami bertunang selama dua tahun sebelum mengakhirinya dengan perkahwinan.
"Dia hanya orang biasa dan kami bertemu di tempat cuci kereta. Saya asal Klang, Selangor dan Marlina pula dari Batu Gajah, Perak. Selepas berkawan selama empat bulan, kami sepakat untuk bertunang.
"Marlina juga mempunyai kelulusan dalam jurusan asuhan kanak-kanak dan bercadang membuka tadika sendiri tidak lama lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: