Thursday, April 23, 2009

Kegemilangan AIM


BAHANG Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 semakin terasa. AIM16 satu-satunya Anugerah tempatan yang memberi pengiktirafan kepada pengkarya dan pemuzik tanah air yang tidak mengira bangsa.

Sebagai Stesen Penyiar Rasmi AIM16, ntv7 memeriahkan lagi kehangatan anugerah berprestij ini dengan Prelude AIM16 melalui konsep baru yang lebih segar dan menarik.

Lebih berbentuk infotainment, program empat episod ini membawa penonton meninjau di sebalik kegemilangan dan kemasyhuran AIM sejak ia mula diperkenalkan pada 1994.

Penonton dibawa untuk memahami latar belakang dan menghargai perjuangan mereka yang terbabit dalam industri muzik tempatan. Rancangan ini disiarkan setiap Khamis, jam 9 malam.

Bagi episod ketiga malam ini, penonton berpeluang mengimbas kembali persembahan terbaik sepanjang AIM diadakan. Pastinya alunan lagu malar segar dan terkini dari 1994 hingga 2008 adalah antara koleksi persembahan yang pernah menjadi igauan penonton suatu masa lalu.

Lebih menarik, penonton turut dihiburkan dengan klip temu bual bersama penyanyi terkenal seperti Faizal Tahir yang berkongsi persiapannya untuk mencipta suatu persembahan yang berbeza daripada lain dan penuh berkesan pada AIM15 lepas di upacara pembukaan anugerah itu. Tentunya, persembahan ala superman turut menarik perhatian penonton.

Berlatarkan suara Kartini Ariffin, saksikan juga selebriti yang bersinar dan bergemerlapan pada malam AIM melalui segmen fesyen. Selebriti mana yang berjaya mencuri perhatian dengan gaya tersendiri mereka? Pereka fesyen yang dikenali ramai seperti Rizalman Ibrahim, Michael Ong, Calvin Thoo dan ramai lagi berkongsi pandangan mereka mengenai fesyen artis yang penuh glamor.

Episod minggu ini juga memberi penonton peluang melihat koleksi aksesori dari Faiq Jewels yang akan digayakan oleh beberapa bintang utama pada AIM16 nanti. Siapakah yang akan mencuri perhatian dengan pemakaian barang kemas bernilai RM1 juta pada malam kemuncak itu nanti?

Program khas ini turut memberi penghargaan kepada pihak penaja yang memberi sokongan bagi memastikan kejayaan AIM sepanjang 16 tahun ia diadakan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Celcom (Malaysia) Berhad, Datuk Sri Shazalli Ramly turut berkongsi pandangan mengenai AIM16 di samping menyentuh mengenai pembabitan Celcom sebagai penaja utama bagi empat tahun berturut-turut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: