Thursday, April 23, 2009

Soseh Soseh: Kolej perkecil bekas graduan


BIARPUN jualan album dikatakan belum stabil, SS lihat ramai artis kita yang masih boleh 'bernafas' apabila dapat peluang buat persembahan. Apa yang menarik perhatian SS, kumpulan indie makin mendapat tempat di hati peminat. Bayangkan setiap kali ada persembahan pasti ada kumpulan indie yang turut serta.

Pada SS, ini satu perkembangan yang positif pada bidang muzik tempatan yang sebelum ini kecoh apabila muzik dari luar negara khusus Indonesia asyik berkumandang di corong radio.

SS juga ada bertanya kepada beberapa kumpulan indie mengenai sambutan peminat terhadap mereka. Memang tepat jangkaan SS, mereka kini diibaratkan fenomena kepada peminat khususnya remaja yang cepat ikut perkembangan kumpulan indie kegemaran mereka.

Namun, dalam banyak cerita menarik yang SS dengar, ada rakan SS sampaikan cerita mengenai keluhan beberapa anggota kumpulan indie yang tidak berpuas hati dengan sikap sebuah sekolah muzik yang turut popular dalam kalangan artis untuk melanjutkan pengajian seni. Kata rakan SS itu, anggota kumpulan berkenaan pernah belajar di sana dan tidak nafikan pembelajaran di situ memberikan banyak faedah.

Bagaimanapun, apabila mereka habis belajar ada kalangan graduan yang mahu bekerjasama dengan sekolah itu untuk aktiviti yang dianjurkan sebaliknya hanya dipandang sebelah mata. Apa yang tidak sedap didengar, sekolah itu sering menggunakan nama artis yang pernah menjadi pelajar mereka mungkin sebagai hasrat memancing pelajar baru, tetapi hakikatnya mereka seperti menumpang populariti artis.

SS terfikir kenapa perkara sebegini boleh berlaku. Sepatutnya sekolah muzik lebih terbuka untuk bekerjasama dengan artis apatah lagi artis itu pernah menjadi graduan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: