BERMULA dari musim pertama hingga memasuki musim ketujuh, program realiti terbitan Astro, Akademi Fantasia (AF), tidak pernah lari dengan elemen ‘kejutan’. |
Malah, persembahan pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh, turut diterapkan elemen kejutan yang dikatakan mampu menarik perhatian penonton untuk setia di kaca TV menonton rancangan realiti itu.
Bagi minggu kelima AF7, menyaksikan pelbagai kejutan yang ditonjolkan stro yang sama sekali tidak dijangka pelajar mahupun penonton.
Isma, dikejutkan dengan kemunculan suaminya, Zulkifli Majid (Zul 2 By 2) di atas pentas untuk bersama-sama mendendangkan lagu Kau Mawarku. Sementara itu, Aishah juga turut dikejutkan dengan kemunculan Alif sebagai rakan duetnya untuk menyanyikan lagu Dua Hati Jadi Satu.
Manakala Claudia, dikejutkan dengan kemunculan anaknya selepas menyampaikan lagu Kau Muzik Di Hatiku dan itu adalah antara kejutan yang ditonjolkan sepanjang berlangsungnya konsert minggu kelima AF7.
Bagi menghangatkan lagi program realiti Akademi Fantasia, satu program Diari Ext AF ditayangkan selama setengah jam sebelum berlangsungnya konsert mingguan pelajar bertujuan mengupas dan mencernakan isu semasa dalam rancangan itu.
Persoalan yang dibangkitkan dalam Diari Ext AF yang diterajui Reza Mohamed kali ini adalah relevan atau tidak kejutan pada konsert Akademi Fantasia musim ketujuh’.
Membincang dan mendebatkan isu ini lebih mendalam, dua yang dijemput sebagai penyokong adalah guru vokal teknikal, Siti Hajar Ismail dan penulis blog serta pelatih media untuk AF7, Joe Lee.
Manakala, pembangkang diwakili wartawan Harian Metro, Elrafaei Sapi dan pengurus artis serta penulis blog, Vernon Kedit.
Kata Joe Lee, kejutan sangat sinonim dengan program Akademi Fantasia sejak musim pertama hingga sekarang.
|
“Saya bersetuju dengan kejutan yang ditonjolkan dalam Akademi Fantasi kerana itu adalah tradisi rancangan realiti itu.
|
“Malah, itulah kriteria (kejutan) kuat yang membezakan Akademi Fantasia dengan rancangan lain. Lagipun, Akademi Fantasia bukanlah setakat rancangan nyanyian malah adalah satu platform mencari penghibur terbaik dengan vokal menarik yang akhirnya akan menjadi aset yang boleh dikomersialkan apabila melangkah masuk ke industri sebenar,” katanya.
Bagi Siti Hajar, gimik kejutan dalam Akademi Fantasia menarik kerana boleh dijadikan pengukur untuk menilai sejauh mana seseorang pelajar itu fokus terhadap kerja yang dilakukan.
“Sebagai seorang yang memahami proses penyiaran seperti ini, saya seronok apabila ada kejutan, namun sebagai guru saya sebenarnya tidak berapa setuju dengan gimik yang dilakukan,” ujarnya.
Sementara itu, Elrafaei turut menganggap kejutan adalah elemen penting untuk rancangan realiti itu kerana sudah sinonim dengan Akademi Fantasia sejak musim pertama lagi.
“Saya lihat apabila Akademi Fantasia masuk musim ketujuh, kejutan dilihat tidak lagi seperti kejutan dan tampak ketara seperti perancangan yang dibuat Astro. Ini secara tidak langsung akan memberi kesan besar kepada pelajar itu,” katanya.
Bagi Vernon, dia mempertikaikan matlamat sebenar kejutan yang pada pemikirannya kejutan akan membuat pelajar hilang fokus.
“Sebagai contoh kejutan yang diberikan kepada Aishah dan Isma, nampak sangat mereka hilang fokus dan ini menganggu konsentrasi pelajar ketika membuat persembahan.
“Ada dua perkara yang mengganggu persembahan Aishah pada malam itu. Pertama, ketika diberitahu akan digandingkan dengan Alif. Nampak sangat dia terkejut dan ini mengganggu konsentrasinya ketika membuat persembahan.
“Kedua, mereka tidak pernah berlatih bersama dan ini secara tidak langsung akan mempengaruhi persembahan Aishah,” katanya.
Pendapat Vernon mengenai kejutan disangkal Joe Lee kerana baginya kejutan di konsert mingguan Akademi Fantasia adalah ujian kepada pelajar untuk menghadapi realiti dunia luar.
“Kejutan mewakilkan benda yang di luar jangkaan yang berlaku di atas pentas. Kalau tiada latihan kejutan, macam mana pelajar berupaya menghadapi gosip di luar yang diibaratkan lagi hebat.
“Melalui latihan kejutan, ia membantu pelajar menghadapi keadaan di luar apabila mereka keluar nanti,” katanya.
Mengulas dengan lebih lanjut mengenai kejutan di konsert mingguan kelima, kata Elrafaei gimik sebelum pelajar membuat persembahan akan memberi impak kepada pelajar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: