| SATU lagi anugerah diperkenalkan bagi mengiktiraf karya penggiat seni tempatan dan kali ini stesen televisyen 'urban', 8TV dengan pendekatan berani dan penuh visi memperkenalkan Shout! Awards (SA). |
Perbezaan ketara antara SA dengan majlis penganugerahan berprestij sebelum ini, adalah penyertaan turut dibuka kepada penggiat seni bebas atau istilah komersilnya, 'indie'.
Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, berkata anugerah ini bagi mengiktiraf individu yang sentiasa menyumbangkan idea kreatif sehingga impak karya mereka membawa perubahan besar pada hiburan Malaysia.
"Sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat ledakan kreativiti dalam arena hiburan yang sekali gus memberi sinar baru kepada industri seni tanah air.
"Menghargai usaha mereka dalam menyemarakkan semula arena hiburan, 8TV berasakan sudah sampai masanya kita mengiktiraf bakat ini," katanya.
Turut hadir pada sidang akhbar sempena pelancaran anugerah itu yang dilangsungkan di Coco Banana, Sunway Pyramid, Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim dan Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson.
Izham berkata, 16 anugerah diperkenalkan dan ia terbahagi kepada empat kategori iaitu Muzik, Radio, Filem dan TV. Penyertaan dibuka kepada semua stesen TV, radio, syarikat rakaman termasuk produksi penerbitan drama dan filem
Contohnya, kategori muzik terikat dengan enam anugerah iaitu Rockstar, Power Vokal, Popstar, Flava (Hip Hop/R&B) dan Break Out (Best New Act).
Manakala dua anugerah untuk kategori radio iaitu Coolest Radio Announcer dan Favourite Radio Show.
Sementara, kategori TV dan Filem, diperkenalkan anugerah Best On Screen Chemistry (sepasang), Fresh TV Series (Siri TV baru termasuk Drama dan/ atau Sitcoms), Breakthrough Film, Favourite TV Program (Bukan Drama) dan Favourite TV Host.
Seperkara yang menarik, empat lagi anugerah yang diketengahkan menerusi kategori The Works lebih bersifat peribadi kepada individu yang bakal menerimanya iaitu anugerah Stylo (Anugerah Paling Bergaya), Hot Chick, Hot Guy dan The Ultimate Shout! Award.
| |
"Orang ramai khususnya penonton 8TV boleh menghantarkan undian pencalonan mereka secara online ke laman web rasmi SA di www.shoutawards.com.my.
"Setiap penyertaan akan dinilai juri profesional yang dilantik PAIMM sendiri dan undian boleh dihantar sebelum tarikh tutup, 30 April ini, jam 4 petang," katanya.
Izham menjelaskan, meskipun Shout Awards sebuah majlis pengiktirafan di bawah jenama 8TV, pihaknya enggan mencampuri urusan penjurian kerana tidak mahu ketelusan mereka untuk memartabatkan seni dipertikai.
Disebabkan itu, PAIMM diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih lima terbaik yang akan mara ke pusingan akhir.
"Kita tidak mahu isu berat sebelah ditimbulkan seandainya banyak produk 8TV yang menang kerana niat kami mewujudkan acara ini bukan untuk kepentingan stesen sebaliknya industri secara keseluruhan.
"Justeru, lebih telus jika melantik badan seperti PAIMM kerana mereka berpengalaman dan tahu apa yang diperlukan industri
"Dengan itu, peminat boleh mengundi calon pilihan mereka yang dirasakan mampu memberi kelainan sekali gus memacu hala tuju industri hiburan tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
"Sementara tugas PAIMM pula untuk memastikan lima calon yang melangkah ke peringkat akhir adalah yang terbaik selain menawarkan produk yang kreatif dan berkualiti.
"Bukan itu saja, juri profesional juga dipertanggungjawabkan memilih seorang daripada pemenang 16 kategori, untuk menerima anugerah tertinggi, The Ultimate Shout! Award," katanya.
Dijadualkan berlangsung pada 18 Julai depan jam 9 malam di Stadium Putra, Bukit Jalil, infomasi mengenai pencalonan dan artis yang membuat persembahan akan dimaklumkan dalam sidang media seterusnya.
Bagaimanapun, berdasarkan visi dan misi anugerah ini jelas sekali dari sudut persembahan serta pencalonan ramai wajah baru ditampilkan khususnya mereka yang bergerak secara indie.
Apatah lagi, konsep yang diketengahkan mempunyai sedikit persamaan dengan Anugerah MTV yang mengiktiraf hasil kerja kreatif dalam pembikinan muzik dan klip video.
Berhubung harapannya terhadap kewujudan anugerah ini, Izham berharap ia tidak hanya mampu menjadi acara tahunan bahkan melahirkan pelapis seni yang berkaliber.
"Harapan saya melalui penganjuran anugerah ini adalah kita akan menemui bakat yang tidak disangka-sangka dan bakal membawa pembaharuan pada industri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: