SIAPA kata artis kita 'demand'? Tak baik tuduh artis kita bukan-bukan soal bayaran. Bukan saja tidak letak harga, malah bagi khidmat percuma lagi. Semua demi peminat walaupun yang membayar untuk 'bersama' mereka itu bukan seringgit dua. |
Ini berlaku di Minggu Setiausaha anjuran Hotel Istana dan Lord's Tailor, Rabu lalu. Pelik bin hairan juga, sebab biasanya, keraian yang diadakan sepanjang April ini adalah bulan untuk artis menambah isi dalam akaun bank masing-masing selain bertemu peminat.
Malah bayaran untuk persembahan makan tengah hari atau malam, bukan sedikit yang dibayar kepada penghibur negara. Tidak cukup artis Malaysia, Kris Dayanti saban tahun tidak terkecuali daripada acara ini. Bukan seribu dua ringgit bayaran artis.
Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Anita Sarawak dan Ning Baizura, bukan kecil anak pengalaman mereka dalam dunia nyanyian, jadi bukan kecil juga jumlah yang harus dibayar buat mereka. Ini bukan soal 'demand' tak bertempat tetapi 'demand' kerana hak mereka.
Lain pula yang berlaku depan mata saya. Bukan nak mempertikaikan keluhuran hati lebih 20 lelaki yang didatangkan khas untuk menyedapkan mata setiausaha apabila dikatakan mereka berkhidmat percuma selama hampir sehari suntuk di majlis itu.
Situasi itu membuatkan hati saya terdetik, baik sungguh mereka! Tidak hanya mereka, penyanyi yang diundang seperti Jaclyn Victor, Sarah Raisuddin, Azharina Azhar dan Shila ND Lala turut sama membuat 'amal'.
Walaupun ada antara mereka yang terpaksa mengosongkan jadual daripada rutin kebiasaan di lokasi serta ada yang bergegas dari majlis lain atau ke majlis lain selepas itu, artis ini sangat komited. Mereka menyanyi percuma!
Semua artis wanita mengenakan gaun merah, sesuai dengan tema barangkali. Baju pula rekaan pereka muda, kecuali Jaclyn yang terpaksa membuka almari sendiri. Bagaimana dengan bayaran mekap? Opps, mungkin ada yang taja, baguslah!
Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus antara yang menjadi tatapan hadirin. Malah artis Indonesia turut dijemput seperti Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal, Ello, Rio Febrian, Delon dan Didi Riyadi.
Puaslah peminat yang rata-ratanya wanita mengabadikan gambar mereka bersama bintang kacak ini. Sebelum majlis bermula, mereka berlegar sekitar muka pintu 'ballroom' untuk memberi layanan kepada peminat. Kemudian dipanggil ke dewan, tamat sesi perkenalan di pentas, mereka perlu keluar.
|
Keluar ke mana? Sebenarnya kembali ke ruang legar depan pintu masuk dewan tadi. Dah mati kutu, tidak tahu apa nak buat sebab hadirin semuanya sedang menikmati celoteh Adflin Shauki dan AC Mizal selalu pengacara majlis serta ayam goreng garing keras yang menjadi antara menu hidangan Padang untuk makan tengah hari itu.
|
Sebelum saya dan rakan-rakan masuk ke dewan itu, mula terdengar daripada teman yang membawa artis kerana mereka tidak disediakan kerusi atau meja, jauh sekali untuk sama-sama makan. Detik hati, mungkin penganjur sudah sediakan tempat khas.
Bagaimanapun, pertanyaan hati itu semakin bertambah apabila beberapa artis jantan pemanis majlis mundar-mandir dalam dewan, bagaikan pelayan yang tidak membawa dulang. Senyum tetap di bibir, jauh sekali untuk dibuang daripada tatapan peminat.
Dalam gelak dek lawak si pengacara, Afdlin sempat menyuruh orang menghantar makanan ke belakang pentas sebab masing-masing kelaparan. Biasalah Afdlin, bijak sungguh gurauannya!
Kasihan melihat artis pemanis majlis itu yang 'dikoreografikan' seperti kehilangan arah, saya bersama teman seperti bendul mengajak mereka turut sama menjamu selera yang kebetulan ada tempat kosong di meja kami. Ada yang menolak, tidak kurang juga yang tidak mempedulikan protokol kerana perut makin rancak berkeroncong.
Sememangnya telahan saya meleset mengenai meja, kerusi, makanan dan minuman. Semua itu tidak disediakan kerana tugas mereka hanya memaniskan muka sepanjang majlis berkenaan. Bayaran? Seperti yang saya katakan tadi, mereka pemurah beramal.
Setahu saya, sesetengah majlis amal pun, artis dibayar secara token kalau tidak sepenuhnya. Namun, dalam kes tadi, mereka sudah berpuas hati dengan sepasang persalinan yang diberikan Lord's Tailor.
Cuma malangnya, ada juga yang terkebil-kebil tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Tidak tahu pun mereka perlu hadir untuk Minggu Setiausaha. Lawak sungguh artis kita, nampak sangat mudah dipergunakan mereka yang sememangnya kaki pengguna!
Bukan saja yang datang berseorangan, malah artis yang memasang pengurus juga 'buta huruf' pasal majlis ini sehingga mereka tersentak apabila melihat gambar dan nama mereka di dalam akhbar dan kain rentang di hotel berkenaan.
Syabas buat artis ini kerana sanggup beramal sehingga begitu rupa! Cuma kami di Harian Metro tidak sanggup berbuat begitu kerana memikirkan keringat dan periuk nasi masing-masing. Walaupun akhbar sering memberi publisiti untuk golongan ini, bayaran tetap bayaran!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: