Monday, April 6, 2009

TV9 tampil wajah lebih segar, ceria

TIGA tahun beroperasi, TV9 kini muncul sebagai saluran kedua pilihan penonton di negara ini, selepas TV3. Isi kandungan yang menarik, sesuai dengan penonton sasaran, membolehkan stesen televisyen terbabit mengatasi beberapa saluran lain yang nyata lebih berusia dan berpengalaman.

Selepas tiga tahun juga, saluran berkenaan muncul dengan tagline baru. Daripada kata-kata keramat Dekat Di Hati, kini ia menggunakan pula kata sakti Tiga Tahun Di Hatiku, bagi menggambarkan betapa saluran terbabit kini mula melekat di hati penonton setia.

Tampil dengan wajah lebih segar, ceria dan kontemporari, stesen televisyen itu sentiasa berusaha memuaskan hati semua penontonnya menerusi pelbagai rancangan terbitan tempatan dan luar negara.

Kini, kelompok penonton sasarannya kian diperluas dengan membahagikannya kepada tiga kumpulan iaitu kanak-kanak berusia antara 4 hingga 14 tahun, remaja dan belia bekerja dalam lingkungan usia 15 hingga 24 tahun, serta pasangan keluarga muda berusia antara 25 hingga 34 tahun.

Sempena sambutan ulang tahunnya yang ketiga sepanjang April ini, TV9 tidak lupa menyajikan pelbagai program menarik untuk hiburan seisi keluarga. Antaranya ialah Studio Nabil yang disiarkan setiap Sabtu, jam 8.30 malam. Turut disiarkan ialah Galaksi (Jumaat, 8.30 malam), animasi Perman (Ahad, 5.30 petang) dan Monster Kids (Ahad, 6 petang).

Disenaraikan sama ialah rancangan Upin & Ipin Maraton, empat filem animasi seperti Danny Phantom Reality Trip, Fairly Odd Parents, Fairly Idol dan The Jerkinators, drama Ceplos, Lagenda: Merah Putih, serta Ole Ole Chef Zam dan Fimie.

Menurut Pengurus Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporatnya, Nor Amy Ismail, sempena ulang tahun itu juga, TV9 buat pertama kalinya akan menganjurkan Konsert TV9 Di Hatiku yang dijadualkan berlangsung pada 25 April ini, di Lumut. Antara artis yang bakal beraksi pada konsert itu ialah Ramli Sarip, Wada dan Hakim (Idola Kecil), Fabulous Cats, Elyana, Aizat, Jow Flizzow, Hujan, Ikhwan dan ramai lagi.

Amy berkata demikian ketika mengetuai rombongan saluran berkenaan ke Balai Berita baru-baru ini. Turut menyertai lawatan ialah pegawai komunikasi korporat, penerbit rancangan, personaliti serta pelakon siri Nana Tanjung dan karakter popular daripada siri Upin dan Ipin, dua program yang disiarkan di saluran terbabit.

Menurutnya, sebanyak 80 peratus daripada program yang disiarkan saluran itu terdiri daripada rancangan keluaran tempatan, sama ada terbitan Primeworks Studios mahupun syarikat lain.

"Daripada program terbabit, beberapa rancangan seperti Akademi Polis, Julia Juli dan Pondok-Pondok ialah antara program yang mendapat rating cukup baik, melebihi sejuta penonton," katanya.

Sedikit masa lagi, katanya, TV9 akan turut memperkenalkan sebuah lagi rancangan realiti berbentuk pertandingan nyanyian yang kali ini diberi nama Oo La La. Sementara itu, dua lagi rancangan popular siaran mereka, Gadis Melayu dan Idola Kecil akan turut disambung ke musim seterusnya.

Manakala dua program sebelum ini, Akademi Al-Quran dan Akademi Nasyid akan direhatkan seketika sebelum ia disiarkan semula dengan idea lebih segar dan menarik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: