Masih tetap berlakon walaupun sudah bergelar penerbit
SELEPAS 17 tahun bergelumang dalam dunia seni, akhirnya Aida Aris dengan berbekalkan minat yang mendalam, berjaya menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri diberi nama CintaKasih Sdn Bhd.
Ditubuhkan pada tahun 2006 menggunakan duit simpanannya, CintaKasih kini sudah menerbitkan dua telefilem iaitu Suram Pengantin arahan Fairuz Loy dan Tercipta Untukku diarahkan oleh Ahmad Idham.
“Syarikat penerbitan ini ditubuhkan atas inisiatif saya sendiri dan turut mendapat kerjasama daripada rakan kongsi, Zana. Zul juga turut berminat dan sama-sama berkongsi pengalaman dan keuntungan dalam syarikat ini,” kata Aida ketika ditemui di majlis pelancaran drama Matahari di Restoran Kunang-Kunang di Gombak, baru-baru ini.
Aida dan Zul dari kumpulan Handy Black memang sering dilihat bersama. Malahan sejak berpisah dengan Bob Azrai, Zul dianggap sebagai teman lelaki Aida dan hubungan mereka sehingga kini sudah berlarutan selama tiga tahun.
Begitupun, Aida enggan mengulas mengenai penghujung hubungan mereka dengan alasan kedua-duanya terlalu sibuk terhadap kerjaya seni masing-masing.
Dalam pada itu, mengulas lanjut penubuhan CintaKasih Sdn Bhd, Aida berkata, keinginannya itu hadir tanpa diduga walaupun sudah lebih satu dekad menceburi bidang lakonan.
“Ketika ini, saya yakin lagi untuk menerbitkan filem. Biarlah saya kumpul pengalaman dulu dan menimba ilmu. Semuanya datang secara kebetulan. Saya pun belum bersedia nak pikul tanggungjawab sebagai pengarah. Jauh lagi perjalanan saya.
“Dunia lakonan tetap menjadi keutamaan saya. Tiada sebab untuk saya tinggalkan bidang ini,” katanya
Sementara itu, dalam drama Matahari arahan Feroz Kadir dan diterbitkan Pena Creative Sdn Bhd milik Ziela Jalil, Aida memegang peranan sebagai Arisa iaitu kakak kepada Ariana lakonan Lisdawati.
“Dalam drama ini, saya berdepan dengan konflik apabila dirogol bapa tiri. Arisa mempunyai kekasih yang bakal dinikahinya. Malam pertama selepas berkahwin, Arisa tak sanggup hidup dalam penipuan dan berterus terang kepada suaminya hingga dia diceraikan,” katanya.
Matahari disiarkan menerusi slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis, 6.30 petang menggantikan siri Spa Q sejak 30 Mac lalu. Drama ini mengisahkan kisah seorang wanita yang memburu cinta sejati angkara kecundang dalam cinta pertama.
Melihat kepada penceritaan jalan cerita drama ini ia mirip kisah drama Thailand berjudul E’Pring yang pernah disiarkan di Astro.
Penulis skripnya, Jumal Yunus melihat persamaan yang terjadi adalah secara kebetulan. Katanya, sewaktu sinopsis cerita ini ditunjukkan, Ziela Jalil sendiri menyangkakan ia hampir menyamai E’Pring.
“Kali pertama saya nak buat skrip ini, saya gambarkan mengenai konsep seorang perempuan yang bertemu dengan ramai lelaki dalam hidupnya. Hakikatnya kecenderungan saya menulis skrip ini tidak langsung ada kaitan dengan E’Pring,” jelasnya. Bagi pengarahnya, Feroz Khan, dia melihat Matahari sebagai naskhah yang unik dan mempunyai plot cerita menarik. Disiarkan dalam 44 episod, baru 12 episod saja disiapkan dan selebihnya masih dalam pembikinan. Selain Lisdawati dan Aida Aris, Matahari turut dibintangi Fauzi Nawawi, Fahrin Ahmad, Hamidah Wahab, Shukery Hashim, Arash Mohd, Iqram Dinzly, Jehan Miskin, Erry Putra, Ako Mustapha, Fizo Omar, Sabrina Ali dan Noorkhiriah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: