Monday, April 6, 2009

Dengarnya...: Tahniah James Lee

WAH! Cik Normah sungguh berbangga dengan pengarah berbakat, James Lee, apabila filem terbarunya, Call if You Need Me, diumumkan pemenang anugerah perak pada Pertandingan Digital Asia pada Festival Filem Antarabangsa Hong Kong Ke-33. Pada pertandingan kali ini, lapan filem digital disenaraikan dan masing-masing datangnya dari China, Hong Kong, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

Juri pula terdiri daripada pembikin filem terkenal Fruit Chan, Xie Fei, dan perancang festival filem dari Jerman, Erika Gregor. Festival berkenaan berlangsung dari 22 Mac hingga 13 April.

Call if You Need Me ialah filem yang mengetengahkan kisah mengenai persaudaraan dalam dunia samseng. Ia dilihat juri sebagai bukti terhadap kekuatan arus baru dalam perfileman Malaysia. Setahu Cik Normah, filem itu bukanlah filem samseng pertama daripada James. Filem cereka keduanya, Ah Beng Return berada dalam genre serupa.

Kononnya, James membesar dengan menonton banyak filem samseng Amerika dan Hong Kong. Justeru, secara tidak langsung, pengaruh berkenaan kelihatan apabila dia menghasilkan filem.

James dan pelakon utamanya, Pete Teo berada di Hong Kong untuk menghadiri festival terbabit. Malah, penonton juga khabarnya tertarik dengan garapan James kali ini. Pete sendiri berkata, dia tidak terkejut sekiranya Call if You Need Me memenangi sebarang hadiah, berikutan kekuatan yang dimiliki filem berkenaan.

Harapan Cik Normah ialah karyawan filem seperti James dan rakan-rakan seangkatannya sentiasa bertanggungjawab mengangkat sesuatu yang positif fasal Malaysia. Ini negara kita. Janganlah buat filem yang beri gambaran tidak elok pasal negara ini apabila ditayangkan di luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: