Tuesday, April 7, 2009

Tuah pendengar setia Suria FM - Halimah menang RM44,000


MAWI memuji kuiz yang dianjurkan Suria FM sebagai mampu mengubah kehidupan seseorang.



TUAH (kanan) dan Zizi pula yang nampak teruja dengan kemenangan Halimah yang sememangnya peminat dua deejay segmen Breakfast@Suria itu.


"SAYA perlu membuat persembahan nyanyian sebanyak dua hingga tiga kali untuk mengumpul wang berjumlah RM44,000!"

Demikian kata Raja SMS Malaysia, Asmawi Ani atau Mawi setelah menyerahkan replika cek bernilai RM44,000 kepada pemenang kuiz Teka Suara Siapa Di Suria (TSS), Halimah Harun di pejabat Suria FM baru-baru ini.

Tambah Mawi, menerima hadiah wang sebanyak itu adalah sebuah rezeki besar untuk Halimah memandangkan bukan perkara mudah untuk memperoleh wang itu dalam masa yang singkat.

"Kak Halimah kira bertuah kerana melalui jalan yang sedikit mudah dan ini rezekinya. Dia hanya perlu menggunakan akal fikiran untuk mendapatkan jawapan yang tepat.

"Saya rasa, membuat kuiz sebegini untuk orang ramai bagus memandangkan ia sedikit sebanyak mampu mengubah kehidupan seseorang," katanya.

Siapa sangka, baru saja empat bulan menjadi pendengar setia Suria FM dan menyertai kuiz TSS yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka tanpa mengharapkan sebarang kemenangan, tiba-tiba bertuah pula.

Suri rumah yang berusia 42 tahun itu berjaya memberi empat tekaan nama personaliti dengan tepat bagi kuiz tersebut iaitu, Kelly Clarkson, Elly Mazlein, Altimate dan Eddie Hamid. Ini sekali gus melayakkan beliau memenangi wang terkumpul sebanyak RM44,000.

Semuanya bermula dengan minatnya yang suka mendengar celoteh deejay popular, Tuah dan Zizi menerusi segmen Breakfast@Suria.

Mendengarkan terdapat sebuah kuiz dalam segmen berkenaan pada 16 Mac lalu, tanpa membuang masa, Halimah terus menelefon Suria untuk menjawab tekaan kuiz itu. Apalagi bila ilmu dunia hiburan ada di hujung jari sahaja.

"Ini satu rezeki untuk saya. Pada mulanya, saya dapat rasakan yang saya tak mungkin akan menang. Tapi di saat-saat terakhir yang ketika itu saya meneka suara Eddie Hamid, jawapan betul pula.

"Kebetulan pula, saya memang sentiasa mengikuti perkembangan hiburan. Sehingga sekarang, saya masih belum percaya yang saya menang.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya, saya dapat mengurangkan hutang yang ada dan bolehlah pergi bercuti," senyum wanita berasal dari Batu Caves, Selangor itu.

Selain Halimah, tiga pendengar lain, Zureha Harun dari Petaling Jaya, Zulkifli Kardi (Yong Peng, Johor) dan Norsuriati (Lembah Keramat) turut berjaya memenangi wang tunai sebanyak RM1,000.

Anjuran kuiz ini dibuat sebagai tanda penghargaan dari pihak Suria FM kepada pendengar-pendengar setia mereka selain mempromosikan stesen radio yang semakin menarik hati pendengar-pendengarnya menerusi tagline Muzik Terbaik Tanpa Henti.

Usah perlu menyesal bagi sesiapa yang terlepas peluang untuk menyertai kuiz ini kerana ia akan diadakan semula sekitar Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: