Tuesday, April 7, 2009

Periksalah akaun saya - Mila




BERMULA dengan tertubuhnya sebuah empayar perniagaan yang diberi nama Luvmila Corporation Sdn. Bhd. sejak Ogos lalu, ada suara-suara nakal yang mengaitkan pemiliknya ditaja oleh individu tertentu.

Pemilik yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan, sudah tentulah Mila atau nama sebenarnya Nursyarmila Jirin.

Barangkali ada yang berprasangka, mana mungkin wanita yang baru setahun jagung dalam bidang seni sudah punya sumber kewangan yang banyak hingga dia berupaya membangunkan sebuah perniagaan berskala besar.

Mila bagaimanapun sekadar mampu melemparkan senyuman manis, semanis empunya diri. Tiada langsung amarah di jiwa, malah tiada riak terkilan tatkala telinganya mendengar tanggapan negatif itu.

Jelas wanita berusia 22 tahun itu, gosip kononnya syarikat kepunyaannya mendapat tajaan daripada 'seseorang' tidak benar sama sekali.

"Penubuhan syarikat Luvmila ini menggunakan sepenuhnya wang simpanan saya sendiri. Jika tidak percaya, bolehlah periksa akaun simpanan saya," ungkapnya tergelak manja ketika ditemui pada pelancaran Luvmila yang diadakan di Wisma PKPS, Shah Alam Selasa lalu.

Mila sebelum ini juga dikaitkan menerima tajaan seorang lelaki berbangsa Cina, yang merupakan rakan kongsinya untuk menubuhkan syarikat MC Voices & Stars (MCV), setahun lalu.

Setelah menjawat status sebagai ahli lembaga pengarah syarikat terbabit, kini Mila telah berundur daripada MCV.

Menyambung bicara, Mila mengakui pernah terdengar tentang dirinya yang ditaja untuk menubuhkan Luvmila, sebuah syarikat yang menjual dan memasarkan produk kecantikan.

"Saya tidak faham dengan pandangan masyarakat yang mudah mengaitkan saya ditaja oleh orang ini dan itu.

"Kalau betul saya ditaja, buat apa saya hendak bekerja kuat lagi tanpa henti dalam bidang seni.

"Lebih baik saya beli rumah sendiri, kereta mewah, berseronok dan membeli-belah," jawab Mila lebih lanjut.

Menganggap kisah nakal yang ditujukan khas untuk dirinya sebagai gosip, Mila sebaliknya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dia hanya pasrah, selain menerima segala-galanya dengan perasaan terbuka tanpa ada dendam di hati.

"Kalau dakwaan itu tidak benar, buat apa saya hendak risau tidak tentu pasal. Paling penting, keluarga tahu dan mengenali saya.

"Selebihnya saya tidak mengambil peduli dengan kata-kata orang yang suka bercakap buruk tentang saya," terangnya.

Rezeki masih berpihak padanya

Dalam situasi artis di bawah Maestro Talent And Management sedang berdukacita terhadap nasib yang menimpa mereka baru-baru ini, Mila tidak terkecuali meluahkan perasaan sama.




Penutupan syarikat yang dikenali ramai di negara ini cukup mengejutkan Mila, yang merupakan salah seorang artis di bawah kendaliannya.

"Siapa yang tidak bersedih dengan penutupan Maestro. Saya hanya diberitahu bahawa syarikat ini gulung tikar disebabkan berdepan dengan masalah ekonomi.

"Pada mulanya saya memang risau dan gelabah. Saya masih baru, malah selama ini bergantung harap dengan Maestro.

"Semua karier seni saya sebelum ini diuruskan oleh Maestro terutama tentang jadual persembahan saya dan perkara lain melibatkan kerjaya seni saya.

"Selepas itu, saya ditenangkan oleh pengurus dan pembantu peribadi saya, Noza Mohd. agar tidak kelam-kabut dan risau apatah lagi saya sudah memiliki bisnes sendiri.

"Sekurang-kurangnya dapatlah ia membantu untuk meringankan bebanan saya jika sebarang masalah yang tidak diingini berlaku kelak.

"Biarpun begitu, saya masih sedih disebabkan Maestro memberikan banyak sumbangan dan jasa kepada saya," ujar Mila, sedikit kecewa.

Juara Akademi Fantasia 5 (AF5) itu memberitahu lagi, dia baru sahaja menghadiri perjumpaan bersama Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) iaitu Zainir Aminullah minggu lalu.

"Beberapa artis Maestro termasuk saya sudah diserapkan ke AESB berkuat kuasa 1 April lalu. Semua nampak okey semasa perbincangan itu diadakan dan tidak ada sebarang masalah.

"Saya difahamkan bahawa semuanya masih dalam keadaan sama, cuma barangkali ada sedikit perbezaan dalam pihak pengurusan baru pada permulaannya.

"Kontrak yang ditandatangani sebelum ini bersama Maestro juga tidak berubah meskipun kini saya sudah bersama AESB.

"Itu yang saya tahu, selebihnya saya akan uar-uarkan kemudian kalau ada sebarang perubahan," janji Mila.


GIGIH menimba ilmu bisnes. Mila pada majlis pelancaran Luvmila baru-baru ini.


Meskipun baru sahaja melangkahkan kaki dalam dunia seni, namun pengalaman yang ditempuhi Mila sepanjang tempoh singkat itu, banyak mematangkan dirinya.

Mila sempat menasihati rakan-rakan yang berada di bawah Maestro sebelum ini supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang menabur janji manis.

"Dalam situasi kelam-kabut, macam-macam perkara boleh terjadi. Saya ada bagi pendapat kepada kawan lain supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perkara yang dilakukan.

"Macam-macam boleh berlaku ditambah dengan orang yang suka ambil kesempatan dalam waktu terdesak ini," katanya memberikan nasihat kepada bekas artis di bawah Maestro.

Banyak baca buku bisnes

Umum mengetahui, selain bergelar seorang anak seni, gadis kelahiran Pulau Pinang itu kini menambahkan statusnya dengan menjadi seorang ahli perniagaan.

Rasanya satu Malaysia sudah mengetahui tentang produk Luvmila yang sekarang telah berada di pasaran di seluruh Malaysia.




Walaupun penat menghabiskan banyak masa untuk karier seninya, Mila tetap mencuri-curi masa untuk belajar tentang selok-belok dunia perniagaan yang sifatnya semakin global demi menambahkan pengetahuan.

"Saya banyak membaca buku yang berkaitan pemasaran dan strategi perniagaan disebabkan mahu menambah ilmu.

"Sebelum ini banyak pihak yang mempersoalkan kredibiliti serta kemampuan saya untuk mengurus perniagaan sendiri.

"Saya tidak gentar apabila dikritik, sebaliknya saya lebih berazam untuk belajar mana-mana yang termampu dalam perihal berkaitan perniagaan.

"Selain itu, saya menjadikan syarikat kosmetik gergasi lain sebagai mentor untuk saya terus mengemudikan Luvmila ini.

"Biasanya saya akan membaca pada waktu malam, sebelum tidur. Kadang-kala, saya juga akan baca dalam kereta jika hendak ke satu-satu destinasi kerana kereta saya dipandu Noza," tambah Mila.




Pelancaran Luvmila dirasmikan oleh Timbalan Pengarah 1 Bahagian Pembangunan Usahawan Mara, Adilah Hasan.

Dalam majlis sama, Luvmila juga memperkenalkan tiga buah produk baru yang merangkumi penjagaan kulit iaitu Luvmila Whitening, Luvmila Gold dan Luvmila Herbal Soap.

"Luvmila menyasarkan 5,000 hingga 10,000 pengguna hingga hujung tahun 2009," akhiri Mila penuh harap.

Antara rakan artis yang hadir memberikan sokongan kepada Mila ialah Farah Asyikin, Farhan, Akma, Diana Rafar, Rohana Jalil, Jaafar Onn, Edlin dan Tasha.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: